Pelbagai ragam suasana di lapangan terbang. Ada yang berpelukan sebelum berpisah, ada yang seperti susah melangkah pergi, ada juga yang sibuk mengambil gambar. Suasana itu membuatkan aku sangat rindu dan tidak sabar untuk tiba di kampung halaman ku.
Kini aku berada dalam kapal terbang. Aku duduk di tepi tingkap tempat duduk F, di belakang sikit sayap kapal, kelas ekonomi la. Mengelak bunyi bingit enjin kapal terbang aku sudah bersiap dengan earphone dan kubuka lagu kegemaran.
Ting tong... "Lampu membaca akan dipadamkan, sila ketatkan tali pinggang keselamatan dan tegakkan tempat duduk anda, kita akan mendarat tidak lama lagi" peti suara rakaman dibunyikan, tandanya pendaratan tidak lama lagi. Hati semakin berdebar. Ya akhirnya aku balik ke kampung halaman. Rasa teruja itu tidak dapat digambarkan melalui kata-kata.
Berjalan menuju kastam terus ke terminal diluar. Aku tidak punya banyak benda dibawa. Sebuah beg kugalas dan satu lagi kubimbit. Jam di tanganku menunjukkan jam 9 malam. Balik tu memanglah balik, tapi rasanya aku kena bermalam di terminal la nanti. Dah lewat macam ini mana ada bas dah. Tak apalah, esok baru fikirkan.
Apapun aku mencari tempat yang sesuai untuk aku duduk berehat menunggu esok. Aku mencari tempat yang agak terpencil sikit dari orang ramai. Boleh aku berbaring nanti. Yela, kerja pun belum lagi mana nak ada duit nak menyewa hotel atau rumah tumpangan bagai. Nama pun baru lepasan ijazah.
Baru aku nak baring, bahu aku ditepuk dari belakang. Terkejut aku. Aku berpaling ke belakang. Aku pandang wajah si penepuk bahu ku tadi. Alamak, wajah yang sangat aku kenal. Langsung tidak berubah wajahnya. Dialah sahabatku. Dia juga nampak sama tergamam sepertimana aku. Kebetulan sangat kami bertemu di situ. Tuhan bagaikan tahu aku sangat merinduinya.
YOU ARE READING
Kasih Seorang Sahabat
HorrorIa mengisahkan kasih sayang dua orang sahabat yang lama terpisah. Pertemuan mereka tidak diduga, akhirnya mereka bersama untuk seketika.