Part 1: Mimpi dan Impian

12 1 0
                                    

“Alhamdulillah, akhirnya dapat juga kamu menjejakkan kaki ke universiti. Ibu dan ayah sangat bersyukur dan gembira kerana impian kamu telah tercapai.” kata ibu Asyraf yang terharu melihat kejayaan anaknya itu. Ayah Asyraf hanya mampu tersenyum menunjukkan dia berasa gembira dan bangga dengan pencapaian satu-satunya anak lelaki mereka. Mereka yang menetap di sebuah perkampungan kecil itu hanya tinggal di sebuah rumah kayu. Melihat Asyraf melangkahkan kaki ke universiti adalah impian ibunya.

“Aku nak duit!”
“Beri aku duit! Cepat!”

Pada pukul 2 pagi, Asyraf terjaga dari mimpi indahnya apabila terdengar suara garang ayahnya. Hampir setiap malam Asyraf akan tersedar disebabkan pertengkaran ibu dan ayahnya yang berpunca daripada berbagai-bagai masalah kewangan termasuk masalah hutang, masalah pembayaran bil elektrik dan air serta hal-hal yang berkaitan dengan kos pengajiannya di Tingkatan 6.

Hidup keluarga kecil itu menjadi tidak tenteram semenjak ayah Asyraf terlibat dengan masalah perjudian. Pada malam itu, ayahnya meminta duit daripada ibunya untuk tujuan berjudi. Asyraf yang takut dengan sikap baran ayahnya itu tidak mampu berbuat apa-apa. Kadang-kadang dia mengeluh dan tertanya-tanya kenapa Tuhan mengujinya dengan ujian sebegini.

Dia sangat cemburu melihat kehidupan rakan-rakannya yang mempunyai keluarga bahagia. Asyraf hanya bersembunyi di dalam biliknya mengenang nasib yang menimpa keluarganya sementara ayah dan ibunya bertikam lida di ruang tamu.

“Abang nak duit, abang patut cari kerja.” kata ibu Asyraf sambil menangis.

“Sudah-sudahlah berjudi Abang.”

“Bertaubatlah!” pujuk ibunya lagi sambil memegang tasbih ditangannya. Puan Salina bukan sahaja terlalu mementingkan pendidikan anaknya tetapi juga merupakan seorang wanita yang warak. Dia sangat patuh dengan syariat dan berpegang teguh pada agama Islam.
Dengan perasaan tidak puas hati dan marah kerana tidak mendapat duit daripada isterinya, Pak Khalid keluar dari rumah itu sambil menutup pintu rumah sekuat hati.

“Pang!!”

“Mak?!” Asyraf keluar dari biliknya dan terus berlari ke ruang tamu.
“Mak tak apa-apa?” tanya Asyraf kepada ibunya.

Asyraf sangat risau kalau-kalau ayahnya memukul ibunya. Itu adalah satu mimpi ngeri bagi Asyraf yang sangat mengimpikan keluarga bahagia seperti rakan-rakannya yang lain.

“Mak tak apa-apa Asyraf.

Pergilah tidur.” Jawab ibunya sambil menangis.

Asyraf tidak tahu mahu berbuat apa. Dia kembali ke bilik tidurnya dan membiarkan ibunya menenangkan diri.

Walaupun sering bertengkar, Pak Khalid tidak pernah sekali pun memukul isterinya. Kadang-kadang dia cuba membawa isteri dan anaknya itu keluar berjalan-jalan di bandar.

Sebelum terlibat dengan masalah judi, keluarga itu sering meluangkan masa bersama ke pusat membeli belah dan taman-taman rekreasi. Mungkin kasih sayangnya kepada isteri dan anaknya itu masih kukuh walaupun setelah ketagih dengan permainan judi.

Walau bagaimanapun, Puan Salina sentiasa menolak kerana tidak mahu bergembira atau makan dengan duit haram hasil perjuadian suaminya. Malahan, dia juga melarang Asyraf menerima walau sesen pun duit daripada ayahnya itu. Dengan perasaan sedih, Asyraf cuba untuk tidur semula.

Pada keesokan harinya, Asyraf pergi ke sekolah dengan basikal yang di belikan oleh ibunya beberapa bulan yang lalu. Setiap hari persekolahan, Asyraf akan mengayuh basikal lebih kurang sepanjang 5 kilometer.

Kadang-kadang, Farid iaitu sahabat baik Asyraf akan mengambil dan menghantar Asyraf ke sekolah menaiki motorsikal. Farid adalah satu-satunya sahabat baik Asyraf yang menjadi pendengar setia apabila Asyraf ingin berkongsi masalah atau meluahkan rasa sedihnya. Farid seusia dengan Asyraf tetapi tidak pernah bersekolah kerana ayahnya merupakan seorang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Manakala ibunya pula telah lama meninggal dunia akibat lemas kerana terjatuh ke dalam laut semasa melarikan diri daripada pihak berkuasa dalam operasi memberkas PATI.

BROKEN HOMEWhere stories live. Discover now