Part 2: Khianat

5 1 0
                                    


"Asyraf!"

Suara itu muncul dari belakang Asyraf sebaik sahaja dia tiba di pintu gerbang dimana Asyraf bersekolah. Dia menoleh ke belakang dan mendapati rakan sekelasnya, Azizul sedang melambai tangan. Asyraf merantai basikalnya di tempat letak basikal yang disediakan dan menunggu Azizul di situ. Azizul berasal daripada keluarga berada. Ayahnya merupakan seorang peguam manakala ibunya pula seorang ahli perniagaan kosmetik yang terkenal. Azizul dihantar ke sekolah oleh ayahnya sendiri menaiki kereta berjenama Honda City.

"Azizul, kau sudah siapkan tugasan yang Cikgu Fahmi suruh buat tak?" tanya Asyraf sebaik Azizul tiba di tempat dia berdiri.

"Sudah, kau?" balas Azizul dengan soalan sambil menuding jari kearah Asyraf.

"Aku sudah siapkan, cuma betul atau tak aku tak tahulah." jawab Asyraf sambil menggaru kepala.

Asyraf dan Azizul adalah rakan sekelas di Tingkatan 6. Walaupun latar belakang keluarga mereka jauh berbeza tapi itu bukan penghalang untuk mereka menjadi kawan yang agak akrab. Asyraf dan Azizul berkongsi minat yang sama dalam bidang sukan. Kedua-dua mereka sangat gemar bermain badminton sehingga pernah menjadi wakil dalam sukan peringkat negeri. Mereka mempunyai peluang dan masa depan yang cerah dalam bidang sukan badminton.

Dalam perjalanan menuju ke kelas, mereka terserempak dengan Jenny yang juga merupakan rakan sekelas mereka.

"Hai Jenny. Apa khabar hari ini?" sapa Asyraf.

"Saya okay je. Kamu berdua macam mana?" jawab Jenny.

"Saya okay." balas Asyraf dan Azizul serentak sambil tersenyum. Jenny adalah seorang perempuan yang mempunyai perwatakan sedikit tegas tidak seperti perempuan yang lain. Dia suka berkawan dengan semua orang tidak kira lelaki atau perempuan sehingga ada pelajar-pelajar yang memanggilnya sebagai tomboy. Dia juga sangat rapat dengan Asyraf dan selalu membantu Asyraf dalam pelajaran memandangkan dia boleh dikira sebagai salah seorang pelajar terbaik dalam setiap peperiksaan di sekolah mereka. Oleh sebab itu, terdapat juga beberapa orang pelajar yang mengatakan bahawa Jenny sebenarnya ada hati pada Asyraf.

Semasa berada di dalam kelas, Cikgu Fahmi masuk lewat 20 minit kerana kesesakan lalu lintas. Setibanya di kelas, Cikgu Fahmi meminta semua pelajar-pelajarnya menghantar tugasan yang telah diberikan. Alisya yang merupakan ketua kelas dalam kelas tersebut ditugaskan untuk mengumpul buku latihan mereka semua. Alisya adalah seorang perempuan yang sangat lemah lembut dan bijak sehingga hampir semua cikgu Tingkatan 6 menyukainya. Dia juga sangat popular dalam kalangan pelajar-pelajar lelaki. Namun, walaupun Alisya adalah sepupu kepada Jenny, sikap dan perwatakan mereka amat berbeza. Alisya tidak suka bergaul dengan rakan-rakan lelaki.

Asyraf yang menyimpan perasaan terhadap Alisya juga tidak mampu untuk meluahkan perasaannya kerana takut ditolak. Dia juga perlu belajar melupakan hasrat tersebut memandangkan latar belakang agama mereka yang berbeza. Alisya adalah penganut agama Kristian dan dia sangat menyayangi agamanya. Dia juga tidak pernah terlepas untuk pergi ke gereja bersama keluarganya untuk beribadah.

Lebih kurang pukul 1:30 petang, Asyraf tiba di rumahnya dan mendapati pintu rumah mereka terbuka luas.

"Aik, kenapa pula pintu ni terbuka? Bukankah mak sedang berniaga di pasar sekarang?" Bisik hati Asyraf.

Perlahan-lahan Asyraf melangkah masuk ke dalam rumah mereka. Dia terkejut melihat almari di ruang tamu dan barangan di bilik ibunya berselerak. Kemudian dia berlari kearah biliknya. Dia melihat perkara yang sama berlaku terhadap almari pakaiannya.

"Ada orang pecah masuk rumah ni. Tapi kenapa? Bukan ada benda berharga pun di dalam rumah ni." bisik hatinya melihat keadaan tersebut.

Asyraf bergegas menuju ke pasar menaiki basikalnya untuk memaklumkan perkara tersebut kepada ibunya. Sebaik sahaja ibunya mengetahui perkara itu, mereka berdua pulang bersama. Asyraf menuntun basikalnya sambil berjalan bersama ibunya. Pasar tempat ibunya berniaga tidaklah terlalu jauh dari rumah mereka iaitu hanya lebih kurang sejauh 700 meter. Sepanjang perjalanan menuju ke rumah mereka, Asyraf sangat risau melihat riak wajah ibunya yang jelas-jelas menunjukkan perasaan risaunya. Asyraf hanya terdiam dan tidak berani berkata apa-apa.

"Kamu sudah makan?" tiba-tiba ibunya bertanya.

"Emm, belum lagi mak. Bila nampak keadaan rumah macam tu, saya terus bergegas ke pasar." Jawab Asyraf sambil menggaru kepala. Asyraf mula membawa ibunya berbual.

"Mak, ayah pergi ke mana?" tanya Asyraf dengan nada yang agak rendah. Dia takut ibunya akan marah jika dia mula bertanya soalan tentang ayahnya itu. Walaupun ayahnya seorang yang bermasalah sekarang, tetapi Asyraf juga merindukan kasih sayang dari seorang ayah.

"Mak tak tahulah Asyraf, ayah kamu semakin sibuk dengan permainan judinya tu setiap hari." jawab ibunya. Kemudian kedua-dua ibu dan anak tersebut hanya terdiam sehinggalah sampai di tangga rumah mereka.

Puan Salina dengan pantas menuju ke dalam biliknya dan memeriksa almari pakaiannya. Kemudian dia menangis. Asyraf berlari menuju ke arah ibunya lalu bertanya,

"Mak, ada apa-apa yang tak kena kah? Kenapa Mak menangis?"

"Duit Asyraf!"

"Mak kumpul untuk persediaan kamu melanjutkan pelajaran ke universiti."

"Tapi duit tu telah hilang." kata mak Asyraf sambil menangis dan menunjukkan beg-beg kecil yang sering dia gunakan untuk menyimpan barang kemasnya.

"Ini mesti kerja ayah kamu. Dia tidak dapat duit semalam. Dia tunggu rumah ni kosong dan buat kerja keji ni!" kata Puan Salina dengan nada yang marah. Seperti biasa Asyraf hanya mampu berdiam diri sambil mengemas barang-barang yang berselerak di lantai.

Asyraf sangat sedih dan kecewa dengan perkara ini. Bukan disebabkan duit untuk pengajiannya yang telah hilang tetapi sebab hubungan kekeluargaan yang pernah harmoni dulu telah menjadi retak. Ayahnya yang sepatutnya menjadi pemimpin keluarga menjadi pemusnah kebahagiaan mereka.

Pada malamnya, Asyraf sangat tertekan memikirkan perkara tersebut. Disebabkan itu, dia hanya berkurung di dalam bilik sambil menangis. Walau bagaimanapun, dia berusaha melupakan perkara itu dan terus bersangka baik dengan ujian yang menimpa hidupnya. Hal ini kerana minggu hadapan adalah hari bermulanya peperiksaan STPM yang bakal menentukan nasibnya, sama ada dia layak meneruskan pengajian ke universiti atau tidak. Walaupun sudah tiada simpanan untuk melanjutkan pengajian, dia tetap bertekad untuk menjejakkan kaki ke universiti kerana hanya dengan cara itu sahaja dia dapat mengubah nasib keluarganya.

"Banyak agensi yang menawarkan pinjaman dan biasiswa pengajian. Aku masih boleh teruskan." bisik hati Asyraf sambil memegang dadanya.

BROKEN HOMEWhere stories live. Discover now