DODO melepaskan keluhan kasar. Butir bicara The Butcher sesekali menampar gegendang telinga. Perkataan demi perkataan, ayat demi ayat arahan daripada ketuanya itu meluncur laju masuk ke dalam fikirannya.
"Tuan Dodo, tuan mahu aku buat apa?" soal wanita yang tegak berdiri di belakangnya.
Dodo berpaling kepada si empunya suara. Wanita cantik tetapi beracun tersebut dipandangnya sekilas sebelum sekotak rokok dikeluarkan. Tangannya laju sahaja mengeluarkan sebatang rokok lalu muncungnya dicucuh dengan pemetik api.
Asap rokok yang dihisap dan dihembus rakus berkepul-kepul keluar dari mulut dan rongga hidung. Dodo tenggelam dalam keasyikan dan nikmat palsu bahan pembunuh senyap tersebut. Jiwanya yang gundah sedari tadi seolah-olah terbuang resahnya apabila dapat menikmati rasa rokok.
"Tuan Dodo, bukankah rokok itu berbahaya untuk kesihatan? Asap rokok mengandungi nikotin, tar, karbon monoksida dan lebih dari 4000 bahan lain yang membahayakan kesihatan," tegur Nona. Sejujurnya, dia benci dengan asap rokok.
"Pandai pula kau berceramah kat sini. Sekarang ni siapa ketua? Kau ke aku?" Dodo memberang lalu puntung rokoknya dicampak kasar lantas dipijak-pijak dengan tapak kasutnya.
"Maaf, tapi tuan perlu tahu." Nona tetap mempertahankan hujahnya.
Dodo mendengus kasar. Ada anak buah pun semuanya bodoh. Tak pasal-pasal dirinya juga nampak bodoh di mata The Butcher. Manalah dia tahu yang sebenarnya Sani langsung tidak memakai tikus, malah Sani tidak tahu apa-apa pun perkara berkaitan organisasi mereka.
Dalam hal ini, musuh utama mereka yang sebenarnya ialah bodyguard bertopeng si Sani. Tunggu masa saja, mereka pasti akan mendapat maklumat yang tepat mengenai siapa sebenarnya bodyguard itu. Tidak dapat tidak, mereka mesti menghapuskannya jika tidak mahu The Butcher menghabiskan dirinya pula.
"Nona, intip Princess Devil. Ada masa terluang, bunuh. Bodyguard bertopeng itu pun, kasi jalan saja. One way to hell, no corner," arah Dodo kepada Nona yang masih setia tidak berganjak di hadapannya.
"Baik, Tuan Dodo," akur Nona lantas beredar dari situ.
Setelah bayang Nona si Poison Ivy menghilang di sebalik pintu, Dodo sekali lagi melepaskan keluhan. Hailah bahasa Inggerisnya pun, entah betul entah salah. Ah, hentam sajalah!
"HAH, apa tunggu lagi? Masuklah," gesa Tuan Walid kepada Aariz dan Khayra lalu terus menghilang ke dalam rumah.
Terburu-buru sangat Tuan Walid masuk ke dalam, entah apalah yang dikejarnya. Aariz dan Khayra, kedua-duanya saling berpandangan dan tersengih-sengih di muka pintu. Aduhai, hati. Janganlah berdrama pula dekat sini. Di dalam rumah itu hanya ada umi dan seekor kucing betina berbaka Maine Coon saja, bukannya ada singa pun!
Perlahan-lahan, Aariz dan Khayra menapak naik ke atas rumah. Dekorasi rumah banglo dua tingkat itu tidaklah mewah mana namun bolehlah dikatakan sebagai rumah orang berada. Namun, senyap sunyi saja rumahnya. Pelik.
Tuan Walid yang sudah menghilang entah ke mana membuatkan Aariz berasa tersangatlah canggung. Situasi ini berasa semakin tidak kena apabila Khayra juga meminta diri untuk naik ke biliknya sendiri. Sudahnya, tinggallah Aariz seorang diri di ruang tamu. Tidak tahu mahu membuat apa, Aariz akhirnya melabuhkan punggung di sofa.
Miaw!
Aariz berasa kakinya digesel-gesel dengan sesuatu yang berbulu. Tidaklah berasa geli bahkan hatinya tiba-tiba saja berbunga riang. Dia yang sedang termenung seorang diri di sofa serta-merta mengukir senyuman. Wah, cantiknya kamu! Sudahlah montel, comel pula.
"Mao, sini sayang." Aariz mengangkat kucing berwarna kelabu putih berceloreng ke dalam pelukannya.
Miaw!
Gedik. Si kucing betina yang dipanggil Mao oleh Aariz menggesel-geselkan muka dan hidungnya ke muka Aariz. Tidak cukup menggesel, dikais-kaisnya pula bahu Aariz. Aariz pula melayan saja ulah manja Mao. Sekali pandang, macam sedang bermanja dengan bayi pun ada.
"Alahai, Kiko. Dengan aku tak nak bermanja, dengan orang handsome nak pula. Gelenya kamu ni Kiko." Puan Fatma memecah suasana antara Aariz dan Mao atau nama sebenarnya Kiko sambil meletakkan sedulang air jus oren berserta dengan sepiring kek batik ke atas meja kopi.
"Aariz ya? Jemput minum. Maaflah, umi baru selesai solat kat atas tu. Kamu dah solat kan? Abi kamu mana? Rara?" Itu dia, sekali berderet terus soalan.
"Er..." Aariz kematian kata. Mahu dijawab soalan mana dulu?
"Tuan Walid dan Rara naik ke atas. Kami bertiga sudah solat tadi sebelum datang ke sini," jawab Aariz sopan.
"Tuan Walid? Kamu masih panggil abi kamu tu tuan? Hish, nak kena abang ni." Puan Fatma bercekak pinggang.
Melihat gaya Puan Fatma berserta ekspresi wajahnya, hati Aariz tersenyum sendiri. Wah, tak sangka sebenarnya Tuan Walid mempunyai isteri yang boleh tahan juga garangnya. Patut saja balik ke rumah sentiasa on-time, tidak ada buat overtime. Takut kena luku oleh puan isterilah tu...
"Ya... er... puan?" Teragak-agak, Aariz memangil Puan Fatma dengan panggilan "Puan".
"Puan apanya nak oi, panggil umi 'umi'." Hampir saja Puan Fatma mahu babap Aariz ini jika tidak kerana berfikir mereka masih lagi bukan mahram.
"Baik, umi." Aariz menarik senyuman segan.
"Kamu duduk dululah ya? Umi nak pergi masak untuk makan malam. Kamu makan malam di sini saja, umi masak special," arah Puan Fatma kepada Aariz.
"Okey, umi," balas Aariz sambil melemparkan senyuman manis buat wanita tersebut.
Melihatkan kepada perilaku berserta dengan jawapan patuh lagi taat seorang Muhammad Aariz Iktizar di hadapannya, Puan Fatma berpuas hati dengan calon menantunya. Bagus, test pertama lulus.
"Er... umi," panggil Aariz.
Puan Fatma yang baru saja berkira-kira mahu ke dapur memberhentikan langkah. Figura Aariz yang masih berdiri dengan Kiko masih berada dalam dukungan tiba-tiba saja mencuit hatinya. Kalaulah yang berada dalam dukungan Aariz itu cucunya, kan bagus...
"Ada nak Ayiz tolong tak?" soal Aariz prihatin.
Ya Allah, added value calon menantu idaman! Kala ini, Puan Fatma sudah tersenyum sampai ke telinga. Namun, saja dia mahu menguji lagi bakal menantunya ini. Dia kan bakal menjadi ibu mentua. Apa salahnya buat ujian sikit, kan? Tunggu sajalah Aariz, dia sudah sediakan banyak lagi ujian.
"Tak ada. Duduklah dulu nanti abi kamu turun," jawab Puan Fatma lalu terus ke dapur.
Sekali lagi, Aariz krik krik di ruang tamu. Alahai, kekok pula terasa. Nasib baik ada Kiko, tidaklah dia berasa kesunyian sangat. Namun, kesunyiannya tidak lama apabila Tuan Walid dan Khayra turun dari tingkat atas. Khayra tidak terus ke ruang tamu bahkan terus melencong ke dapur.
"Maaf Ayiz, abi sakit perut tadi," ujar Tuan Walid lalu mencapai senaskhah buku agama di bawah meja kopi.
"Tak apa," jawab Aariz sambil tersenyum mesra.
Bagus betul ketuanya, membaca amalan mulia. Lagi mulia pula apabila buku agama yang dibaca saat masa terluang. Bagus, dia sendiri tidak semampu Tuan Walid dalam membaca buku agama setebal itu.
"Macam mana kamu boleh tiba-tiba rapat dengan Rara, sedangkan sebelum ni abi rasa kamu tak pernah berjumpa dengan dia," soal Tuan Walid sambil memandang tajam kepada Aariz.
Gulp.
Aariz menelan air liur yang terasa melekat di kerongkong. Seramnya ya Rabbi... takutlah dengan aura tegas abi si Rara ni. Namun, sebagai lelaki sejati, dia sesekali tidak akan mengalah dengan ujian daripada Tuan Walid.
Aariz, fight. Kau boleh lakukannya. Best man wins!
EDITED: 10/12/2024

YOU ARE READING
CODE NAME: DARK [COMPLETED]
RomanceThe Fallen Hero. Itu gelaran senyap yang ditelan oleh Aariz Iktizar, seorang ejen perisikan terlatih dari Unit Jenayah Dalam Negara. Tugasannya di lapangan serba ekstrem berakhir, tapi tiada istilah mengalah kerana nyawanya sentiasa diintai oleh si...