"AARIZ, kau kenapa? Aariz, bangun!" jerit Khayra kuat.
"Papa!" Yaya turut meraung sambil menggoncang-goncangkan badan Aariz yang tergeletak kaku di atas tar. Terkejut, ya. Di depan matanya sendiri Aariz tiba-tiba tumbang.
Bunyi derapan tapak kaki yang berlari laju ke arahnya serta-merta menolehkan Khayra ke arah pemilik larian tersebut. Light dan Cindy serta Wana!
"Dark. Dark!" Light menepuk-nepuk pipi Aariz namun hampa, Aariz tidak memberikan respons walaupun sedikit. Pantas dia mendail nombor telefon Tuan Walid dan menekan ikon loudspeaker. Tidak menunggu lama, pada deringan kedua panggilan tersebut terus bersambut.
"Ada apa Light?" soal Tuan Walid tenang.
"Dark, tuan. Dark pengsan. Nadinya lemah, pernafasannya juga lemah dan tidak teratur. Apa perlu saya buat?" tanya Light dalam nada bergetar hebat.
Insiden hitam lima tahun lalu kembali berlayar di mata. Menggeletar Light melihatkan tubuh Aariz yang kaku.
Dia teringat bagaimana penjahat melepaskan gas ammonia di dalam bilik itu dan menguncinya di dalam dengan kaki dan tangan berikat. Aariz yang datang menyelamatkannya pada saat akhir. Aariz membuka pintu bilik kurungan, melepaskan tali yang mengikat kaki dan tangannya dan kemudian, memakaikannya topeng gas yang dilengkapi dengan canister kimia khusus untuk melindungi hidung dan mulut daripada gas berkepekatan tinggi.
Sedangkan Aariz? Topeng gas itu asalnya dipakai oleh Aariz sendiri tapi disebabkan mahu menyelamatkan dia, Aariz memberikannya topeng gas tersebut. Aariz terpaksa bernafas dengan penuh kepayahan dalam gas ammonia itu tanpa apa-apa perlindungan. Efeknya, Aariz koma selama seminggu dan insiden itu membuatkan dia sakit sehingga sekarang.
Hidup Aariz sudah tidak normal seperti orang lain. Dia perlukan rawatan jangka masa lama. Pekerjaannya juga terjejas. Kerana itu dia, seorang Light, berjanji kepada dirinya sendiri untuk membalas jasa Aariz walau dengan apa cara sekalipun. Dan kerana itu jugalah dia rela bertukar jabatan dan berada di samping Aariz. Demi menjaga lelaki itu daripada apa-apa kejadian tidak diingini, juga kerana ingin menebus rasa bersalahnya.
"Light..." Keluhan berat kedengaran terbit dari mulut Tuan Walid dan keluhannya itu segera berganti dengan nada tegas menyuruh Light berlari ke Toyota Camry milik Aariz.
"Cari portable oxygen dan oximeter dalam kereta dia. Sepatutnya benda tu sentiasa ada di dalam kereta. Pasangkan oximeter pada Dark dan berikan oksigen secara terus menerus kepada dia sehinggalah sampai ke infirmari markas kita," suruh Tuan Walid.
Setelah menjumpai alat tersebut, Light dengan dibantu oleh seorang pegawai polis lelaki terus mengangkat Aariz ke dalam kereta di bahagian belakang. Oximeter, alat yang dapat mengukur tahap oksigen dalam darah dipasang ke jari telunjuk Aariz dan tabung silinder oksigen mudah alih terus diberi tanpa henti.
"Jalan, Cindy!" arah Light tertekan. Berdebar hebat jantungnya melihatkan keadaan kawannya yang bagaikan telur di hujung tanduk.
Menurut arahan, Cindy terus memandu laju ke markas mereka. Habis semua peraturan lalu lintas dilanggarnya dan dia tidak kisah dengan semua itu. Apa yang dikisahkannya sekarang ialah kondisi Aariz dan Khayra.
Khayra. Gadis itu setia memandang Aariz sambil memeluk Yaya. Yaya juga menangis tanpa suara sama seperti Khayra. Kedua-duanya orang perempuan itu sememangnya menyayangi Aariz.
"Bersabarlah, dalam lima minit lagi kita akan sampai," beritahu Cindy dalam nada cemas yang sedaya upaya dikawal baik.
Toyota Camry yang dipandu laju oleh Cindy menderum hebat memecah suasana senyap malam. Malam bencana, hati merana. Ya Allah, sungguh mereka berharap agar Aariz tidak apa-apa.

YOU ARE READING
CODE NAME: DARK [COMPLETED]
RomansaThe Fallen Hero. Itu gelaran senyap yang ditelan oleh Aariz Iktizar, seorang ejen perisikan terlatih dari Unit Jenayah Dalam Negara. Tugasannya di lapangan serba ekstrem berakhir, tapi tiada istilah mengalah kerana nyawanya sentiasa diintai oleh si...