Bab 2

5.1K 500 338
                                    

"TAUKE, tauke!" jerit Sohok sambil berlari kencang ke arah ketuanya.

Tauke Cincau yang terdengar jeritan ayu lagi sopan daripada anak buahnya mendengus kasar. Sohok ni nak apa lagi? Nama saja macam jantan, tetapi perangai lembut macam sotong. Boleh tak kalau berlari tu tak terkepit-kepit?

"Tauke!" Sohok melepaskan lelahnya di hadapan Tauke Cincau. Peluh yang merenik di dahi dikesat perlahan dengan menggunakan sapu tangan berwarna merah jambu.

"Apa lagi yang tak kenanya, Sohok?" Tauke Cincau menggeram. Mahu saja dibalunnya anak buahnya yang seorang ini jika tidak difikirkan yang Sohok ialah pengikut setianya.

"Tok Dalang kampung seberang nak jumpa tauke," beritahu Sohok.

"Habis tu? Biar ajelah orang tua tu jumpa aku." Tauke Cincau kembali meneruskan kerjanya mengukir kayu untuk dibuat anak patung yang terbengkalai.

"Tapi." Sohok serba salah.

"Apa lagi tapi-tapi?" Naik seoktaf, Tauke Cincau menghempas kasar kayu anak patung ke atas meja.

"Ladang ketum kita kena serbu," beritahu Sohok takut-takut.

"Apa?" Bergegar meja ditepuk kuat oleh Tauke Cincau. Habis habuk kayu jatuh bertaburan, manakala pahat dan tukul pula beralih tempat. Efek hentaman tangan kekar si Tauke Cincau sememangnya padu.

"Kenapa kau tak bagi tahu aku awal-awal?" tempik Tauke Cincau di muka Sohok sehingga terpercik air liur.

"Aku bagi tahulah ni. Tu sebab Tok Dalang nak jumpa tauke." Sohok diam menikus.

Tauke Cincau mendengus kasar. Misai lentiknya diurut kasar. Kepalanya yang sedia licin turut diusap kasar sampai bersinar-sinar dipanah cahaya matahari. Serius betul masalah yang mereka semua hadapi sekarang ini. Hish, tak guna betul. Siapalah punya angkara?

"Tauke." Takut-takut, Sohok menentang pandangan tajam taukenya.

"Aku tahu siapa yang bagi info pasal ketum kita kepada pihak polis," beritahu Sohok serba salah. Sesekali, dia tersengih-sengih sambil menggaru-garu telinga.

"Siapa?" soal Tauke Cincau sepatah.

"Cikgu kampung sebelah." Sohok menunduk menekur lantai.

"Tak guna!" Tauke Cincau semakin geram.

"Kau perhatikan lagi gerak-geri cikgu tu. Ingat, apa-apa hal beritahu aku terus." Mengendur suara, Tauke Cincau mengambil kayu patungnya lantas bersedia menyambung kembali kerja mengukir.

"Kalau perlu bunuh, bunuh. Aku tak nak ada lalat yang cuba gagalkan kerja aku," perintahnya tegas.

"Baik, tauke." Sohok menunduk-nunduk lalu terus keluar dari bengkel pembuatan anak patung si ketuanya.

Fuh, bapak seram sih mahu menghadap si Tauke Cincau. Dia, Sohok atau nama glamournya "So Hot" pun boleh terkecut urat berani apabila berdepan dengan mamat "Ching Chow" ketuanya!



HARI yang diharap tidak pernah terjadi, akhirnya tiba jua. Ryzen kini terpacak teguh di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Tiang Riuk. Kenapalah nama sekolah ini pelik sangat? Sudahlah nama sekolah pelik, warganya pun nampak pelik.

"Cikgu Harraz?" Sambil membetul-betulkan cermin mata yang longgar di atas batang hidung, seorang pengawal keselamatan atau dipanggil "jaga" sekolah mendekatkan mukanya ke muka Ryzen.

"Ya, saya," jawab Ryzen dengan muka berkerut.

'Pergi jauh-jauhlah. Busuk tahu bau rokok?' Perasaan Ryzen menyebal, namun si jaga semakin menyeringai galak lagi kepadanya seraya menampakkan giginya yang kuning dan berkarat.

CODE NAME: RYZEN [TERBIT NOVEL FIZIKAL]Where stories live. Discover now