Bab 4

4K 458 226
                                    

"PERLU ke saya ajar Sejarah, pengetua?" soal Ryzen dengan muka seposen. Tolonglah, dia kurang suka ajar subjek yang biasanya selalu akan membuatkan para pelajar tidur di dalam kelas. Subjek paling mengantuk, kata pelajar.

"Wajib." Sepatah, Pak Imam Saleh memberikan arahan mandatori.

Itu dia, figura Pak Imam Saleh yang tersenyum bahagia memandangnya dipandang kecil besar saja. Memang, memang terang lagi bersuluh dia telah dikenakan oleh pak-pak berdua. Sabar, Ryzen!

"Okey," akur Ryzen dalam terpaksa.

"Bagus, ini yang saya mahukan. Anak muda kena tahu, minat dan menghayati sejarah." Pak Imam Saleh melebarkan lagi sengihan.

"Oh ya sebelum saya lupa, cikgu juga akan mengajar subjek Pendidikan Islam. Itulah, sekarang ni Ustazah Zaniah cuti bersalin. Tak ada cikgu lain yang sanggup ganti kelas dia." Dalam bertutur, sempat lagi Pak Imam Saleh berlapik kata.

Ternganga Ryzen mendengar arahan mandatori kuasa dua yang keluar dari mulut Pak Imam Saleh. Aduh, mula-mula kena mengajar Sejarah, sekarang mengajar Pendidikan Islam pula? Habis, dia perlu dipanggil apa selepas ini? Cikgu? Ustaz?

"Pengetua." Ryzen cuba berdiplomasi.

Aduh, serba tak kenalah dia hari ini. Memang terbukti warga sekolah ini semuanya pelik-pelik. Ya betullah, kalau diikutkan dalam kajian, tiga orang sampel sudah memadai untuk meletakkan hujah dan bukti akan kelancaran sesuatu kajian.

Sekejap, Ryzen. Sedarlah, sekarang ini bukannya dia yang sedang membuat kajian, tetapi dia yang sedang dilakukan ujian oleh si pak imam. Ah, boleh gila dia diperlakukan oleh orang-orang di sini!

"Sejarah, okey saya boleh terima. Tapi Pendidikan Islam..." Ryzen membuat muka kasihan.

Pak Imam Saleh melorotkan cermin matanya ke batang hidung. Aduh, Cikgu Harraz sudah buat muka kasihan! Tapi... ah, tak ada tapi-tapi! Kata adik kembarnya Pak Lebai Leman, Cikgu Harraz ini boleh tahan bagus dalam memberi ceramah agama. Itu kuliah selepas subuh, elok saja dia bertazkirah.

"Maaflah cikgu, tapi sekarang ni hanya cikgu yang layak. Cikgu kena ingat, tak semestinya kena ada pangkat atau gelaran ustaz barulah boleh mengajar agama. No, it's a big no ya cikgu." Pak Imam Saleh menggoyangkan jari telunjuknya ke kiri dan ke kanan.

"Dalam hidup ni, siapakah guru pertama kita bermula dari detik kita lahir ke dunia? Ibu bapa kita. Mereka tu ada pangkat ustaz ke untuk mengajar kita mengenal alif ba ta? Tak juga. Hanya anak-anak yang bertuah saja lahir-lahirnya ibu bapa memang ustaz ustazah." Pak Imam Saleh berjeda.

"Kalau nak pukul rata mengaji agama ni wajib daripada orang yang ada gelaran ustaz ustazah, habislah Cikgu Harraz oii. Habis tu orang yang tak ada gelaran ustaz ustazah ni memang tak layak ke menegur kesalahan orang? Tak layak ke menyampaikan ilmu agama walau sedikit?" Pak Imam Saleh berjeda lagi.

"Apa pun cikgu, ustaz atau ustazah tu maksudnya guru dalam bahasa Arab. Sama saja maknanya cikgu dalam bahasa Melayu. Jadi, apa yang susahnya?" soal Pak Imam Saleh pula.

"Rekod kamu cantik Cikgu Harraz. Apa guna ada Sarjana Pengajian Islam tetapi ilmu agama yang ada tu, cikgu tak nak guna?" soal Pak Imam Saleh lagi.

Bicara pak imam memang padu. Ryzen hanya mampu melayangkan sengihan yang tidak berapa menjadi sengihannya. Tak pasal-pasal pagi ini dia kena dengar tazkirah percuma. Hai Tuan Azam, apakah ini sampaikan sijil sarjananya pun diberitahu kepada Pak Imam Saleh?

"Dah, saya tak nak terima apa-apa alasan lagi. Inilah masanya untuk cikgu bantu penduduk kampung. Mereka itu tenat rohani dan jasmani. Kehadiran cikgu di sini, sedikit sebanyak saya harap dapat mengubahnya," kata Pak Imam Saleh sambil memandang penuh pengharapan kepada Ryzen.

CODE NAME: RYZEN [TERBIT NOVEL FIZIKAL]Where stories live. Discover now