SELURUH dunianya terasa berpusing-pusing dan segala jeritan serta pekikan yang menerjah di ruangan pendengarannya kedengaran seolah-olah angin lalu. Ketika ini, dia sendiri bingung. Apa sebenarnya yang terjadi kepada dia?
"Cikgu? Cikgu!" Ryzen berasa pipinya ditepuk-tepuk.
"Apa kita nak buat, pak lebai?" Kedengaran pula suara panik seorang perempuan bertanya.
"Dia masih sedar ni. Mahad, tolong pak angkat cikgu ke kereta. Kita bawa dia ke klinik," arah pula suara lelaki yang dipanggil "Pak Lebai".
Ryzen berasa dirinya diangkat beramai-ramai sebelum semuanya kelam dan sunyi. Kemudian, dia tidak sedar lagi apa yang berlaku kepada dirinya sendiri.
FIGURA seorang doktor tua dan seorang jururawat di klinik tersebut yang sedang merawat mengundang tanda tanya bagi dirinya yang sentiasa dipenuhi tanda tanya. Dalam benaknya, dia tidak yakin akan kebolehan doktor itu merawat Ryzen.
Macam seram saja dia melihat tindak-tanduk si doktor ketika membersihkan luka di tepi dahi Ryzen sebab nampak macam tidak profesional saja kerjanya. Namun, dia bersyukur jugalah apabila diberitahu bahawa kecederaan yang dialami oleh Ryzen tidaklah parah.
Efek rempuhan kuda mengamuk hanya menyebabkan bahu Ryzen lebam membiru. Tetapi, luka yang terhasil di kepala akibat terhantuk keras pada batang kayu buruk yang terdampar di atas pasir nampak mengerikan.
Ketika ini, perasaan marah kepada pihak berwajib tiba-tiba muncul. Mereka tidak menitikberatkan kebersihan dan keselamatan pantai ke? Sepatutnya, kawasan pantai perlu bersih daripada sebarang sampah sarap dan benda berbahaya. Tengoklah, tak pasal-pasal Ryzen menjadi mangsa.
Eh, emosi pula Shaurin ketika ini!
"Puan, nanti ubat untuk suami puan ambil di kaunter ya," pesan si doktor tua.
Pantas Shaurin tersedar daripada lamunannya. Lantas, dia menghalakan jari telunjuknya ke batang hidungnya sendiri. Puan? Suami? Apa hal doktor ini? Sejak bila pula dia menjadi isteri Ryzen?
"Doktor, saya." Shaurin ingin menafikan namun kata-katanya terlebih dahulu dicantas oleh doktor tersebut.
"Kamu ni memang isteri yang baik, nak. Jarang orang di sini kalau suami sakit, dia bawa ke klinik. Sama juga halnya kalau isteri yang sakit. Masyarakat di sini, parah!" Bersungguh-sungguh si doktor bercakap.
"Kamu pula, siap teman lagi suami kamu sedar. Bagus, kamu sangat bagus!" Si doktor mengangkat ibu jari kepada Shaurin.
Itu dia, ternganga Shaurin mendengar pujian tetapi tersalah tuju tersebut. Hei orang tua, muka dia ini nampak macam bini orang ke? Dia terbengang sendiri, namun ketidakpuasan hatinya ditelan saja dek Ryzen sudah mulai sedar.
"Rin." Itu perkataan pertama yang keluar dari mulut Ryzen apabila sedar.
Mata Shaurin membulat apabila mendengar namanya terpacul keluar dari mulut Ryzen. Perlahan-lahan, dia berpaling kepada si doktor yang memandangnya sejak tadi. Si doktor itu tersenyum manis kepadanya bagaikan mendapat kemenangan saja gayanya.
Mesti doktor itu ingat Ryzen ini betul-betul suaminya. Aduhai, doktor! Senyuman plastik kemudiannya diberikan kepada doktor tersebut sebelum kakinya melangkah lebih dekat ke katil yang menempatkan Ryzen.
"Ryzen," panggil Shaurin seraya melemparkan senyuman buat jejaka itu.
Ryzen ialah penyelamatnya. Jadi, seharusnyalah dia bermanis muka sebagai tanda penghargaan dan terima kasih. Kalau dia yang dilanggar dek kuda tadi, mungkin dia yang akan terlantar di katil.
"Aku kat mana ni?" tanya Ryzen seraya memegang kepala. Dapat dirasakan pada tangannya kesat kain kasa yang membaluti luka di tepi dahinya.
Shaurin ingin menjawab namun sekali lagi, si doktor tua terlebih dahulu mencantas percakapannya. Sudahnya, dia hanya membiarkan saja doktor itu memeriksa lagi sekali kondisi Ryzen.
YOU ARE READING
CODE NAME: RYZEN [TERBIT NOVEL FIZIKAL]
ActionKehidupan ibarat permainan catur. Setiap strategi mempengaruhi hasil akhir. Harraz Zayne, code name Ryzen. Seorang ejen perisik lapangan terlatih yang sentiasa menjadikan misi sebagai keutamaan. Namun, pertemuannya dengan Shafa Raisha sungguh menggu...