Bab 10

3.9K 380 147
                                    

BUNYI yang terhasil daripada dua buah enjin motosikal yang semakin menghampiri didengar teliti oleh Ryzen dan Shaurin. Ketika ini, Shaurin baru sahaja memberhentikan keretanya di perkarangan rumah yang diduduki oleh Ryzen.

Tidak lama kemudian, kedua-dua motosikal tersebut juga berhenti di situ. Turunlah Pak Lebai Leman dan Pak Mahad si pemilik kuda dari jentera tersebut. Melihat dua batang tubuh manusia itu berjalan menghampirinya yang masih berada di dalam kereta, terus saja Ryzen membuka pintu kereta.

"Cikgu," tegur Pak Lebai Leman.

"Pak lebai," sahut Ryzen disertai sengihan.

"Risau pak bila tengok kamu pengsan kena langgar tadi. Ish, kamu ni," bebel Pak Lebai Leman seraya menggeleng-gelengkan kepala.

"Jangan risaulah pak." Ryzen hanya mampu tersengih lalu berpaling kepada Shaurin di sebelah.

Gadis itu diam sahaja di kerusi pemandu tanpa rasa ingin menyampuk percakapan mereka berdua. Behave betul, anak siapakah ini? Baguslah nilai murni yang ada pada Shaurin, tidak menyampuk percakapan orang sesuka hati.

"Rin, terima kasih," ucap Ryzen sambil tersenyum.

"Sama-sama," balas Shaurin perlahan.

"Okeylah, kau hati-hati drive tu." Ryzen menitipkan pesanan.

"Insya-Allah," jawab Shaurin seraya tersenyum nipis.

Berpuas hati dengan jawapan balas Shaurin, Ryzen terus keluar dari kereta. Kebal sangat kan badan dia? Ya itu biasa sampaikan bantuan papahan yang dihulurkan oleh Pak Lebai Leman pun ditolak baik.

Setelah Ryzen keluar dari kereta dan selamat menapak ke halaman rumah, Shaurin terus beredar dari situ. Tidak betah dia berlama-lama di rumah anak teruna orang. Tidak manis dipandanglah. Tambah lagi, apa pula kata Pak Lebai Leman nanti?

Setelah figura kereta yang dipandu Shaurin semakin mengecil pada pandangan Ryzen, dia kembali menalakan pandangannya kepada Pak Lebai Leman dan Pak Mahad yang berdiri di sebelahnya.

Wajah serba salah Pak Mahad ditenung dalam sebelum segaris senyuman diberikan kepada lelaki separuh abad tersebut. Pak Mahad berasa gundah? Mungkin juga sebab kuda yang ditunggang oleh Asrul yang merempuh Ryzen tadi.

Seperti dijangka, Pak Mahad memandangnya dengan riak wajah yang terkandung perasaan bersalah yang menggunung. Laju saja lelaki itu mencapai tangannya dan menggenggamnya erat.

"Aku minta maaf cikgu. Asrul, anak aku tu baru belajar naik kuda. Biasanya kuda tu jinak aje, tapi tak tahulah kenapa binatang tu boleh jadi liar pula," tutur Pak Mahad serba salah.

"Benda nak jadi, pak. Siapa kita nak elak takdir Allah? Apapun, tak apalah. Pak jangan risau, saya okey saja ni," pujuk Ryzen seraya tersenyum.

Memaafkan kesalahan orang, itu ialah perangai Ryzen sejak dahulu sehingga kini. Ajaran daripada ibu dan ayahnya masih tersemat kukuh dalam hati. Walau besar mana pun kesalahan orang, kita tak layak nak menghukum. Bukankah kemaafan itu lebih baik?

Lagipun, Pak Mahad langsung tidak bersalah dalam hal ini. Hanya saja anaknya gagal mengawal si kuda, takkan nak disalahkan si bapa pula? Lagipun, Asrul itu pelajarnya. Walaupun budak tidak cemerlang dalam akademik, namun kecemerlangannya dalam sukan begitu terserlah.

Setiap orang ada kelebihan dan kelemahan, jadi masyarakat tidak sepatutnya mengukur tahap kecerdasan pelajar melalui akademik sahaja. Sangat kasihan kepada pelajar yang cemerlang dari segi kemahiran namun sentiasa dianaktirikan.

"Cikgu baik sangat." Pak Mahad mengalirkan air mata.

"Aku dah kata Mahad, cikgu ni baik. Tak apa, jangan risaulah," pujuk Pak Lebai Leman pula kepada Pak Mahad.

CODE NAME: RYZEN [TERBIT NOVEL FIZIKAL]Where stories live. Discover now