PINTU kereta ditutup. Kuncinya ditekan lalu dimasukkan ke dalam tas tangan. Alangkah terperanjatnya sebaik dia berpusing.
Lelaki ini lagi.
Apa dia buat dekat sini? Siap usung gitar ke sana, ke sini. Pemuzik agaknya. Tengok pada gayanya, macam itu. Berseluar pendek paras lutut gaya tipikal orang barat. Gaya yang sama seperti tempoh hari.
Hatinya masih tertanya-tanya. Bukan setakat itu, rasa curiga pun ada. Lelaki ini mengintip aku ke?
"Hello," tegur Michael.
Alya cuma angguk. Tiada langsung segaris senyuman. Tas tangan dipegang erat.
"Nak apa ya?"
Alya menuding telunjuknya. Seperti biasa, dia menggunakan bahasa isyarat.
Bagaimana kalau lelaki ini berniat tidak baik? Pelbagai sangkaan mula bermain dalam fikiran Alya. Atau mungkin dia mahu meminta pertolongan sekali lagi? Mungkin tengah mencari seseorang kut. Dia cuba menepis daripada berfikir yang bukan-bukan.
Lagipun lelaki ini menginap di resort yang berhampiran. Agaknya dia tahu aku kerja dekat-dekat sini.
"I just happened to walk around here and saw you."
Sepasang mata itu memandang Alya. Seperti biasalah, dia pasti akan mengunyah gula-gula getah. Sudah menjadi tabiat.
Gadis ini kenapa? Pandang dia jelik. Tak tahulah. Mungkin dia saja yang rasa begitu.
Michael memandang gadis yang manis berbaju kurung dengan corak bunga berwarna pink pastel. Sedondon pula dengan warna tudung yang dipakai. Warnaya taklah terlalu menyerlah. Sejuk mata memandang. Just nice.
Dia berasa pelik sewaktu mula-mula tiba ke sini. Ramai perempuan bertudung dan berbaju longgar. Dia fikir cuaca di Malaysia lebih sejuk agaknya. Telahannya meleset. Cuaca boleh tahan panas. Dan barulah dia tahu ramai Muslim di sini seperti di Indonesia. Benarlah seperti apa yang pernah diceritakan Asyraf kepadanya dulu.
Alya mendongak. Lelaki itu merapati seraya bercekak pinggang. Mata Michael melingas memerhati bangunan tersebut. Gaya seperti tertarik dengan suasana di situ.
"Is this your workplace too?"
Too? Alya semakin pelik.
"Apa awak buat kat sini?"
Alya membuat isyarat tangan sekali lagi.
Michael tahan gelak melihat gelagat Alya. Dia faham apa yang sedang bermain dalam fikiran gadis yang tidak dikenali itu.
Ikut hati, boleh sahaja dia menghubungi Asyraf. Tetapi, sengaja dia tak buat begitu. Sengaja dia berpura-pura. Dia masih lagi teringat kata-kata yang dilemparkan Alya dulu. Dia dapat rasa gadis ini mengenali Asyraf.
Sudah beberapa kali dia ternampak gadis ini berada di bangunan pejabat abang angkatnya. Dia juga perasan gadis ini seperti hendak mengelak daripadanya. Dari hari itu lagi. Macamlah dia tak tahu.
Alya berusaha mengelak. Dia betul-betul tak selesa. Lelaki ini macam nak ikut dia. Hisy, apa kenalah.
"I want to meet someone."
"Who?"
Michael tidak menjawab. Berkerut dahinya. Michael curiga. Apa yang membuatkan gadis itu takut dengannya? Setahunya dia tak buat apa-apa. Tanya macam itu saja.
Lelaki itu merapati lagi. Alya berundur beberapa tapak. Sebuah motosikal lalu di belakang, nyaris hendak merempuh tubuh kecil moleknya. Tangannya segera ditarik Michael.
YOU ARE READING
ꜱᴜᴅᴀʜ ᴀᴋᴜ ᴍᴇɴɢᴇʀᴛɪ
RomanceSudah Aku Mengerti © 2021 published with DEAR NOVELS RM24 (SM) / RM27 (SS) Perkenalan yang sangat sukar. Awkward. Begitulah apa yang Alya rasa saat kali pertama bertemu Michael, lelaki kacukan Melayu-Amerika yang baru nak kenal budaya Melayu denga...