MICHAEL memandang sekumpulan kawan-kawannya yang hanya berseluar pendek tanpa berbaju. Mulut sibuk mengunyah gula-gula getah. Masing-masing berseronok di tepi kolam renang meraikan sebuah parti. Bergelak ketawa dalam suasana riuh-rendah dan penuh gamat. Muzik jazz menjadi latarnya.
Salah seorang daripada mereka mendekati, menepuk bahunya. Sengihan menghiasi muka kacaknya. Mempamer barisan gigi yang putih. Genggaman tangan yang dihala ke arahnya turut dibalas. Gaya fist bump. Cukup mesra.
"You're okay, dude?"
"I'm fine." Michael berbohong.
Ini semua pengubat duka yang sengaja disembunyikan. Senyumnya pura-pura. Hanya dia sahaja tahu apa yang sedang bermain dalam fikirannya.
Belum sempat perbualan diteruskan, telefon pintar di dalam poket seluar paras lututnya berbunyi. A video call. Senyuman melebar. Dikerling kawannya yang masih berada di sisi.
"I'll catch you guys later okay?" Dia memberi isyarat dengan menunjukkan telefon pintarnya itu.
"Sure."
Panggilan itu dijawab sebaik kawannya terus berlalu.
Muka seorang lelaki yang cukup dikenali terpamer pada telefon pintar, menjadikan senyumannya kian lebar. Mana tidaknya, sudah agak lama mereka tidak bertemu. Hanya kerap berhubung di Facebook.
Jarang Asyraf menelefonnya. Ini tak lain tak bukan... sebab hal mustahak kut.
"Hei."
"Kau kat mana?" tanya Asyraf.
"Hang out with my colleagues."
Asyraf mendekatkan telefon bimbitnya bersama sepasang mata yang dikecilkan.
Michael gelak kecil dengan gelengan perlahan. Faham sangat. Asyraf pula buat-buat biasa sebaik menyedari Michael berada di mana saat itu.
Michael bersama kawan-kawannya, baik lelaki dan perempuan nampak tengah bersuka ria di tepi kolam renang. Meriah suasananya.
Sakit mata Asyraf melihat beberapa gadis berbikini dan lelaki berseluar pendek yang bergaul bebas menjadi latarnya ibarat sedang menonton movie Hollywood. Aurat entah ke mana. Semua mat salih bercampur dengan beberapa bangsa berkulit hitam.
Dia juga yang pilih mahu video call. Sendiri tanggunglah. Terlihat pula tayangan percuma itu.
Asyraf ambil peluang menghubungi Michael yang merupakan adik angkatnya sebaik habis bermesyuarat tadi. Sebelum ini, mereka lebih banyak berbalas e-mel. Dia mahu tahu berkenaan janji mereka yang berbulan-bulan tertangguh akibat kesibukan masing-masing.
"Hey, babe."
Seorang gadis menghampiri dengan lenggok menggoda. Menghenyak punggung di sisi Michael dengan senyuman. Michael hanya membiarkan.
"Kau berparti lagi?"
"Yes." Michael beraut nakal.
"Kawan aku ajak makan-makan di rumahnya," sambung Michael.
Asyraf bermuka biasa. Mujurlah gadis tersebut elok berbaju dan berseluar.
Apabila sudah berkumpul ramai-ramai begitu, sekilas pandang pun Asyraf tahu. Dari segi luaran, Michael tak jauh berbeza daripada kawan-kawannya walaupun berdarah kacukan.
"Siang malam berparti apa kau dapat?" Setepek Asyraf bagi.
Michael macam biasalah, tahu gelak sahaja. Dia bukannya ambil serius pun. Ada ketikanya dia serius, ada kalanya tidak. Nampak lebih kepada nak main-main sahaja.
YOU ARE READING
ꜱᴜᴅᴀʜ ᴀᴋᴜ ᴍᴇɴɢᴇʀᴛɪ
RomanceSudah Aku Mengerti © 2021 published with DEAR NOVELS RM24 (SM) / RM27 (SS) Perkenalan yang sangat sukar. Awkward. Begitulah apa yang Alya rasa saat kali pertama bertemu Michael, lelaki kacukan Melayu-Amerika yang baru nak kenal budaya Melayu denga...