PINTU bilik pejabat Asyraf dibuka. Alya melangkah masuk dengan mata tak lepas memandang Michael.
Michael membalas pandangan itu. Dia tahu Alya masih bengang. Mungkin Alya rasa ditipu hidup-hidup.
Alya berdiri di satu sudut sambil memeluk tubuh. Tiada langsung segaris senyuman. Dia tidak berpuas hati dengan lelaki ini. Boleh selamba sahaja mengenakan dia. Mesti lelaki ini puas mentertawakan dirinya yang seperti orang bodoh. Jika diikutkan, malu pun ada.
"Ada apa ya?" tanyanya.
"Kejap ya, Alya. Duduklah dulu kut ye pun." Asyraf senyum.
Alya menarik kerusi dan terus melabuhkan punggung. Tanpa sedar, lama diperhati gelagat lelaki itu melalui ekor mata.
"What are you looking at?"
Suara Michael kedengaran menampar gegendang telinga. Mata mereka bertembung.
Alya tersentak, cepat-cepat mengalihkan mata ke arah lain. Dia sembunyikan rasa segan yang menguasai. Dia tidak tahu pula lelaki itu perasan dia sibuk memerhati.
Huh, bahaya. Mata lelaki ini mata helang agaknya. Belum pernah ada lelaki yang pandang dia begitu.
Bilik yang ada pendingin hawa ini sudah tidak terasa sejuknya lagi. Sebaliknya, Alya terasa panas membahang. Terasa mahu lari jauh-jauh pun ada. Seperti segala gerak-gerinya diperhatikan.
Lelaki ini sukar dijangka.
"Ini? Nak buat apa angkut sekali gitar tu?" Alya mengerling.
Dia buat-buat tanya demi nak menutup malunya. Berpura-pura tenang. Lagaknya biasa, sama seperti pertemuan mereka di sungai tempoh hari.
"I need music in my life." Michael jawab selamba.
Gitarnya dicapai. Dibawa ke pangkuan.
Alya masih tidak percaya lelaki ini boleh memahami percakapannya. Bermaksud, Asyraf tidak menipu. Lelaki ini boleh faham dan tahu apa yang dituturkan.
Lelaki ini juga tahu apa yang dia bualkan bersama akak peniaga tersebut. Entah bagaimanalah persepsi Michael terhadap dia agaknya.
Dengan apa yang berlaku, apa yang dia sudah kata... Michael tidak marah pula? Namun, sedikit sebanyak, gayanya menakutkan.
Michael membalas pandangan Asyraf. Kenapa topik mereka berkisar kepada gitar kesayangan dia pula?
"Why don't you tell her? Pasal kau punya pelan tu."
Asyraf terus angkat muka. Barulah dia tersedar apa tujuannya memanggil Alya. Dia meletakkan pen di atas dokumen yang baru sahaja diperiksa. Jadual itinerari pendakian yang berada di tangan diserah kepada Alya.
Alya menyambut, terus membelek-belek beberapa helaian kertas tersebut dengan khusyuk.
"Maaf, Alya. Biarkan kau tunggu lama pula. Aku nak minta tolong boleh?"
"Tolong apa?"
"Aku nak, kau dan Michael uruskan pasal keperluan penting yang lain-lain ni," pinta Asyraf.
Michael senyum. Menyandar sambil kaki disilang. Sebelah tangan lagi memegang dagu. Sepasang mata nakal memerhati telatah gadis itu.
"You mean, she's going to be my partner in crime?"
Alya terpempan. Dia melarikan mata daripada panahan tajam itu. Dia tidak sedap hati sebaik melihat senyuman yang seperti terkandung seribu makna. Seram sejuk.
Asyraf malas nak melayan kata-kata Michael. Dia menunggu balasan Alya.
Alya kelihatan serba salah.
YOU ARE READING
ꜱᴜᴅᴀʜ ᴀᴋᴜ ᴍᴇɴɢᴇʀᴛɪ
RomanceSudah Aku Mengerti © 2021 published with DEAR NOVELS RM24 (SM) / RM27 (SS) Perkenalan yang sangat sukar. Awkward. Begitulah apa yang Alya rasa saat kali pertama bertemu Michael, lelaki kacukan Melayu-Amerika yang baru nak kenal budaya Melayu denga...