"ALYA, Isma? Err... Michael."
Satu suara menegur. Masing-masing berpaling dan memandang seorang lelaki yang segak dan bermuka tampan.
Asyraf tiba-tiba saja muncul. Dia nampak santai berkemeja biru cair yang disingsing ke paras lengan dan berseluar jean.
Asyraf perasan perubahan muka Michael sebaik dia muncul. Ini tak lain tak bukan, mesti disebabkan adik angkatnya itu yang tiba-tiba sahaja boleh kecoh.
Apalah agaknya yang Michael lakukan sampaikan Alya tiba-tiba nak mengamuk? Dia nampak tadi Alya tengah marah-marah.
Asyraf sudah meminta Michael menunggunya di resort sahaja. Tambahan pula hari ini, dia begitu sibuk kerana mahu menyiapkan dulu beberapa tugasan penting di pejabat. Menguruskan beberapa tugasan bagi program pendakian gunung bersama kumpulannya yang tergendala itu. Sebelumnya dia mengharapkan Isma dan Alya yang menguruskannya.
Sebaik mendapat tahu Michael sudah selamat tiba bersama mamanya, Asyraf terus mengambil peluang bertemu mereka. Itu pun sekejap sahaja. Dia perlu bekerja seperti biasa. Sengaja dia membiarkan mereka berehat lama setelah menghadap tempoh perjalanan yang memakan masa yang panjang.
Michael terus-terusan melawan pandangan Alya. Gadis itu bercekak pinggang dengan mata membulat.
"What do you want?" Alya masih membuat isyarat tangan.
Michael senyum. Asyraf melepaskan keluhan.
"Michael, dah-dahlah tu. Kau ni tak habis-habis nak kacau member aku, apa hal?" Dia menegur.
Alya terkejut. "Kau kenal dia ni?"
Asyraf berpandangan dengan Michael. Masing-masing tahan gelak. Raut nakal Michael dipandang Alya.
Berjaya juga dia mengenakan Alya. Reaksi gadis itu cukup menghiburkan.
"Ya, inilah dia adik angkat yang aku cerita tu. Namanya, Michael."
Asyraf memperkenalkan Michael kepada mereka. Michael sekadar mengangguk.
"Hai, Michael. Saya Isma. Ini pula Alya."
"Helo."
Alya berpura-pura tenang walaupun dia tidak selesa dengan kehadiran lelaki asing ini. Mengenangkan apa yang berlaku antaranya dengan Michael, nak pandang muka Michael pun dia naik segan.
"Michael, inilah team aku. Kumpulan ni yang banyak support apa jua outdoor activity yang kitaorang buat. Kau pun tahu kan aku aktif buat kerja-kerja macam ni," ujar Asyraf.
"I see..." Michael membalas.
Alya dan Isma saling berpandangan. Tak menyangka langsung Michael boleh memahami percakapan mereka.
"Michael ni dari mana, Asyraf?" tanya Isma ramah.
"Dari negara Uncle Sam," jawab Asyraf selamba.
Michael berdeham.
"Macam mana korang boleh kenal ya?" Isma ingin tahu.
Alya hanya mendiamkan diri bersebelahan Isma. Langsung tak berkata apa.
"Kitaorang memang rapat sejak dulu lagi. Aku kan pernah duduk luar negara dulu. Dari situlah aku kenal Michael." Asyraf jawab dengan senyuman.
Pautan di bahu Michael dieratkan. Usia mereka berbeza tiga tahun. Bermakna adik angkatnya itu sebaya Alya.
Michael itu memanglah lelaki mat salih. Mat salih kacukan Melayu. Sebab itulah dia tahu berbahasa Melayu. Kerana Michael pernah tinggal bersama keluarga Asyraf. Belajar di sekolah dan kolej yang sama. Michael dianggap sebagai anak angkat oleh kedua-dua ibu bapa Asyraf. Asyraf turut mengenali keluarga Michael.
Bapa Asyraf bekerja sebagai pegawai di Kedutaan Malaysia di luar negara. Keluarga Asyraf banyak memberi tunjuk ajar kepada Michael tentang Islam.
Michael bersolat pun kerana terikut-ikut dengan keluarga angkatnya. Dia cuma tahu dia Muslim dan perlu bersolat. Hanya itu saja.
Walaupun Asyraf kini telah berpindah semula ke Malaysia, hubungan mereka masih tetap akrab. Keluarga Asyraf berada di US memandangkan bapanya masih bekerja di sana. Asyraf kini tinggal menemani neneknya di rumah pusaka keluarganya.
"Michael betul reti cakap Melayu?" tanya Isma lagi.
Michael angguk sekali.
"Bukan setakat reti, fasih lagi. Hah, kau orang jangan terkejut pula." Asyraf menjawab.
Berubah muka Alya. Dia menggigit bibir bawah.
"Fasih yang memang fasih?" tanya Isma lagi.
Mukanya macam tak percaya.
"Yalah, nak maksudkan fasih yang bagaimana lagi?" Asyraf bernada mengusik.
Isma tersipu.
"Cuma sesekali tu adalah campur-campur English sikit."
"Oh, macam tu."
"Tak tahu pula dia boleh cakap Melayu. Jangan-jangan, dia sengaja nak kenakan aku agaknya." Alya berbisik di telinga Isma.
Jelingan dilemparkan kepada lelaki itu.
Teringat pertemuan mereka. Lelaki itu bersama dua perempuan Inggeris yang berbaju seksi macam tak cukup kain. Memikirkan hal tadi, semasa mereka bertemu di depan pejabat, meremang bulu tengkuknya. Tak sanggup dia nak ingat lagi kejadian itu.
Nama pun mat salih. Gaya hidup mereka terlalu bebas tanpa pegangan agama. Entah, tidak pasti agama apa yang dianuti Michael.
Michael bermuka biasa. Itulah, siapa suruh mengata orang tak tentu pasal. Pantang baginya apabila seseorang bersikap prejudis dan begitu mudah menghukum seperti hanya dia manusia paling baik di dunia ini.
Asyraf mengerling sekilas. Dia tahu Michael sengaja. Dia cuma tidak tahu, apa niat sebenar Michael mahu mengenakan Alya.
YOU ARE READING
ꜱᴜᴅᴀʜ ᴀᴋᴜ ᴍᴇɴɢᴇʀᴛɪ
RomanceSudah Aku Mengerti © 2021 published with DEAR NOVELS RM24 (SM) / RM27 (SS) Perkenalan yang sangat sukar. Awkward. Begitulah apa yang Alya rasa saat kali pertama bertemu Michael, lelaki kacukan Melayu-Amerika yang baru nak kenal budaya Melayu denga...