Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
RENUNGAN tajam dia berikan buat Fayyadh. Kendatipun begitu, Fayyadh langsung tidak terkesan akan sebarang kata-kata mahupun tindakan Cinta.
"Senang. Aku minta kau tolong aku tukar baju je, takkan itu pun tak boleh buat?" bisik Fayyadh perlahan. Wajah Cinta yang sudah memerah kerana memendam rasa marah dan malu itu dia tenung lama.
"Tukar? Kan bersih lagi baju awak tu. Lagi satu, awak fikir awak style sangat ke buat macam ni dekat perempuan? Awak tahu tak apa yang awak buat ni boleh datangkan fitnah?" marah Cinta membuatkan Fayyadh tergelak pula.
Senyumannya kekal menghiasi wajah. Wajah Cinta kekal ditenung. Atmosfera di dalam bilik itu sunyi tanpa sebarang suara buat beberapa detik.
"Saya nak balik." Dingin Cinta berkata seraya bungkusan plastik itu dicampak tepat ke dada bidang Fayyadh. Menggunakan kudrat yang dia ada, kedua-dua tangannya menolak dada Fayyadh, membuatkan Fayyadh tidak sengaja melangkah ke belakang sedikit.
Tombol pintu dicapai laju lalu dia pulas penuh cermat dan akhirnya pintu itu dapat dibuka. Kaki kanannya melangkah ke luar bilik gym tersebut lalu cepat-cepat dia meninggalkan kawasan itu.
Sebaik sahaja figura Cinta hilang dari pandangan, Fayyadh mengetap gigi geram. Ayat yang dilontarkan Cinta sebentar tadi sememangnya membuatkan hatinya menggelegak.
"Kau tunggu, kau tunggu. Aku akan tunjuk dekat kau, siapa lagi hebat. Aku takkan kalah, Cinta. Kau tunggu sajalah," gumamnya sendiri.
Bungkusan plastik jernih yang terjatuh di atas lantai tadi dia kutip pula. Ditilik lama baju itu sebelum idea lain pula yang terbit di benak fikirannya.
AGRESIF dia melepaskan keluhan. Rasa marah dan takut masih lagi bercampur-baur. Seketika dia teringat akan detik tombol pintu itu enggan membuatkan pintu terbuka.
"Itulah kau, pulas gelabah sangat. Kan dah tak boleh buka. Kalau dari awal kau pulas elok-elok, mesti tak sangkut dengan lelaki gila tu lama-lama," marahnya terhadap diri sendiri.
Sedang dia berjalan melewati koridor bangunan, terasa ada sesuatu yang menyinggah di bahu kirinya membuatkan dia pantas menoleh ke belakang.
"Uish, kenapa terkejut sangat ni?" soal Hana polos. Sekali lagi Cinta menghela nafas dalam. Dadanya diurut perlahan. Dia sangkakan si Fayyadh itu lagi.
"Bukan awak kata awak nak balik awal ke tadi?" soal Cinta kembali. Kerana hajat Hana yang ingin pulang ke rumah awal itulah membuatkan dia pergi berjumpa Fayyadh seorang diri.
"Oh, patutnya macam tu la. Tapi saya tertinggal buku teks sains pula. Jadinya saya terpaksa patah balik. Awak pula? Lambat betul jumpa lekaki acah tu. Dia tak bising ke awak jumpa dia lambat macam ni?" soal Hana seraya anak matanya menilik jarum jam pada jam tangan. Sudah jam lima 35 minit.