Setiap orang pasti diuji. Begitulah juga aku. Rumah tangga yang aku sangkakan bahagia, akhirnya berakhir dengan kehancuran dan kesakitan yang berbekas-bekas dalamnya.
Bercerai.
Itulah ujian yang paling berat dalam hidup aku.
Aku dapat perhatian ibubapa aku.
Tapi suami?
Aku hilang dia...
Dan kami hilang nyawa zuriat kami."Ceraikan Na, abang.."
"Tak... Abang tak boleh dan abang tak nak. Apa silap abang pada Na? Bagitahu abang, sayang..."
Airmata lelaki bergelar suamiku itu langsung tidak aku endahkan.
Wajahku beku. Fikiranku kosong.
"Abang sayangkan Na."
"Kalau abang sayangkan Na, abang tak akan biarkan Na menderita begini."
Riak wajah Nazmi jelas berubah.
"Sayang menderita hidup dengan abang?" Soal Nazmi seolah-olah terkejut dengan kata-kata aku sebentar tadi.
Tanpa berfikir panjang, aku angguk kepala.
"Ya. Sebab tu Na nak abang ceraikan Na. Lepaskan Na. Na dah tak sanggup hidup dengan abang lagi lepas apa dah jadi." Tambahku dengan dingin sekali.
Mata aku alihkan ke sisi. Tak mahu pandang wajah kecewa Nazmi.
"Na nekad nak tinggalkan abang sendiri?"
Aku angguk. Yakin.
Nazmi tertunduk lemah. Terdengar keluhan berat dari celah bibir lelaki itu.
"Abang dah hilang anak kita. Dan nampaknya abang akan hilang isteri abang sekali."
Dush!
Pedih rasa hati aku sebaik mendengar bicara Nazmi. Namun aku kuatkan hati untuk tidak mendengar suara hati aku.
Suara yang menginginkan aku pergi memeluk tubuh lelaki yang dulunya gagah tetapi tampak lemah ketika ini.
Semuanya hanya disebabkan aku.
"Kalau dengan penceraian ini akan membuatkan Na bahagia... Abang akan ikhlaskan hati untuk lepaskan Na. Bukan sebab abang tak sayang Na. Sayang sangat. Sayanglah bidadari selamanya buat abang. Tapi abang tak boleh pentingkan diri. Bahagia Na, bahagia abang juga. Pergilah sayang. Doa abang sentiasa untuk Na. Semoga Na bahagia selalu. Maafkan abang sebab gagal jadi suami yang terbaik untuk Na. Dan gagal jadi ayah untuk anak kita."
Sebaik saja lafaz cerai dilafazkan oleh Nazmi, hati aku yang sememangnya sakit bertambah lagi sakitnya. Sedaya upaya aku tahan tangisan aku.
Melihat Nazmi berlalu pergi, hidup aku terasa gelap. Tiada lagi cahaya yang menerangi jalan aku.
Tiada lagi dia yang membuat hari-hari aku bahagia.
Tiada lagi Naurah yang lama.