"Mama tak kira Naurah... mama nak kamu nikah juga dengan Daud." Suara Datin Nafisah yang kuat memenuhi ruangan tamu. Semuanya hanya diam mendengar bicara mama. Dato Ikram yang duduk di sisi isterinya hanya mampu memandang penuh simpati terhadap anaknya itu.
Naurah kini sudah berubah. Anaknya itu hanya tayang muka tidak berperasaan selama setahun lebih ini. Atau lebih tepat lagi anaknya itu seperti mayat hidup selepas bercerai dengan Nazmi.
"Mama dah bagi kamu masa selama setahun ni. Sekaranglah masa untuk kamu mulakan hidup yang baru. Lagi pula ahli keluarga Daud dah masuk meminang semalam."
Serentak Naurah mengangkat muka memandang ke arah Datin Nafisah. Berdebar rasa dadanya.
"Mama terima?" Soalnya dengan bibirnya yang sedikit bergetar.
"Ya dan tiga bulan dari sekarang majlis pernikahan kamu dan Daud akan berlangsung." Jawab Datin Nafisah penuh selamba tanpa mengira perasaan sedih anaknya itu. Dia tidak peduli. Syarikat perniagaan keluarganya harus diselamatkan walau dengan cara apa sekalipun. Hatta dengan menjadikan Naurah kambing hitam pun, dia tidak kisah. Asalkan mereka sekeluarga tak jatuh miskin.
Alkisahnya perniagaan mereka mengalami kemerosoton selepas Tuk Ayah meninggal dunia setahun yang lalu. Daud dan keluarganya yang banyak membantu Dato Ikram untuk membangunkan semula syarikat itu.
Tapi sebagai ganjarannya, Daud ingin memperisterikan Naurah. Daud sudah lama menginginkan Naurah tetapi anak gadisnya ini degil untuk dikenenkan dengan Daud. Sudahnya kahwin dengan orang miskin.
Huh, mahu tak mahu, Datin Nafisah menggunakan kuasa vetonya untuk mengugut Naurah meninggalkan Nazmi. Sementelah Daud juga tidak kisah dengan status Naurah yang janda. Nasib baiklah Nazmi dengan rela hati menceraikan Naurah. Senang sikit kerja Datin Nafisah. Tak perlu guna cara kotor dengan menghancurkan ahli keluarga miskin itu.
"Esok Daud nak ajak kamu cari cincin nikah. Pastikan kamu bersiap cantik-cantik sikit. Jangan keluar dengan muka pucat kamu ni. Ingat, jangan malukan mama dan papa." Pesan Datin Nafisah dengan wajah berlagaknya. Dia kemudian berlalu meninggalkan Naurah yang terdiam seribu bahasa.
Keluhan kasar terlepas dari bibir pucat Naurah. Dia tersenyum sinis. Siapalah dia untuk membantah arahan mama? Mama paksa dia untuk berpisah dengan Nazmi saja dia sanggup turuti demi meraih kasih sayang seorang ibu. Dia ingatkan dia mampu merasa kasih sayang itu. Namun tidak. Dia harus nikah dengan pilihan mama dulu. Lelaki yang kononkan banyak membantu dan menyelamatakan perniagaan keluarga ini.
"Na..."
Naurah tersentak. Suara lembut papa menegurnya. Bila dia toleh, Dato Ikram memberinya senyuman yang manis namun wajah itu tampak kesal. Papa.. papa seorang baik namun tetap kalah pada mama.
"Maafkan papa sayang..." Ujar papa lemah.
Naurah paksa diri untuk tersenyum. Papa tak boleh nampak dia sedih. Dia tidak mahu papa rasa bersalah dengan apa yang jadi pada hidupnya. Papa tak salah cuma dia yang bodoh dalam membuat penilaian.
"Bukan salah papa. Na okay aje pa.."
"Belum terlambat untuk Na cari dia. Papa akan tolong Na.."
Aku menggeleng laju. Tidak. Mama tidak akan berdiam diri. Silap hari bulan, papa juga akan jadi mangsa kekejaman mama. Naurah tidak mahu itu terjadi.
"Naurah dah tak nak dekat dia pa. Naurah dah reda dan dah mampu untuk lupakan dia. Papa jangan risau erk? Naurah akan nikah dengan Daud, pa. Naurah akan bayar setiap apa yang keluarga mereka lakukan untuk keluarga kita." Naurah cuba yakinkan Dato Ikram walaupun ada dustanya.
Tak nak dengan dia?
Huh, tipulah kalau Nuarah tak nak dengan Nazmi. Setelah setahun lebih bercerai dengan lelaki itu, bayangan Nazmi tetap ada hingga ke hari ini.
*****
Daud mengamuk sakan bila Naurah cuba menolak untuk bersama dia malam ini. Bukan setakat malam ini saja malah selama lima bulan mereka mendirikan rumah tangga, tidak pernah sekalipun Naurah membenarkan Daud untuk menyetubuhi dia. Pelbagai alasan yang Naurah cipta untuk megelak bersama dengan lelaki itu.
Awalnya Daud memang bersabar namun tidak pada malam ini. Dia mengamuk. Habis badan Naurah menjadi sasaran libasan tali pinggangnya. Sakit namun Naurah cuba untuk bertahan.
Melihat Naurah yang semakin lemah, Daud mengambil kesempatan untuk memeluk tubuh wanita itu dan dengan rakusnya dia mengucup seluruh wajah Naurah.
Naurah tidak punya kudrat untuk berlawan dengan Daud. Dia tidak kuat untuk menghalang Daud menyentuhnya. Sudahnya malam itu, Daud berjaya menguasai tubuhnya tanpa kerelaannya.
*****
Setelah peristiwa malam itu, Naurah dan Daud perang dingin. Naurah semakin benci kepada Daud. Dia cukup jijik dengan perbuatan Daud yang menyetubuhinya tanpa sebarang kerelaannya. Daud buat tidak endah pada penolakannya.
Malah, Daud juga sudah berubah sikap. Tiada lagi Daud yang banyak bersabar padanya. Daud semakin naik tangan pada Naurah. Daud cukup tercabar dengan Naurah dan kerana keegoaan lelakinya, dia mula baran dan menyeksa Naurah.
Dia tidak kisah dengan parut luka pada badan Naurah yang terhasil disebabkan kelakuannya. Untuk apa dia kisahkan jika dia tidak mampu memiliki tubuh dan hati wanita itu? Dia boleh mencari perempuan lain untuk melempiaskan nafsunya. Di rumah, dia boleh berseronok dengan menyeksa Naurah.
"Mama..." Suara anak kecil menyapa tatkala Naurah sudah terduduk dek penangan tali pinggang yang dipegang Daud ketika ini. Naurah dan Daud bersama-sama berpaling ke arah pintu, di mana anak kecil perempuan sedang memerhatikan mereka.
Melihat mamanya yang menangis dengan bibir yang berdarah, serta-merta anak kecil itu mula menangis dan berlari-lari anak ke arah mamanya.
Dipeluk tubuh lemah Naurah sambil mendongak ke arah Daud.
"Oh... anak haram ni nak jadi superheroin untuk mama dia pula dah?" Daud ketawa sinis. Tajam dia pandang dua perempuan dihadapannya itu.
"Jangan Daud. Kau boleh seksa aku. Kau boleh pukul aku sekuat manapun tapi tolong... tolong jangan apa-apakan anak aku. Dia kecil lagi Daud." Pinta Naurah dengan perasaan yang penuh ketakutan. Dia tidak mahu Tilla di apa-apakan oleh syaitan bertopengkan manusia ini.
Daud ketawa kuat seperti kerasukan saja lagaknya.
"Sebab anak haram inilah kau tak boleh terima aku, Naurah."
Menjerlung mata Naurah memandang Daud.
"Dia bukan anak haram. Jaga mulut longkang kau Daud. Dia anak aku. Anak yang dilahirkan atas dasar kasih sayang dan cinta antara aku dan ayah dia." Balas Naurah dengan berani.
Terkedu Daud mendengarnya. Lagi meruap-ruap rasa amarahnya.
"Aku tak peduli. Kau dan anak haram ni, layak untuk terima hadiah dari aku hari ni."
Lalu tanpa sebarang ampun, Daud melayangkan tali pinggang ke arah Naurah dan anak kecil itu.
Kuatnya raungan Tilla, kuat lagi raungan Naurah bila melihat Tilla kesakitan.
Apa salah aku dan Tilla, Ya Allah?