Pin-pin yang tersemat kemas pada selendang yang dipakai dicabut perlahan sebelum dicucuk pada kusyen kecil yang berada di dalam bekas.
Selesai, selendang putih itu pula dileraikan lalu dihampar di atas katil. Nafas lega dihembus. Sangat selesa dan lega apabila kain yang menutup kepalanya itu dicabut. Hampir seharian memakai tudung yang sama, sangat rimas rasanya. Apatah lagi beberapa kali dicabut dan dipakai semula untuk solat.
Kakinya juga letih melayan tetamu seharian. Sana ada yang memanggil, sini ada yang menyeru. Tidak menang tangan dibuatnya.
Semasa jam menghampiri pukul tujuh malam itu barulah tetamu yang terakhir pulang. Dan selepas itu barulah Alisa boleh naik dan merehatkan diri. Adam pula hanya dibiarkan berbual dengan abang-abang dan abang iparnya.
Haih, nasiblah kahwin hanya sekali!
Tidak mempedulikan baju pengantin yang masih tersarung pada tubuh dan solekan yang belum ditanggalkan, terus sahaja badannya dihempaskan di atas katil. Penat.
Mata tunak memandang siling putih di atas kepala, merenung kosong. Entah berapa lama dia begitu sehinggalah tidak sedar bila matanya mula terpejam.
Krek!
Pintu bilik dibuka oleh seseorang dari luar. Alisa yang baru sahaja melelapkan mata terus terbangun lalu duduk secara mengejut. Kepala dikalih untuk melihat siapa yang membuka pintu biliknya.
Saat pandangannya bertembung dengan pandangan mata Adam, Alisa terus menarik satu senyuman lebar yang tidak ikhlas. Menutup malu kerana tidur menelentang di atas katil. Liur ditelan. Belum sampai sehari berkahwin Adam sudah nampak sisi buruknya.
Adam pula terpaku saat melihat isterinya tidak bertudung. Liur ditelan sebelum memberi salam.
"Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam."
"Penat?" Adam masuk ke dalam bilik seraya menutup pintu. Beg baju kecil diletakkan di atas sofa. Hanya beberapa helai pakaian sahaja yang dibawa. Lagipun hanya beberapa hari mereka akan berada di sini sebelum mereka pulang ke KL. Birai katil didekati lalu dia terus melabuhkan punggung di tepi isterinya.
"Sikit," jawab Alisa separuh jujur. Bukan sedikit sebenarnya, banyak! Kaki, tangan, belakang, semua lenguh-lenguh!
Adam mengangkat kedua belah kening. Tahu Alisa tidak menjawab dengan jujur namun tidak pula dipersoalkan.
Senyap setelah itu.
Masing-masing masih janggal. Pandang katil, pandang dinding, pandang lampu.
"Erm..."
"Ya?" Tanya Alisa setelah perasan Adam seperti mahu memberitahu sesuatu.
"Emh... Saya sebenarnya nak mandi tapi tak ingat nak bawa towel." Sengih bersalah selepas itu. Dalam hati sudah mengutuk kecuaian diri. Baju lain sudah dibawa siap-siap tapi boleh pula tertinggal tuala mandi.
"Oh." Ingatkan apalah tadi.
"Kejap, eh," kata Alisa sebelum bangun mendekati almari di penjuru bilik. Sehelai tuala biru gelap diambil dari susunan kain yang dilipat cantik.
"Nah." Tuala tadi dihulurkan kepada Adam lalu disambut.
"Thanks. Awak belum mandi, kan?" Soal Adam. Matanya cuba dikalihkan daripada terus memandang isterinya. Sungguh Alisa tanpa hijab yang menutupi rambutnya kelihatan sangat cantik. Tidak betah melihat lama-lama yang halal di depan mata.
YOU ARE READING
WILDAN ✓
Mystery / ThrillerGenre: Romance, action, mystery Language: Bahasa Melayu/Malay Status: Completed . 𝐓𝐨 𝐭𝐡𝐞 𝐦𝐚𝐧 𝐰𝐡𝐨 𝐩𝐫𝐨𝐭𝐞𝐜𝐭𝐞𝐝 𝐡𝐞𝐫 𝐦𝐨𝐫𝐞 𝐭𝐡𝐚𝐧 𝐡𝐞 𝐩𝐫𝐨𝐭𝐞𝐜𝐭𝐞𝐝 𝐡𝐢𝐦𝐬𝐞𝐥𝐟. . Once upon a time; "𝐈𝐟 𝐰𝐞 𝐦𝐞𝐞𝐭 𝐚𝐠𝐚𝐢𝐧 𝐢𝐧...