FARHAN melangkah masuk ke dalam rumah keluarganya dengan lenggang kangkung namun saat melintasi ruang tamu, dia mula berasa ada yang memerhati. Datin Noreen berada di situ dengan muka yang tidak berpuas hati dan masam. Farhan hanya buat tidak endah lalu kembali mengatur langkah.
"Han memang tak sayang mama ke?"
"Ma, Han penat ni." Sungguh dia tidak larat untuk bertekak dengan mamanya.
"Oh, penat? Penatlah baru balik dari jumpa perempuan cacat tu, kan?"
"Mama!" Entah mengapa telinganya agak berdesing apabila ada orang menghina Serra sedemikian. Mengapa mamanya berubah secara drastik?
Datin Noreen mendengus kasar. "Mama nak kamu keluar dengan anak kawan mama." Dia tidak betah lagi melihat anak terunanya itu sering keluar bersama Serra.
"Mama mengarut apa ni? Serra kekasih Han. Oh, Han nak bagi tahu yang Han akan bertunang dengan Serra dua minggu lagi. Sama ada mama setuju atau tidak, Han tetap teruskan dan mama tak boleh halang Han," ujar Farhan. Dia sudah membuat keputusan untuk mengikat tali pertunangan dengan Serra.
"Mama tak izinkan!"
"Ya Allah, apa bising-bising ni? Noreen? Han?" Dato' Farid keluar dari bilik apabila mendengar bunyi bising dari arah ruang tamu.
"Abang tengoklah anak abang ni. Dia cakap dia nak bertunang dengan Serra dua minggu lagi."
Pandangan Dato' Farid terhala ke arah anak sulungnya, "Betul ke, Han?"
Farhan mengangguk kepala dengan penuh yakin.
"Baguslah kalau macam tu. Nanti bagi tahu papa kalau perlukan apa-apa. Keluarga Serra dah tahu tentang ni?"
Baru saja Farhan mahu membuka mulut namun Datin Noreen lebih pantas memintas. "Apa abang cakapkan ni? No! Sampai bila-bila mama tak izinkan Farhan kahwin dengan budak tu. Mama tak restu!"
"Han tak peduli. Keputusan Han tetap sama. Mama setuju atau tidak, itu bukan satu halangan buat Han. Han akan kahwin dengan Serra." Bicara Farhan dengan tegas. Riak wajahnya menunjukkan dia benar-benar serius dengan keputusan yang dibuatnya kali ini. Serra adalah miliknya.
"Kenapa Han degil sangat ni? Han nak belakangkan mama? Apa yang bagusnya budak tu sampai Han sanggup sakitkan hati mama?" Pilu. Ya, itu yang dirasai Datin Noreen saat ini.
Namun, Farhan tidak pedulikan keputusan mamanya. Meski dia rasa berdosa apabila menyakiti hati mamanya tetapi... bagaimana dengan cintanya buat Serra?
"Maafkan Han. Han naik ke bilik dulu."
Dato' Farid hanya menghantar pemergian anak sulungnya dengan ekoran mata. "Noreen."
"Abang pun sama. Kenapa abang sokong Farhan tu? Abang tahu kan yang Reen bencikan budak Serra tu? Budak tu tak sesuai dengan Farhan, bang. Reen banyak kenalan, anak-anak dia orang lebih bagus daripada si Serra tu."
Satu helaan nafas panjang keluar daripada bibir Dato' Farid. "Kalau dah jodoh dia orang, siapa kita nak halang? Sudahlah Reen, biarkan Farhan tentukan isteri dia."
Jelingan tajam dihadiahkan buat sang suami. "Kalau bukan jodoh dia orang? Saya tetap akan putuskan hubungan dia orang dengan apa cara sekalipun. Abang jangan sibuk nak halang saya lepas ni. Farhan tak boleh kahwin dengan Serra. Titik!"
Usai berkata Datin Noreen mengambil langkah besar ke dapur. Dia berkeras tidak bersetuju atau beri restu hubungan Farhan. Mereka berdua harus dipisahkan. Itu matlamat baru Datin Noreen.
***
UMMIE memandang Serra dengan curiga. Sejak mereka keluar bersama awal pagi tadi, rakannya itu tidak lekang dengan senyuman. Ummie menyerahkan sekeping not sepuluh ringgit kepada pekerja yang menjual wafel pelbagai perisa di tepi jalan itu.
YOU ARE READING
Sweetness
RomanceSWEETNESS VERSI CETAK PRINT ON DEMAND (CLOSED) SWEETNESS VERSI EBOOK (NOT AVAILABLE) Hanya memaparkan bab terawal sahaja! Terbitan: September 2021 Ebook by Aisywa Novel by Aisywa HAK MILIK CIPTA _AISYWA WARNING! - DILARANG PLAGIAT, MENIRU, INSPIRASI...