ENCIK Rafael yang baru pulang dari tempat kerja terus duduk di atas sofa melepaskan lelah. Muncul figura isterinya bersama secawan teh panas.
"Minum, bang."
Perlahan Encik Rafael mencicip air teh yang dibancuh oleh isterinya. Matanya melilau sekeliling mencari sesuatu. "Mana anak saya?"
Puan Syahirah menjuih bibir lalu melepaskan keluhan. "Abang rasa?"
Satu sengihan lebar terukir pada bibir lelaki separuh abad itu. "Gim." Itulah hobi kegemaran anak tunggalnya. Hampir setiap hari dia tidak melepaskan peluang untuk pergi ke gim. Dia tidak mampu menghalang minat anaknya, namun jauh di sudut hati dia tetap risau akan keselamatan anaknya yang semakin lincah itu.
Satu usapan hangat pada lengannya membuatkan Encik Rafael mencari anak mata milik isterinya. "Saya risaukan dia."
"Awak kena yakin dengan dia, Sya. Peristiwa tu dah lama berlalu, awak patut lupakan semua tu. Anak kita pun dah tak cakap apa-apa kan? Semuanya okey."
"Mungkin kita nampak dia okey, tapi macam mana kalau sebenarnya dia tak okey? Abang, saya kenal anak saya... saya yang lahirkan dia. Dia selalu pendam segalanya dan tersenyum riang di hadapan kita. Tapi saya tahu... dia sebenarnya ada masalah yang dia sedaya upaya sorokkan daripada kita," ujar Puan Syahirah panjang lebar.
Satu senyuman nipis dihadiahkan oleh Encik Rafael. "Anak kita kuat. Saya percayakan dia. Dia dah cukup dewasa untuk uruskan masalahnya. Awak tak perlu risau sangat. Saya nak pergi mandi dulu."
Puan Syahirah menghela nafasnya. Matanya mengekor kelibat suaminya yang semakin hilang dari pandangan. Baru sahaja punggungnya mahu bangkit, kedengaran bunyi enjin kereta masuk ke perkarangan rumah.
"Assalamualaikum, ibu! Serra dah balik!" sapa Serra sambil berlari masuk lalu memeluk tubuh ibunya.
"Ya Allah, Serra! Badan kamu berpeluh tu... habis busuk ibu macam ni." Puan Syahirah merungut dengan telatah anaknya yang tak pernah berubah.
Serra tersengih lebar sambil dua jarinya diawangkan. Peace!
Serra melabuhkan duduk di atas sofa. "Ibu..." Meleret Serra memanggil ibunya.
Puan Syahirah hanya menggumam perlahan.
"Macam mana kalau Farhan ajak Serra kahwin?" Serra menyoal secara tiba-tiba, membuatkan Puan Syahirah yang mahu melangkah masuk ke dapur berpaling.
Muncul wajah Farhan di minda Serra dengan senyuman manis. Farhan. Lelaki yang sering membantunya sejak tahun pertama di universiti.
"Apa maksud kamu?"
Hujung bibir Serra ditarik ke atas. "Farhan ajak Serra kahwin dengan dia." Tanpa ragu mahupun gementar, Serra menyatakan hasrat lelaki itu. Teringat dia akan peristiwa dua hari lalu selepas dia bersenam di gimnasium.
***
"KENAPA kau ajak aku ke sini?"
Belakang tubuh Farhan ditenung Serra. Sejak sampai di sini tadi, Farhan hanya senyap tanpa sebarang bicara membuatkan keadaan canggung seketika.
Farhan menoleh ke belakang, melihat gadis sebayanya dengan lembut. Isyarat mata diberikan, membuatkan gadis itu membuka langkah kecil untuk berdiri bersebelahannya.
"Serra."
"Hmm..." Kaki Serra menguis rumput sambil jemari runcingnya mencucuk bahu Farhan.
Lelaki itu hanya membiarkan perbuatan Serra kerana gadis itu sering mengusiknya.
"Kau nak cakap apa, Han?" Serra bertanya dengan nada mendatar lalu memandang langit petang. Ada pelangi.
Perlahan Farhan ubah posisinya menghadap gadis di sebelahnya. Otaknya ligat menyusun kata sebelum bersuara. Dirinya cuba membuang rasa gugup yang mula bertandang di hati. Di sisinya, Serra setia menunggu dia bersuara.
"Serra..."
"Hmm?"
"Jujur aku cakap yang aku suka kau sejak kita mula kenal lagi. Aku cuba buang perasaan ni dan debaran setiap kali bersama kau. Tapi hari ini, aku tak boleh tahan lagi. Aku cintakan kau dengan sepenuh hati aku. Aku tak boleh sorok perasaan aku lagi..." Farhan merenung sepasang mata hitam gadis di hadapannya dengan bersinar.
Jeda. Serra tidak tahu mahu beri respons apa.
"Aku tahu ni tiba-tiba dan mengejut. Tapi Serra, aku ikhlas sayangkan kau. Kita... kahwin?"
Kalau sebentar tadi lidah Serra kelu untuk membalas tetapi kali ini Serra berasa dia mahu pengsan. Farhan, sahabat baiknya, ajak dia kahwin? Adakah ini realiti atau mimpi? Mata Serra berkelip-kelip melihat Farhan menunggu jawapannya dengan penuh harapan.
"Aku... aaaku..."
Farhan senyum nipis lalu memintas percakapan gadis itu. "Ambil masa kau untuk bagi jawapan. Bila kau dah sedia dan ada jawapan, kau telefon atau jumpa aku. Ingat Serra, aku sayangkan kau lebih daripada seorang kawan."
Serra mengangguk laju.
Mata Serra membulat apabila jari jemari Farhan naik mencubit pipinya. "Kau tak payah buat muka macam tu. Comel, tahu tak? Geram aku!"
Automatik wajah Serra bertukar masam sambil tangannya menggosok pipinya yang mula memerah. "Eee... siapa benarkan kau cubit pipi aku, hah? Suka hati kau aje, kan?"
Farhan ketawa mengekek, geli hati melihat wajah masam Serra. Kenal sangat sikap Serra yang tidak membenarkan sesiapa mencubit pipinya yang gebu itu. "Siapa suruh kau comel sangat?"
Serra jegilkan mata ke arah Farhan. "Stop it, Han!"
"Takutnyaaaaa."
"Farhan!"
Farhan menekan kedua-dua pipi gadis di hadapannya hingga bibir Serra memuncung seperti itik. "Kan comel kalau macam ni. Pipi pau!"
Segera Farhan melepaskan tangannya apabila melihat wajah Serra mula naik merah seperti tomato lalu melarikan diri.
"Farhan Haqimie!"
Farhan berlari sambil melepaskan tawanya dengan kuat.
❦︎ EBOOK VERSION STILL AVAILABLE
❦︎ PRINTED VERSION (PAPERBACK) - OPEN PREORDER TILL 06/11/2021
LINK ORDER DI BIO!
LINK ORDER DI BIO!
LINK ORDER DI BIO!
YOU ARE READING
Sweetness
RomanceSWEETNESS VERSI CETAK PRINT ON DEMAND (CLOSED) SWEETNESS VERSI EBOOK (NOT AVAILABLE) Hanya memaparkan bab terawal sahaja! Terbitan: September 2021 Ebook by Aisywa Novel by Aisywa HAK MILIK CIPTA _AISYWA WARNING! - DILARANG PLAGIAT, MENIRU, INSPIRASI...