Prolog

69 7 0
                                    

"Puan!"

Semua yang ada di situ menoleh serentak ketika mendengar suara cemas mak andam yang ditugaskan untuk merias pengantin perempuan hari ini. Muka wanita 20-an itu pucat lesi ketika sudah berdiri di hadapan tuan rumah.

"Kenapa Salina?" Ada nada risau dari suara wanita yang dipanggil tadi. Makin risau bila tengok Salina tercungap-cungap cuba untuk bernafas dengan betul sebelum menjawab soalannya.

"Puan Murni, Seroja Kamelia hilang!" Naik pitam Murni ketika wanita muda itu memberitahunya bahawa Seroja hilang. Nasib baik kedua anak terunanya sudah siap sedia untuk menahan badannya.

"Allahuakbar, kakak ni buat hal betul." Rungut Andika. Dalam banyak-banyak hari, kenapalah Seroja nak lari pada hari perkahwinannya? Tok kadi dengan rombongan pihak lelaki dah nak sampai ni.

"Dik, kau bawak mama duduk dulu. Bagi dia minum, tenang dulu. Abang cari kakak." Ucap Awira tenang. Andika mengangguk perlahan.

Walaupun dia tak tahu ke mana Awira akan mencari Seroja, dia percaya pada abangnya. Kerana di antara mereka berdua, sudah tentu Awira yang paling memahami Seroja dan sepertinya Awira tahu ke mana Seroja menghilang.

Awira melangkah keluar dari dalam menuju ke belakang rumah. Dia sudah bercekak pinggang ketika sampai di tempat yang sudah ada dalam fikirannya sejak tadi. Tangga tinggi yang menuju ke atas atap rumah bertengger elok di dinding. Dengan malas dia mula memanjat tangga itu berhati-hati.

Setelah sampai di atas, bayang orang yang dicari pun akhirnya kelihatan. Sang kakak yang sudah berbaju kurung untuk majlis akad nikahnya sekejap lagi tengah duduk sambil termenung membelakanginya. Seroja memerhatikan dari atas, halaman rumah yang dah mula ramai dengan tetamu dan sanak-saudaranya. Tadi, sempat jugalah dia dengar mak cik- mak ciknya kecoh mencari dia.

"Seronok tengok kami panik cari kakak tadi?" Tegur Awira yang membuatkan Seroja terkejut. Nasib baik dia tak melompat ke depan. Kalau tak, sia-sia je jatuh ke bawah macam nangka busuk.

Awira mengambil tempat di sebelah kakaknya. Sama-sama melihat keadaan rumah mereka ketika ini dari atas. Sekelibat kenangan-kenangan waktu kecil mereka bermain di kepala.

"Ingat tak dulu waktu kita kecil, kita lari daripada arwah papa dan mama? Kakak ajak Wira naik atas ni, sambil tengok arwah papa dan mama cari kita dekat bawah. Bila arwah papa jumpa kita dekat atas, habis teruk kita kena marah." Tiba-tiba Awira bersuara setelah mereka saling membisu sejak tadi. Seroja tertawa kecil ketika bayangan kenangan itu menyapa.

"Tapi lepas tu, kita naik lagi atas ni kan? Sampai sekarang papa dan mama tak tahu." Awira sama-sama ketawa sambil menggeleng. Kalau diingat balik, mereka berdua memang nakal. Berbeza dengan Andika yang lebih penurut walaupun kuat mengusik.

"Kakak kenapa lari? Semua orang risau dan panik tahu tak? Mama tu, sikit je lagi nak pengsan." Bebel Awira untuk kembali kepada alasan asal kenapa dia dan Seroja berada di sini sekarang.

Seroja melepaskan keluhan beratnya. Mukanya tiba-tiba menjadi sayu. Awira memilih untuk diam, membiarkan kakaknya mencari jawapan untuk menjawab soalannya.

"Kakak tiba-tiba rasa tak sedia. Kakak tak sampai hati nak tinggalkan mama." Jawab Seroja dengan muka dan suara sedihnya. Awira faham, biasalah anak perempuan kan?

"Kakak jangan risau. Wira dengan Dika kan ada. Mama tak akan duduk seorang." Pujuk Awira. Seroja menoleh sekilas sebelum membuat muka menyampahnya.

"Masalahnya lepas kakak kahwin, kamu berdua pula kahwin. Dah tu, mama siapa nak teman?" Awira ketawa mendengar kakaknya membebel.

"Wira yang duduk dengan mama. Juwita pun dah setuju nak duduk dengan mama. Lagipun, Juwita dah tak ada siapa dekat dunia ni, mama aje lah tempat dia menumpang kasih. Kalau Dika, Wira tak tahu rancangan dia lepas kahwin macam mana. Kalau dia nak duduk luar pun, tak ada masalah. Wira ada je dekat sini." Awira cuba meyakinkan kakaknya supaya tak takut atau risau lagi.

"Agak-agak, kakak boleh jadi isteri yang baik tak?" Awira membuka songkok untuk menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia ingat tadi, Seroja dah mula yakin.

"Kakak, kakak tu serba-serbi boleh. Wira yakin kakak boleh jadi isteri yang baik. Lagipun, apa yang kakak nak risau sangat? Kakak kahwin dengan bakal suami kakak tu, masuk rumah cuci kaki je tau. Lepas tu goyang kaki. Semua kerja rumah ada bibik yang buat." Seroja spontan memukul perlahan belakang badan adiknya. Ada pulak dia fikir macam tu. Bunyi macam Seroja ni nak kikis duit bakal suami dia je.

"Ingat kakak ni tuan puteri ke?" Ujar Seroja bersama jelingan mautnya. Awira ketawa mengekek kerana berjaya buat kakaknya geram.

"Dah lah kak. Tak payah nak agak-agak lagi dah. Agak-agak kakak tu, sampai esok tak habis. Tu, tok kadi dengan rombongan lelaki dah sampai. Jangan buat mama kena serangan jantung pulak." Awira segera bangun untuk mengajak Seroja turun. Tangannya dihulur.

Seroja memandang huluran tangan adiknya dengan perasaan yang bercampur baur. Dia teragak-agak untuk menyambut huluran itu. "Everything will be fine, kak."

Seroja menarik nafasnya dalam-dalam sebelum dihembus. Dia mula rasa dadanya lapang, tangan sang adik disambut dan senyumannya mula terukir.

Mereka berdua akhirnya turun dengan selamat. Seroja menyorok di belakang badan Awira ketika adiknya itu membawa dia masuk melalui pintu belakang rumah. Semua yang kebetulan ada di dapur mengurut dada mereka lega, kerana Awira berjaya membawa Seroja kembali ke rumah.

"Kakak, kenapa kakak lari? Kalau kakak tak nak kahwin, bagi tahu mama. Mama tak akan paksa kakak kahwin lagi. Jangan buat mama macam ni, nak. Mama risau." Murni memeluk anak perempuannya sambil menangis. Dia dah tak kisah kalau Seroja tak mahu teruskan perkahwinan ni. Asalkan Seroja tak pergi tinggalkan dia.

"Mana ada kakak lari, kakak pergi ambil angin je." Jawab Seroja sambil mengelap air mata mamanya. Andika yang berada di belakang mama mereka hanya menggeleng sebelum memanggil Salina untuk membetulkan solekan di muka kakaknya.

"Sudahlah tu Murni, pengantin lelaki dengan tok kadi dah tunggu tu. Jom cepat ke depan." Ujar abang kepada mamanya untuk menghentikan drama air mata mereka.

Hari itu, akhirnya Seroja Kamelia menemukan titik baru untuk perjalanan hidupnya.

Calon Suami KakakWhere stories live. Discover now