Daniel yang tengah bersandar di keretanya tersenyum lebar ketika melihat bayang Seroja yang baru saja keluar dari rumah. Malam ini, mereka akan menghabiskan malam minggu bersama.
"Hi, beautiful lady." Puji Daniel, manis. Pintu kereta di sebelah penumpang dibukakan untuk Seroja yang tersipu malu ketika menerima pujian manis daripada Daniel. Kedua pipi Seroja bersemu merah.
"Hi," balas Seroja. Malam ini Seroja mengenakan blaus tunik berwarna merah jambu. Rambut panjangnya yang dilepaskan hingga ke paras pinggang mengalun cantik. Menambahkan lagi kecantikan Seroja pada malam itu.
Setelah mereka berada di dalam perut kereta, Daniel mula memandu, membelah jalan malam yang semakin sibuk. Keduanya saling diam dan menikmati lagu-lagu yang diputarkan di radio. Sesekali Daniel akan menyanyi kecil untuk menghilangkan rasa sunyi antara mereka. Seroja tersenyum. Suara Daniel boleh tahan. Sedaplah didengar kalau kata orang.
"Awak suka dengar lagu macam mana?" Tanya Daniel tiba-tiba. Sesekali dia akan mencuri pandang ke arah Seroja. Seroja sedang berfikir, selama ini lagu macam mana yang selalu menjadi pilihan.
"Hm, yang sedap didengar je. Saya tak pandailah nak nilai-nilai muzik ni." Daniel tergelak kecil. Seroja sampai tergamam ketika melihat senyuman lelaki itu. Daniel kacak, manis, dan lembut. Tanpa dia sedar, tangannya sudah dibawa ke dada. Dadanya berdetak lain macam. Apakah ini yang orang katakan cinta?
"It's okay, saya pun bukan pandai sangat. Macam awak juga. Mana lagu saya rasa sedap, saya dengarlah." Daniel menoleh ke arah Seroja ketika keretanya berhenti di lampu isyarat. Mata helang lelaki itu merenung jauh ke dalam anak mata coklat Seroja.
"Did anyone told you that you have such beautiful eyes?" Macam disedut ke dalam pusaran lubang hitam, Seroja merasakan dirinya betul-betul terjatuh dalam pesona Daniel. Lagi-lagi lelaki itu melemparkan pujian kepadanya.
Cepat-cepat Seroja menggeleng dan melarikan pandangan mata. Boleh gila dibuatnya kalau bertentangan mata dengan Daniel lama-lama. Daniel cuma tersenyum melihat Seroja yang malu dengan pujiannya. Dia mula memandu lagi ketika lampu isyarat sudah bertukar hijau.
Mereka akhirnya sampai di sebuah mall. Keduanya memutuskan untuk menonton wayang. "Awak tunggu sekejap boleh? Saya nak ke tandas."
Tanpa menunggu jawapan Daniel, Seroja terus berjalan cepat untuk menuntaskan hajatnya.
"Bukan main lagi eh?" Daniel memusingkan badannya ketika mendengar suara yang sangat dia kenal.
"Sayang? You buat apa dekat sini?" Tanya Daniel sambil menarik kekasihnya agar berada sedikit jauh dari tempat dia berdiri tadi.
"Lepas, sakit." Lelaki manis yang lebih pendek sedikit daripada Daniel itu merentap kasar pegangan tangan Daniel.
"Patutlah you cancel nak tengok wayang dengan I. Rupanya sebab dia? Sampai hati you kan? Padahal you tahu yang I nak sangat tengok cerita ni dengan you. Tapi you bawa dia. It's my dream! Not hers!" Daniel cepat-cepat menutup mulut kekasihnya ketika mereka berdua mula mendapatkan tatapan aneh daripada orang sekeliling.
"Shhhh, sayang slow down. You balik dulu okey? Nanti I pergi apartment you." Pujuk Daniel lembut.
"Daniel?" Badan Daniel automatik berdiri tegak ketika dia mendengar Seroja memanggilnya. Kepalanya digaru tanpa sebab.
Lepas satu, satu masalah lagi datang.
"Dah?" Tanya Daniel bersama senyuman manisnya. Seroja mengangguk. Matanya melirik pada lelaki yang berada di belakang Daniel.
"Kawan awak?" Tanya Seroja. Dia dapat merasakan ketegangan di antara Daniel dan lelaki itu.
"Hi! I'm Jeffrey. Kawan sekerja Daniel." Ucap Jeffrey dengan senyuman palsunya. Tangannya terulur untuk bersalaman. Tapi dengan sopan Seroja menunduk. Jeffrey menjadi semakin menyampah dengan calon isteri kekasihnya itu.
Acah baik konon! Tudung pun tak pakai. Kutuk Jeffrey dalam hati.
"Okay bro, nanti aku emel dekat kau benda yang kau minta tadi. See you later." Ucap Daniel sambil menepuk bahu kekasihnya lembut. Sebagai tanda agar menyuruh lelaki itu balik terlebih dulu.
"Fine, tak apa Daniel. Hari ni kau boleh berseronok dengan perempuan tu. Esok lusa, aku akan pastikan kau milik aku seorang. Even perempuan tu pun tak akan dapatkan kau." Ujar Jeffrey penuh penekanan. Ada rasa sakit hati yang mula tumbuh di dalam dirinya. Dia tidak akan melepaskan Daniel begitu saja. Lelaki itu harus menjadi miliknya.
——————
Awira masuk ke dalam rumah dengan muka penatnya. Walaupun esok sabtu, dia terpaksa juga bekerja lebih waktu kerana Kyle. Lelaki itu terlalu gila pada kerja, sampai lupa yang namanya hujung minggu.
"Dik, ambil air. Abang haus." Minta Awira pada Andika yang tengah ralit menonton tv. Walaupun sebenarnya malas, Andika bangun juga dari duduknya. Kesian dengan Awira yang baru balik dari kerja.
Selepas membasahkan tekaknya, Awira melihat sekeliling. Mencari bayang manusia lain selain adiknya di rumah itu. Malam ini rumah mereka sunyi sekali. Tak ada suara bebelan mama mereka mahupun suara Seroja yang sedang bercakap dengan dirinya sendiri ketika mencari idea.
"Mama dengan kakak mana?" Tanya Awira. Andika memperlahankan sedikit suara dari tv agar abangnya boleh mendengar suaranya. Bukan apa, kadang-kadang ada waktunya Awira pekak.
"Mama ada dekat atas, tengah tengok drama Korea katanya. Kakak keluar." Mendengar jawapan adiknya tentang Seroja, badan Awira automatik menegak. Kepalanya kini berputar menghadap sang adik.
"Dengan siapa pula? Kakak kan tak suka keluar tanpa sebab. Lagi-lagi waktu malam." Andika mendekatkan dirinya dengan Awira. Kepala mereka berdua hampir bertembung.
"Hah, itulah pasal. Dia keluar dengan mamat gay tu." Mata Awira terus membuntang ketika mendengar bisikan Andika. Lengan adiknya dipukul kuat sehingga lelaki itu mengaduh sakit. Dia menatap tajam kepada abangnya. Tak terima kerana dirinya tiba-tiba dipukul.
"Kau kenapa bang?"
"Kau tu yang kenapa tak teman kakak?" Jawab Awira geram. Suaranya yang melengking ditahan supaya tidak terlepas. Masak kalau mamanya dengar. Dia belum ada idea macam mana nak bagitahu mamanya.
"Alah, jangan risau. Dia kan selera dekat lelaki je. Kau rileks dulu bang. Pergi naik, mandi lepas tu makan." Andika menolak bahu abangnya supaya bangun untuk membersihkan diri. Awira masih mengeraskan diri. Dia tak puas hati mendengar jawapan adiknya.
"Dik, walau macam mana sekalipun dia tetap lelaki. Kau dengan aku sama-sama lelaki. Kau mesti faham macam mana lelaki macam Daniel tu berfikir." Tiba-tiba Andika pula jadi risau. Betul juga apa kata Awira. Lelaki macam Daniel boleh dikatakan bukan lelaki biasa. Red flag!
"Jom bang!" Andika bangun dan tanpa berlengah lagi, dia juga menarik tangan abangnya untuk sama-sama bangun. Awira langsung tak sempat untuk merungut dengan perangai adiknya.
Baru saja Andika mahu membuka pintu, pintu berwarna hitam itu dah terbuka dulu dari luar. Wajah Seroja muncul di depan mata mereka berdua. Wanita itu mengkerutkan dahinya, hairan dengan kedua orang adiknya yang tiba-tiba aje dah tercongok di depan pintu.
"Nak pergi mana? Seorang dengan kain pelikat, yang seorang lagi dengan baju kerja tak tanggal." Tanya Seroja. Andika menoleh ke arah Awira, berharap abangnya yang akan menjawab pertanyaan kakak mereka.
"Drive-thru. Wira lapar." Jawab Awira, memberi alasan.
"Hah apa? Mama dah penat-penat masak dekat dapur tu, kamu boleh nak cari makan dekat luar? Masuk Jebat. Dua-dua Jebat masuk sekarang." Tiba-tiba saja suara Murni melengking dari arah tangga. Tak tahu sejak bila wanita itu sudah berdiri sambil bercekak pinggang di sana.
Awira dan Andika pun membalikkan badan mereka dan terus berlari naik ke bilik masing-masing. Takut melihat mama mereka mengamuk. Sementara Seroja pula sudah ketawa terbahak-bahak melihat adik-adiknya dimarah. Ada-ada saja perangai mereka yang membuatkan mamanya marah atau membebel.
"Okey tak tadi?" Tanya Murni ketika Seroja melangkah mendekatinya. Seroja hanya mengenyit sebelah matanya sebelum naik juga ke biliknya. Murni hanya menggeleng, faham disebalik air muka anak gadisnya itu.
Bermakna Daniel menarik perhatiannya.
YOU ARE READING
Calon Suami Kakak
Romance"Ma tak bagi kamu berdua kahwin, selagi kakak belum kahwin." Titah bernoktah itu membuatkan Jebat Awira dan Jebat Andika pening kepala. Niat di hati, keduanya sudah sedia untuk menamatkan zaman bujang pada tahun ni. Tapi si mama pulak tetap dengan...