"Pagi umi, walid." Kyle Muzakeef menuruni anak tangga yang terakhir sambil menyapa kedua ibu bapanya yang berada di meja makan. Keduanya tersenyum lebar melihat anak kesayangan mereka hari ini ikut sama bersarapan pagi.
"Sibuk betul Kyle akhir-akhri ni?" Kyle tersenyum mendengar pertanyaan walidnya. Dia mencedok nasi goreng ke dalam pinggannya sendiri sebelum menjawab soalan walidnya.
"Biasalah walid, dah nak akhir bulan ni banyak benda yang mereka nak submit dan Kyle kena tandatangan." Jawabnya. Uminya yang sejak tadi hanya mencuri dengar perbualan kedua beranak itu pun mencelah.
"Kerja tu, kerja juga. Makan dengan kesihatan tu jaga sama. Risaulah umi tengok Kyle ni. Kalau ada isteri kan bagus. Makan dan pakai pun terjaga." Memang sengaja uminya menekan kuat perkataan isteri tadi. Kyle cuma terkekeh sambil menggeleng kepala ketika uminya sudah mula berceloteh.
"Awak ni Salma, budak tu tak sempat nak suap nasi masuk mulut. Bagi dia habis sarapan dulu." Salma mencebik ketika suaminya menegur.
"Umi, nanti kalau dah sampai jodoh tu ada lah." Jawab Kyle, malas nak panjang-panjangkan cerita.
Memandangkan umur Kyle sudah berusia 29 tahun, sudah tentu uminya mula naik risau memikirkan anak tunggalnya yang belum pernah membawa mana-mana perempuan sebagai calon menantunya. Kalau kata Tun Salma, Kyle ni betul ke suka perempuan?
Kyle cepat-cepat menghabiskan nasi goreng dan teh panasnya sebelum bangun untuk bersalaman dengan kedua ibu bapanya. Kalau dia berlama-lama, alamat lambatlah dia masuk meeting pagi ini.
"Kyle pergi dulu, nanti kita sembang lain." Salma tidak sempat nak menahan anak bujangnya kerana lelaki itu terlebih dulu berlari anak meninggalkan meja makan. Sebelum uminya buka mulut, lebih baik dia angkat kaki dulu.
"Awak ni, jangan didesak sangat. Nanti kalau dia dah merajuk, baru awak tahu." Ucap Xender pada isterinya. Kalau tak diingatkan, makin menjadi nanti.
"Alah abang ni, saya bukan apa bang...umur dia tu tahun depan dah 30 tau. Nanti nak kahwin umur berapa? Esok-esok kalau dah ada anak, anak tu dah macam cucu dia." Bebel Salma tak puas hati. Geleng kepala dibuatnya dengan perangai isterinya ini.
"Awak tak tahu, lelaki ni makin tua makin laku keras tau. Lagi-lagi anak awak tu ada darah campuran. Tak nampak tua punyalah. Macam saya." Xender cuba untuk menghiburkan isterinya. Bukan dia tak faham, diumur macam ni, kawan-kawan mereka ramai yang sudah menimang cucu. Salma juga pasti teringin untuk menimang cucu darah dagingnya sendiri.
"Cakap dengan abang ni, sama macam saya cakap dengan Kyle. Dah lah, lebih baik saya tengok bunga-bunga saya dekat luar tu. Sejuk sikit mata memandang." Rajuk Salma sebelum bangun meninggalkan suaminya yang terkekeh.
Pembantu rumah yang sejak tadi berdiri tidak jauh dari mereka pun sama-sama menahan ketawa melihat keletah puan mereka. Rumah ni, memang tak akan pernah senyap selagi Salma ada. Kerana dalam keriuhan suara Salma lah rumah ini terasa hidup. Nak harapkan Xender dan Kyle? Hm jangan harap apa-apa lah.
——————
Kyle bermain-main dengan pen yang ada di tangannya. Sesekali pen itu akan diputar-putarkan di antara jari telunjuk dan jari tengahnya. Mata helang berwarna coklat pekat itu memandang kosong pembantu peribadinya yang tengah sibuk mengemas bilik mesyuarat yang baru saja dikosongkan.
"Bat, kenapa nama kau Jebat? Kenapa bukan Tuah? Kau antara PA aku yang paling lama dan setia tau. Tak kena betul nama kau dengan kesetiaan kau pada aku." Komen Kyle tiba-tiba sampai lelaki yang dipanggil Jebat itu menghentikan kerjanya.
"Bos, berapa kali saya nak cakap? Panggil saya Awira bos." Balas Awira, tak terima dipanggil Jebat. Sebenarnya bukan dia malu dengan nama Jebat, tapi dia terasa macam Andika pun dipanggil sama.
YOU ARE READING
Calon Suami Kakak
Romance"Ma tak bagi kamu berdua kahwin, selagi kakak belum kahwin." Titah bernoktah itu membuatkan Jebat Awira dan Jebat Andika pening kepala. Niat di hati, keduanya sudah sedia untuk menamatkan zaman bujang pada tahun ni. Tapi si mama pulak tetap dengan...