Aku cukup baik untuk memaafkanmu. Tapi aku tidak cukup bodoh untuk mempercayaimu lagi.
•23•
API marahnya mampu membakar lalang kering biarpun jauh di seberang lautan. Pandang saja wajah tidak berperasaan si Megat, hatinya mula panas. Mahu saja dia simbah kopi panas ini tepat pada wajah Megat hingga melecur satu muka. Tak adalah dia perlu tatap lagi wajah Megat yang hanya mampu memberikan dia sakit itu.
"Aku cuma ada lima minit jadi jangan buang masa aku." kata Imran. Telefon pintar yang sentiasa digenggam diletakkan di atas meja bersebelah dengan bekas minumnya. Wajah Megat kembali direnung dengan dalam. Membalas renungan yang sama dilakukan oleh Megat kepadanya. Kalau dulu memang dia rasa gelisah setiap kali berjumpa dan berhadapan dengan Megat. Tapi kali ini dia berkeras untuk kuat dan tidak gentar lagi. Dia bukan lagi Imran yang lembik sepertimana yang Megat kenal.
"Aku nak luangkan masa aku dengan kau selama lima jam. Boleh? Dah lama aku tak lepak semeja dengan sahabat baik aku ni." ujar Megat. Hujung bibir ternaik menunjukkan senyumnya yang sinis. Tapi senyumannya itu langsung tidak mampu membuatkan hati Imran tersentuh. Sahabat. Dulu ya, sekarang bukan lagi.
"Masa berjalan, Megat Sufian. Kau nak apa sampai sanggup datang pejabat aku?" Hiraukan kata-kata Megat, dia terus berbalik kepada topik asal. Sanggup sungguh lelaki gila ini datang ke pejabatnya. Apa lagi yang Megat tak berpuas hati dengan Imran pun, tak tahulah. Imran sudah menjauhkan diri, tapi Megat semakin mendekat.
"Aku nak Qiyara. Mudah, kan?" Qiyara. Hatinya terus pecah seribu tatkala mendengar nama Qiyara. Jari-jemari sudah mula digenggam kuat. Menahan amarahnya apabila Megat tersenyum sumbing dengan perubahan air mukanya.
"Mudah. Dalam mimpi kau." jawab Imran. Perasaan sedih ditutupi dengan amarah yang sedang menyelubungi diri.
"Aku pernah ingatkan kau, Imran. Aku akan buat apa cara sekalipun untuk dapatkan Qiyara. Qiyara tak akan jadi milik kau selamanya." kata Megat. Dia memberikan pandangan yang selamba.
"Apa motif kau untuk semua tu? Qiyara tunang aku, dan dia akan jadi isteri aku tak lama lagi. Apa lagi yang kau nak dari aku, Megat? Apa lagi yang kau tak puas hati dengan aku?" soal Imran. Biji matanya bergeletar kuat ketika merenung wajah Megat. Hatinya sakit. Sedih berbaur kekecewaan. Jika dulu, Megatlah yang menjadi tulang belakangnya, tapi hanya disebabkan satu tragedi yang tidak dijangka, Megat bermati-matian mahu membalas dendam kepada Imran.
"Kau patut tanya diri kau sendiri, Aryyan."
Rasa pilu mencucuk-cucuk tangkai hatinya saat nama itu disebut oleh Megat. Mengimbau kembali kenangan-kenangan mereka berdua beberapa tahun yang lepas. Memamg Megat sajalah yang pernah memanggilnya dengan panggilan itu. Aryyan dan Sufian.
Ting! Ting! Ting!
Laju saja kepalanya berpaling ke telefon pintar yang berbunyi menunjukkan ada mesej yang baru saja masuk. Nama si penghantar dijeling dari hujung mata, dan perkara itu juga dilakukan sama oleh Megat. Curi-curi pandang nama yang tertera di ruangan skrin telefon pintar Imran itu. Terukir terus senyum sinis dibibirnya.
"Jantung hati kesayangan kau dah mesej tu. Tak nak balas?" soal Megat dengan sinis. Imran menjeling wajah Megat. Mahu saja dia menghantar satu tumbukan padu pada wajah Megat yang tak habis-habis mahu memanaskan hatinya.
YOU ARE READING
[COMPLETED] Neverending Heart: Pujaan Hati Si Duda | kth.
Romance"Auntie Qiya tak nak jadi mama Liya?" - Daliya Clemira. Hari demi hari dia menjaga Daliya Clemira, bermacam-macam soalan disoal. Sakit kepala sungguh! Sudahlah dipaksa oleh Hajah Fathinah untuk menjaga anak si duda sewel tu, bermacam jenis masalah t...