SEJAK tiga minit yang lepas; jari-jemari Jiyan tidak penat menatal di atas skrin telefon bimbit berjenama Samsung untuk menghubungi Zea yang masih tidak menjawab panggilan telefonnya. Sekali lagi Jiyan cuba menelefon Zea sambil berjalan mundar-mandir di tepi tingkap bilik tidurnya dengan bibir mula membebel perlahan kerana ini sudah kali kelima dia cuba menelefon Zea.
"Helo, Jiyan?" Suara Zea yang akhirnya kedengaran di hujung talian membuatkan Jiyan berdiri tegak di tepi tingkap bilik tidurnya. Sempat anak matanya menangkap sebuah kereta Range Rover Evoque hitam yang terparkir di hadapan rumah jiran sebelah yang sudah lama tidak berpenghuni.
"Zea, kau sebenarnya dah ada kat mana? Rasa nak tercabut jari aku ni asyik call kau dari tadi. Samsung aku ni kalau boleh bercakap; mesti dia akan cakap yang dia nak tolong ajar kau bila orang call tu silalah angkat call." Tanpa menunggu lama, laju sahaja mulut Jiyan membebel.
"Sorry, aku tengah bersiap ni. Sebab tu aku tak perasan kau call tadi." Jawab Zea.
"Iyalah tu. Bersiap versi kau tu maksudnya kau belum mandi lagi kan?" balas Jiyan dengan bibir yang diketap geram.
Kedengaran suara Zea ketawa kuat di hujung talian. Automatik Jiyan terus menjauhkan telefon daripada menekup rapat pada telinga kanannya. Terasa bingit telinganya dengan bunyi ketawa nyaring Zea.
"Sorry, Jiyan. Aku terlajak tidur lepas Subuh tadi. Kalau kau tunggu aku datang rumah kau dulu; aku takut roti favourite kau kat kafe Auntie Isma tu habis je kejap lagi."
"Aku pergi tapau roti Pelangi tu dululah. Kau nak jugak tak?" soal Jiyan sambil anak mata melirik sekilas jam di dinding bilik tidur yang berlatar belakangkan gambar ahli kumpulan Kpop kegemarannya; Super Junior dalam versi kartun. Dia sebenarnya risau yang roti itu akan habis memandangkan jam sudah menunjukkan pukul 10 pagi.
"Mestilah nak. Kau jangan makan dulu tau. Tunggu aku sampai sebab nanti aku bawa sekali hot choc special favourite kau. Nanti kita makan sama-sama."
"Bahan untuk kerja kursus Sejarah tu kau jangan lupa bawa pulak. Kau tu kalau ingat pasal makan; benda lain pun kau boleh jadi lupa." Dengan sebelah tangan Jiyan menekap telefon di telinga kanan; sebelah tangan lagi menarik keluar sling bag hitam dari dalam almari pakaiannya.
"Aku dah masukkan siap-siap dalam beg aku malam tadi. Kau ajak Ayie sekali ke kejap lagi?"
"Kau nak aku ajak Ayie sekali ke? Korang kan tak sah kalau tak bergaduh bila dah berjumpa."
"Dah sepupu kau tu yang suka cari pasal dengan aku dulu. Kalau sepupu kau tu buat perangai elok-elok, aku pun boleh layan dia elok-elok." Terus Jiyan lepas ketawa kerana Zea dan Ayie memang ibarat Tom dan Jerry apabila berjumpa.
"Zea Athirah, pergi mandi cepatlah. Aku nak pergi kafe Auntie Isma dulu sebab takut roti tu habis pulak nanti."
"Yalah, yalah. Aku nak mandilah ni."
***
SEBAIK SAHAJA Jiyan menolak pintu kaca dan melangkah masuk ke dalam kafe Dapur Isma yang menggunakan konsep dekorasi berwarna pastel itu, bau harum roti yang sedang dibakar menyapa deria bau Jiyan. Terus dia terbayang-bayang roti bakar Pelangi yang merupakan salah satu menu sarapan pagi yang popular di kafe ini.
"Hai, Auntie Isma," tegur Jiyan sambil melajukan langkah kaki menghampiri Auntie Isma yang sedang berdiri di hadapan kaunter kafe dengan dua orang lelaki yang turut sama menoleh ke arah dia.
"Hai, Jiyan. Dah lama auntie tak nampak Jiyan datang sini," sapa Auntie Isma ramah dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir.
"Exam trial SPM dah nak dekat, auntie. Sebagai seorang pelajar yang berdedikasi, saya kenalah belajar betul-betul sebab kalau tak maunya babah kat rumah tu membebel sayang," balas Jiyan sambil tersenyum. Anak mata Jiyan automatik singgah pada tray makanan yang sedang dipegang oleh lelaki yang memakai t-shirt berwarna hitam. Ada empat set roti bakar Pelangi di dalam pinggan dan terus dahi Jiyan berkerut tanpa sedar. Ini makan atau melantak sebenarnya? "Auntie, saya nak bungkus dua set roti bakar Pelangi yang marvelous tu. Nak extra cheese jugak tau."
Auntie Isma sudah berpandangan dengan lelaki yang masih memegang tray makanan membuatkan Jiyan mula tidak sedap hati. Tolonglah jangan cakap yang...
"Sorry, Jiyan. Dah sold out dah roti bakar Pelangi untuk pagi ni. Kalau Jiyan nak; set roti bakar biasa masih ada." Beritahu Auntie Isma.
Jiyan hanya senyap dengan pandangan mata tidak lepas memandang empat set roti bakar Pelangi milik lelaki yang masih berdiri di sebelah dia. Air liur ditelan perlahan kerana bau harum cheese yang berwarna-warni itu memang menusuk deria baunya. Dia sudahlah sejak semalam sudah terbayang-bayang cheese berwarna-warni itu jika roti bakar ditarik menjadi dua.
"Jiyan, nak tak set roti bakar biasa tu? Boleh auntie buatkan sekarang," suara Auntie Isma yang menegur itu membuatkan pandangan mata Jiyan kembali kepada Auntie Isma yang masih berdiri di hadapan kaunter kafe. Hilang bayangan cheese berwarna-warni sebentar tadi.
"Tak apalah, auntie. Nampaknya tak ada rezeki saya hari ni. Nanti lain kali saya datang lagi," jawab Jiyan sambil sempat mencuri pandang ke arah lelaki yang menyebabkan roti kegemaran dia sold out pagi itu. Sengaja dipandang lama wajah lelaki yang nampak tidak beriak itu dengan harapan supaya lelaki ini akan kasihankan dia dan mahu menjual dua set roti bakar Pelangi tetapi lelaki itu terus beredar ke meja makan yang terletak di sudut belakang kafe sambil diikuti oleh kawannya. Terkebil-kebil Jiyan melihat lelaki yang sudah berlalu itu. Mamat ni memang jenis yang tak faham bahasa isyarat mata agaknya!
***
"KAU NI kan Han; walaupun otak pandai tapi kadang-kadang common sense kau tu tak berapa nak cukup kan?" tegur Kid apabila Han sudah melabuhkan duduk di hadapan dia; di meja yang terletak tidak jauh dari pintu masuk kafe Dapur Isma. Kid menggeleng perlahan apabila Han hanya memandang dia dengan wajah yang tidak beriak.
"Apa pulak common sense aku tak cukup?" soal Han pelik. Pinggan putih yang terisi empat set roti bakar Pelangi itu diletakkan di tengah-tengah meja sebelum diikuti dengan dua cawan latte panas yang masih berasap.
Kid tidak menjawab tetapi kepala dihalakan ke arah pintu kafe Dapur Isma dan Han ikut memusingkan tubuh memandang pintu kafe yang sudah ditolak dari dalam. Kelihatan gadis yang dipanggil sebagai Jiyan oleh pemilik kafe ini sudah melangkah keluar dari kafe.
"Aku tunggu je kut-kut kau nak offer dua set roti ni dekat dia tadi tapi kau boleh blah dengan selamba je? Kau tak perasan ke yang muka budak perempuan tu terus berubah tadi? Kesian pulak aku tengok dia tadi," balas Kid sambil tangan kanan mencapai roti dari dalam pinggan.
"Entah, aku tak perasan pun. Lagipun, dia tak tanya aku jadi aku tak offerlah. Kau rasa aku ada kuasa telepati yang boleh tahu apa sebenarnya budak perempuan tu tengah fikir?" Jawab Han bersahaja walaupun dia perasan yang anak mata Jiyan sebenarnya asyik memandang pinggan berisi roti viral itu di dalam tray dia sebentar tadi.
"Sebab tu aku cakap kau tu kurang common sense. Kita ni nak makan dua orang je tapi yang kau beli sampai empat set tu dah kenapa?" bebel Kid dengan mulut yang penuh dengan roti. "Janganlah tunjuk sangat kat orang yang kita kuat makan." Sambung Kid lagi.
"Kau tu yang buruk lantak minta sampai empat set. Jadi, tak payah nak acah-acah tak kuat makan pulak."
"Eh, aku ada minta sampai empat set ke tadi? Kita ni kejap lagi nak guna banyak tenaga jadi kenalah makan banyak sikit." Kid koyak sengih dengan tangan kanan mencapai satu lagi set roti.
Sekali lagi Han memusingkan tubuh memandang pintu kafe tetapi bayang budak perempuan yang rambutnya digayakan ala fishtail braid itu sudah tidak lagi kelihatan.
YOU ARE READING
Hero Untuk Jiyan (SUDAH TERBIT)
RomancePertemuan kali pertama antara Jiyan dan Han tidaklah semanis mana pun. Dan... siapa sangka selepas itu, rupa-rupanya Han ialah jiran baharu sebelah rumah Jiyan. Bagaimanapun hubungan yang tidak semanis mana itu, bertukar manis dan seindah roti Pelan...