"SIAPA sangka akhirnya ada juga rezeki kita nak berjiran ni, Daus." Ucap Encik Yusuf.
"Betul tu, Suf. Kali terakhir kita jumpa dekat Kota Kinabalu sebelum kau dan famili pindah ke Semenanjung," balas Haji Firdaus.
"Ada rezeki nanti pencen pun kat sinilah ya?" soal Encik Yusuf.
"Insya-ALLAH plannya macam itulah. Anak-anak pun semua dah besar; tinggal Han seorang je yang masih studi. Penat dah nak pindah randah macam sebelum ni." Jawab Haji Firdaus mesra.
"Oh, ni Han yang bongsu?" soal Puan Saleema pula.
"Ni yang lahir dekat Kota Kinabalu; satu hospital dengan Najihan tapi Han lahir awal tiga tahun." Jawab Hajah Ayuni.
"Kak," panggil Shafiq yang duduk di sebelah Jiyan dalam nada yang perlahan.
"Apa?"
"Apit rasa mesti mama dengan Auntie Ayu pernah rancang nak jodohkan akak dengan Abang Han tu dari kecik. Macam dalam drama yang selalu mama suka tengok malam-malam tu. Alololo sweetnya akak dengan Abang Han lahir kat hospital yang sama," bisik Shafiq dengan kedua-dua belah kening terjungkit naik. Seronok dia dapat mengusik Jiyan yang sedang tekun menghabiskan nasi di dalam pinggan.
"Inilah bahayanya kalau budak kecik macam Apit suka tengok drama Melayu. Kan dah terpengaruh benda yang pelik-pelik," bisik Jiyan geram. Dia sudahlah tengah tak senang duduk disebabkan Han sedang duduk betul-betul berhadapan dengan dia.
"Eh, Apit tengok drama Thailandlah kak. Lagi best. Sekarang ni tengah trending plot tertukar anak kat hospital dan lepas tu saling jatuh cinta. Lepas tu jadi cinta terhalang pula. Lepas tu eh, ingatkan adik-beradik tapi nasib baik bukan." Jawab Shafiq sambil tersengih-sengih memandang Jiyan yang jelas sedang mengawal nada suara sendiri. "Nak bet tak?" sambung Shafiq sambil menjungkitkan kening.
"Pukul nak tak? Apa main bet-bet? Haram tahu tak."
"Ala, main-main ajelah kak. Kalau apa yang Apit cakap ni betul; akak kena bagi duit belanja RM2 sehari dekat Apit selama sebulan. Mama kan bagi duit belanja lagi banyak dekat akak."
"Ya ALLAH, kenapalah budak ni mata duitan sangat?" Jiyan ketap bibir geram. Adik lelaki ni memang suka menguji kesabaran seorang kakak macam dia ke?
"Ke akak takut?" provok Shafiq sengaja.
"Merepeklah!"
Nada suara Jiyan yang sedikit kuat itu membuatkan semua yang ada di ruang makan sudah memandang ke arah dia. Ah, sudah!
"Kenapa Jiyan? Apa yang merepek tu?" usik Haji Firdaus sambil ketawa kecil melihat Jiyan yang sedang terkulat-kulat.
"Padan muka akak. Siapa suruh cakap kuat-kuat? Kan bakal bapa mertua dah tanya," bisik Shafiq perlahan.
"Diam kalau Apit tak nak akak buang PS3 Apit bagi ayam main," ugut Jiyan sambil berbisik.
"Kak, kat taman ni mana ada ayam. Yang ada kuc..."
Terus Jiyan jegilkan mata memandang Shafiq dan automatik adik bongsunya itu terus mengunci mulut.
"Adik ni, dia kata dia boleh habiskan semua makanan yang mama masak ni." Setenang mungkin Jiyan menjawab soalan Haji Firdaus. Entah kenapa dia rasa segan apabila Han turut memandang dia tidak lepas. Isy, ini semua salah si budak Apit ni!
Haji Firdaus hanya ketawa kecil.
"Dua beradik ni memang suka sakat-menyakat. Kalau dengar bunyi riuh-rendah sampai ke rumah sebelah nanti, abaikan ajelah ya," tambah Encik Yusuf.
"Bunyi riuh-rendah macam itu yang buat rumah rasa meriah dan tak sunyi. Nanti bila seorang demi seorang anak dah mula duduk jauh dari kita, mulalah kita rasa sunyi," sokong Hajah Ayuni sambil memandang ke arah Han di sebelah.
"Han studi kat tempat jauh ke?" soal Puan Saleema.
"Tak adalah jauh sangat pun, auntie. Dekat INTEC Shah Alam je." Jawab Han dan tersenyum memandang Puan Saleema. Terkejut Jiyan kerana buat pertama kalinya dia melihat si mamat muka stone mengukir senyum. Jenis senyum yang menyebabkan sepasang matanya turut tersenyum sehingga menjadi kecil. Ala-ala smiling eyes bak kata Zea.
"Ada rezeki kalau lepas A-Level nanti akan sambung degree ke UK. Tu yang umi dia mula nak rasa sunyi tu," usik Haji Firdaus lagi.
"Yalah anak bongsu kan. Han bawah tajaan siapa? MARA ke?" soal Encik Yusuf.
"Haah, uncle." Jawab Han dan menguntum senyum ke arah Encik Yusuf menyebabkan Jiyan mula mengerutkan dahi. Dengan babah dia pun elok aje mamat muka stone ni tersenyum manis.
"Han mesti budak pandai ni. Nanti bila-bila Han ada kat sini bolehlah tolong ajarkan Jiyan sekali. Jiyan nak SPM tahun ni tapi kadang-kadang banyak mengelat bila uncle suruh dia study," tambah Encik Yusuf dan melirik sekilas ke arah Jiyan.
Terus bulat sepasang mata Jiyan memandang babahnya. Biar betul babah dia ni!
"Insya-ALLAH, boleh je uncle." Jawab Han bersahaja dan menyambung makan puding caramel yang masih berbaki di dalam mangkuk. Entah kenapa, seronok dia melihat Jiyan yang sedang memandang dia dengan sepasang mata yang membulat.
***
"NAH, AMBIL ni."
Suara yang tiba-tiba menegur dari arah belakang membuatkan Jiyan menoleh dengan tangan yang penuh dengan sabun basuh pinggan. Kelihatan Han berdiri bersandar di muka pintu dapur dengan tangan kanan menghulurkan telur rebus ke arah dia.
"Nak buat apa dengan telur rebus ni?" soal Jiyan dengan dahi yang mula berkerut. Cepat-cepat dia membilas kedua-dua belah tangan dengan air di singki.
"Semalam ada kenduri kahwin jadi dapat door gift telur rebus ni banyak. Adab datang rumah orang kan kena bawak buah tangan. Nah, telur rebus sebagai buah tangan." Jawab Han dengan selamba.
Lambat-lambat Jiyan menyambut huluran telur rebus dan dipandang lama telur rebus di tangan sebelum pandangan mata beralih semula ke wajah Han yang nampak tidak beriak. Mamat ni biar betul!
"Saya gurau ajelah. Nanti balut telur rebus tu dengan tuala yang direndam dalam air suam," tambah Han dengan sedaya upaya cuba ditahan tawa daripada terlepas disebabkan memek wajah Jiyan yang nampak kelakar itu.
"Nak buat apa pulak?" soal Jiyan. Han ni bergurau pun boleh tayang muka stone.
"Benjol dekat dahi awak tu dah macam ikan flower horn. Nanti tuam benjol tu dengan telur rebus yang dibalut dengan tuala suam." Jawab Han selamba.
Tangan kanan Jiyan mula naik dan memegang kesan benjol di dahi. Ada ke patut mamat stone ni samakan dia dengan ikan flower horn? Kuang ajaqq betul!

YOU ARE READING
Hero Untuk Jiyan (SUDAH TERBIT)
RomancePertemuan kali pertama antara Jiyan dan Han tidaklah semanis mana pun. Dan... siapa sangka selepas itu, rupa-rupanya Han ialah jiran baharu sebelah rumah Jiyan. Bagaimanapun hubungan yang tidak semanis mana itu, bertukar manis dan seindah roti Pelan...