Bab 10

251 20 1
                                    

DARI meja panjang berdekatan dengan mesin air gedegang yang menjadi spot biasa Jiyan dan Zea setiap kali waktu rehat, pandangan mata Zea tidak lepas memerhatikan Ayie yang sedang duduk di meja tidak jauh daripada meja mereka. Diperhatikan gelagat Ayie yang sedang tersengih-sengih berbual dengan beberapa orang pelajar perempuan yang dia tidak kenal.

"Jiyan, kau tengoklah tu. Geram je aku tengok meja sana tu," tutur Zea sambil tangan mencubit geram roti bun sardin sebelum disumbat masuk ke dalam mulut.

"Meja yang mana?" soal Jiyan dan mengangkat wajah memandang deretan meja yang berhadapan dengan meja mereka di kantin.

"Meja yang ada Ayie dengan geng dia itulah. Menyampahnya aku tengok dia tersengih-sengih setiap kali budak perempuan lalu meja geng dia dan tegur diaorang. Dia ingat dia hensem ke apa? Tersengih-sengih macam kerang busuk."

Jiyan mengalihkan pandangan mata ke arah meja yang menempatkan Ayie dan budak-budak lelaki daripada pasukan bola sekolah.

"Kenapa aku dengar macam kau bukannya menyampah dengan Ayie tapi kau tu cemburu sebenarnya. Mengaku ajelah yang walaupun kau dengan Ayie tu macam Tom and Jerry tapi sebenarnya kau dah suka dekat sepupu aku tu," usik Jiyan dan memandang ke arah Ayie yang sedang bersembang dengan Rania yang merupakan presiden pasukan sorak sekolah dan beberapa budak perempuan yang dia sendiri tidak kenal dari kelas mana. Apabila pandangan mata dia bertemu dengan Mirza yang sedang duduk bersebelahan dengan Ayie, selamba sahaja lelaki itu melambai tangan ke arah dia menyebabkan beberapa pasang mata yang lain sudah tertumpu ke arah dia pula. Cepat-cepat Jiyan mengalihkan pandangan mata.

"Eh, kejap, kejap! Mirza tu dah kenapa melambai-lambai ke sini pulak? Kau kenal dia ke sampai dia siap main lambai-lambai tangan macam tu dekat kau?" soal Zea pantas. Soal Ayie yang membuatkan dia geram itu ditolak ke tepi dahulu.

"Kenal-kenal macam tu ajelah sebab Ayie kan baik dengan Mirza jugak. Kadang-kadang bila aku pergi rumah Ayie, dia pun ada sekali." Jawab Jiyan bersahaja.

"Dia buat apa dekat rumah Ayie?" soal Zea lagi.

"Selalunya dua ketul tu main Playstation bila aku datang rumah mak lang aku." Jawab Jiyan. Dia perasan apabila Ayie melambai sambil tersengih-sengih ke arah Zea; Zea membalas dengan tangan kanan yang sedang menggenggam penumbuk. Jiyan sudah tergelak-gelak melihat telatah kedua-duanya.

"Eh, Jiyan kau tau kan Super Junior datang Malaysia minggu depan untuk konsert Super Show tahun ni kat KL?"

"Mestilah aku tahu tapi tak payahlah berangan nak pergi konsert sebab memang babah aku takkan bagi. Aku dah pernah pujuk bagai nak rak sebelum ni tapi gagal dengan cemerlang sekali. Siap dapat ceramah percuma lagi daripada babah aku." Jiyan menggelengkan kepala perlahan. Seram jika diingatkan semula 'ceramah' babah yang panjang lebar sehinggakan Jiyan terasa insaf terus.

"Daddy aku pun tak bagi aku pergi walaupun abang ngah aku nak je temankan aku pergi walaupun dia tak layan pun Kpop ni semua."

Jeda seketika dan tiba-tiba Zea melebarkan senyuman sambil menjungkitkan kening memandang Jiyan yang nampak blur.

"Kau tengah fikir sama macam aku tengah fikir tak?" soal Zea sambil melebarkan sengihan. Sebelah tangan sudah memaut erat bahu Jiyan.

"Manalah aku tahu otak kau tengah fikir apa." Jawab Jiyan pelik.

"Kita masih ada peluang nak tengok Super Junior sebenarnya." Bisik Zea perlahan.

"Hah? Kan babah aku dengan daddy kau memang tak bagi kita pegi konsert. Maksud kau tengok bila CD konsert dah dijual ke?" soal Jiyan pelik tetapi Zea di sebelah sudah menggoyang-goyangkan jari telunjuk di hadapan Jiyan.

Hero Untuk Jiyan (SUDAH TERBIT)Where stories live. Discover now