Bab 12

250 24 7
                                    

"HAN,"

Suara Kid yang memanggil perlahan itu membuatkan Han mengalihkan pandangan mata yang sejak tadi menatap skrin komputer riba berjenama DELL.

"Kau tak balik rumah pulak minggu ni? Selalunya kalau weekend macam ni memang susah gila nak nampak batang hidung kau kat kampus." Kid menarik kerusi perlahan-lahan di sebelah Han memandangkan mereka sedang berada di dalam perpustakaan INTEC. Bunyi perlahan kerusi yang ditarik turut membuatkan beberapa pasang anak mata yang berhampiran dengan mereka sudah memandang ke arah dia dan Han.

"Aku saja je tak balik rumah minggu ni sebab rindu dekat kau dengan Nuqman." Han jungkitkan kening bersahaja sebelum kembali menatap skrin DELL.

"Gelilah, gila!"

Han terus lepas ketawa sehinggakan dia terlupa yang mereka sedang berada di dalam perpustakaan.

"Syhhhh!!!" Kuat suara pegawai perpustakaan yang menegur mereka dari arah kaunter.

"Kid, kau punya pasallah ni. Kan kita dah kena marah!" bisik Han dan cepat-cepat mengangkat tangan kanan sebagai tanda meminta maaf ke arah Puan Liza yang merupakan pustakawan bertugas.

"Aku pulak yang kena. Aku tanya betul-betul kut; yang kau jawab main-main siapa suruh?" bisik Kid dengan pakej mata yang sudah terjegil memandang Han yang nampak selamba. "Kau tak ada kelas dengan Jiyan pulak hari ni?"

"Jiyan nak keluar dengan kawan dia. Nak release stress katanya." Jawab Han dengan nada suara yang perlahan disebabkan Puan Liza masih lagi memerhatikan dia dan Kid sambil berpeluk tubuh.

"Ni mesti Jiyan stress sebab setiap hari Sabtu dia kena menghadap muka stone kau. Kau tu cubalah bawak-bawak senyum sikit. Bukannya kena bayar pun." Beria-ia Kid menahan tawa supaya tidak berbunyi apabila Han sudah menjegilkan mata kepada dia tetapi tidak lama apabila Samsung milik Han yang ada di atas meja bergetar.

"KLIA?"

Kid turut sama cuba mencuri dengar memandangkan dahi Han sudah berkerut lebat.

"Ada dekat kampus je hari ni jadi boleh je nak cari dia kat sana." Han menjauhkan sedikit telefon apabila Kid sudah menempel di sebelah. Hampir Kid jatuh bergolek ke bawah meja apabila Han tiba-tiba bangun daripada duduknya.

"Siapa yang call?" soal Kid tidak sabar. Dia sebenarnya tidak sabar untuk mengetahui siapakah gerangan si pemanggil yang membuatkan Han nampak kelam-kabut.

"Kau bawak kereta datang sini kan minggu ni?" soalan Kid sebentar tadi dibalas dengan soalan.

"Haah tapi kenapa?"

"Aku nak pinjam kereta kau kejap boleh tak? Petang nanti aku pulangkan dekat kau balik."

"Kau nak pergi mana?"

"KLIA."

"Huh? Nak jemput siapa dekat KLIA?"

Jeda dan Han cepat-cepat mengemaskan laptop dan buku-bukunya ke dalam beg sebelum beg Nike itu digalas di bahu kanan.

"Jiyan."

***

APABILA KERETA yang dipandu oleh Han berhenti di hadapan rumah, Jiyan tidak terus melangkah turun sebaliknya memerhatikan babah yang sedang mencuci kolam ikan di laman rumah. Perlahan-lahan Jiyan menoleh ke arah Zea yang duduk di kerusi belakang dan Zea sedang menayangkan riak wajah cemas memandang dia.

"Jom, turun." Han menukar gear dan menarik brake tangan sebelum mematikan enjin kereta. Apabila perasan yang Jiyan masih tidak bergerak keluar dari kereta, terus ditekan hujung seat belt Jiyan membuatkan seat belt hampir terbuka dan seraut wajah Jiyan yang pucat menyapa pandangan mata.

"Sampai bila korang nak duduk dalam kereta ni? Dah, jom turun." Han membuka pintu kereta dan terus keluar sebelum diikuti oleh Jiyan dan Zea.

"Babah kau kalau tengah marah memang boleh cuci kolam ikan sambil menyanyi ke?" bisik Zea apabila dia dan Jiyan semakin menghampiri pagar rumah Jiyan. Dari luar pagar rumah sudah kelihatan Encik Yusuf yang ralit mencuci kolam ikan sambil menyanyi kecil.

"Aku tak pernah tengok lagi babah aku macam tu tapi ini sangat menyeramkan kalau babah tengah marah tapi tak nampak macam tengah marah." Balas Jiyan perlahan dengan jantung yang sudah berdebar-debar. Di dalam kepalanya sedang mencipta pelbagai jawapan untuk soalan-soalan babah dia sekejap lagi. Babah itu kalau dah keluar aura lawyer dia; memang Jiyan selalunya akan kecut perut.

"Kalau babah kau soal siasat kau macam-macam, kau bagitahu je babah kau yang akulah mastermind rancangan kita ni. Sebenarnya aku yang ajak kau buat benda tak berfaedah macam ni. Kau tu sebenarnya tukang ikut je." Zea pegang kejap lengan Jiyan yang mahu mendapatkan Encik Yusuf itu.

"Eh, mana boleh! Ini idea kita sama-sama. Mana aci aku lepaskan semua dekat bahu kau je. Kalau seronok sama-sama; biarlah kena marah pun sama-sama juga."

Han yang masih berdiri di belakang kedua-dua sahabat baik ini sudah menggelengkan kepala perlahan. Memang betul-betul kawan baik betul.

"Jiyan, Zea," Encik Yusuf menegur Jiyan dan Zea yang sedang berbisik-bisik di tepi pergola.

"Kau ingat tau, Zea. Kalau seronok sama-sama; biar kena marah pun sama-sama," pesan Jiyan dan menarik nafas dalam-dalam. Sempat dikerling sekilas Han yang sudah duduk santai di pergola.

Bulat matanya memandang Han. Eh, mamat ni seronok pulak ambil tempat siap-siap!

"Awalnya balik, kakak? Selalunya kalau keluar dengan Zea mesti macam orang tak ingat dunia," Encik Yusuf menghampiri Jiyan yang sudah berdiri tegak.

"Weh, kenapa suara babah aku tak macam gaya tengah marah je?" Jiyan menoleh ke arah Zea tetapi sahabatnya itu pantas menggelengkan kepala.

"Kalau kau pun tak tahu; kau ingat aku tahu?" balas Zea perlahan.

"Macam mana boleh balik dengan Han pulak?" Kali ini Encik Yusuf beralih memandang Han yang sedang duduk di pergola.

Soalan Encik Yusuf membuatkan Jiyan terus memandang Han tetapi lelaki itu hanya menjungkitkan kening. Dia mula bingung. Apa yang dah dah jadi sebenarnya? Kenapa babah dia nampak macam biasa seolah-olah tak ada apa-apa yang berlaku?

"Kakak dengan Zea..." Jiyan sempat mencuri pandang Han yang sedang asyik dengan telefon bimbit di tangan tanpa mempedulikan dia yang sedang terkulat-kulat di hadapan babahnya yang kelihatan seperti tidak mengetahui apa yang baru berlaku.

"Babah, sebenarnya akak..." Jiyan telan liur sendiri memandang babah dia yang masih menanti.

"Saya terserempak dengan Jiyan dan Zea tadi uncle. Tu yang dah alang-alang nak balik tu, saya ajak diaorang balik sekali." Han bangun daripada duduknya dan berjalan merapati Jiyan yang sedang berdiri tegak seperti tiang bendera. Dikerling sekilas Jiyan yang sudah memandang dia tidak berkelip.

Hero Untuk Jiyan (SUDAH TERBIT)Where stories live. Discover now