Prolog | BPC

134K 4.5K 935
                                    

SETAPAK demi setapak Zea menyelusuri koridor hospital. Tatapan mata kosong. Jasad masih bernyawa, tetapi hakikatnya separuh jiwanya mati. Hatinya gundah-gulana mencari susuk seseorang dalam keramaian itu.

“Akak!”

Zea berhenti melangkah. Badan dipusingkan menghadap Lea yang berlari ke arahnya dengan riak wajah panik.

“Akak nak pergi mana? Akak tu baru sedar dari kemalangan!” Lea memaut kedua-dua belah bahu Zea. Ditatap kepala Zea yang masih berbalut kemas. Syukurlah baik-baik saja.

“Mana dia?” soal Zea lemah.

Lea terdiam seketika sebelum dia memberitahu.

“Dia tak sempat diselamatkan, kak.”

Bagaikan terhenti degupan jantung Zea ketika mendengar kenyataan itu. Kepala digelengkan seakan tak percaya dengan apa yang didengarnya ketika ini. Sepertinya baru tadi mereka meluangkan masa bersama. Tak mungkin secepat ini lelaki itu pergi meninggalkannya?

“Tipu! Akak nak jumpa dia!” Tangan Lea ditepis kasar. Zea berundur selangkah. Rambutnya diraup kasar.

“Dia terlambat dibawa ke hospital. Kalau dia dibawa lebih awal untuk dirawat di sini, kemungkinan untuk dia hidup ada walaupun tipis. Dia cedera teruk sebab terpelanting jauh dan kakinya tersepit di bawah kereta, kak.”

Tangan kanan Zea naik mencengkam dadanya yang seakan rasa ditusuk. Dia menyaksikan kejadian itu walaupun pandangannya kabur tadi. Perasaan bersalah menyerang diri ketika ini. Seandainya Zea dapat bangun dan menyelamatkan lelaki itu, mungkin dia dapat diselamatkan seperti Zea.

“Adik kita dah meninggal dunia, kak.” Lea tundukkan kepalanya. Berat untuk dia memberitahu kenyataan pahit ini kerana dia juga turut rasakan kehilangan.

“Lea bergurau aje, kan?” Kedua-dua belah bahu Lea digoncang agar adiknya itu menatapnya semula. Zea tidak mahu percaya selagi tidak melihat jasad tidak bernyawa lelaki itu di depan matanya.

“Kai dah pergi jauh, kak. Dia dah meninggal dunia.”

Air mata Zea menitis. Jiwanya terhempas pilu. Mulut ditekup menahan esakannya. Kenyataan bahawa mereka telah berpisah di dunia ini sangat menyakitkan. Adik lelakinya itu masih muda, tetapi kematian tak mengira usia dan tempat.

“Arwah masih ada di bilik mayat.”

Zea gagahkan diri menuju ke tempat jenazah adiknya berada meskipun seluruh tubuhnya masih terasa sakit.

Melihat ibunya berdiri di depan pintu bilik mayat, Zea terus mendekatinya. Tanpa menghiraukan tatapan tajam Puan Amy, Zea melangkah masuk ke dalam. Perlahan-lahan kakinya mendekati katil yang menempatkan di mana jasad adiknya, Kai.

Kain yang menutupi jenazah dibuka dengan tangan yang menggeletar. Remuk hati Zea melihat wajah pucat adiknya. Dia sentuh pipi dingin itu. Tiada lagi hembusan nafas terdengar. Kai Airel telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

“Kai...” Deras mutiara jernih membasahi pipi Zea. Jasad adiknya itu dipeluk seeratnya. Hanya suara tangisannya yang mengisi ruangan bilik mayat.

Kai sayang akak dunia akhirat!” Ucapan arwah Kai terlintas di fikiran. Hampir setiap hari adiknya itu mengucapkan kata sayang agar Zea tahu dia tak bersendirian di dunia.

“Maafkan akak, Kai... Ni semua salah akak.” Zea mula menyalahkan diri. Kalau mereka tak terlibat kemalangan itu, pasti Kai tak akan pergi tinggalkan dirinya. Namun, ajal di tangan Tuhan. Setiap yang bernyawa pasti akan mati.

Dari Allah kita datang, kepada Allah juga kita kembali.

“Kai... jangan tinggalkan akak. Akak tak ada sesiapa lagi selain Kai. Tak ada orang yang sayang akak selain Kai.”

Bawa Pergi Cintaku [BAKAL TERBIT] Where stories live. Discover now