SOLAT sunat istikharah ditunaikan di sepertiga malam. Aqeel inginkan petunjuk sekali lagi setelah dia bertemu dengan Zea. Lagi pula dia memang selalu menyebut nama gadis itu di setiap doanya sejak dulu.
“Ya Allah, aku memohon petunjuk memilih yang baik dalam pengetahuan-Mu, aku mohon ditakdirkan perkara yang baik dengan kuasa-Mu, aku mengharapkan belas kasih sayang-Mu yang besar.”
Kedua-dua belah tangan ditadah sembari berdoa.
“Ya Allah… Jika Zea bukan jodohku, maka jauhkanlah dia dariku. Hilangkanlah rasa kagum ini terhadapnya. Hilangkanlah dia dari fikiranku tapi jika aku boleh meminta, aku ingin dia menjadi jodohku. Hanya dia yang aku inginkan, Ya Allah. Jika dia yang terbaik untukku, maka mudahkanlah urusanku untuk menghalalkannya nanti.”
Walaupun otak Aqeel cuba melupakan Zea, hatinya tetap mengingati nama Zea dari dulu sampai sekarang. Dia tak mahu berharap tapi dia percaya perancangan Allah sangat indah.
“Ya Allah, Engkau bukakanlah hatinya untukku dan tutupkanlah hatinya untuk orang lain. Sesungguhnya aku yakin dialah jodoh sebenarku. Tolong mudahkan dan jangan Engkau persulitkan. Aku memohon dengan segenap hati, aku ingin memiliki Zea Eryna dengan cara yang halal.”
Sesungguhnya pernikahan adalah bukti sebaik-baiknya cinta. Hubungan akan lebih diberkati dan berakhir indah.
“Ya Allah, aku ingin menjadi suami mithali yang mampu membimbingnya ke syurga-Mu kelak. Aku ingin menjaganya sampai akhir nafasku nanti. Aku ingin membimbingnya menjadi hamba yang taat kepada-Mu dan aku ingin menjadikan dia wanita solehah. Hanya dia yang aku inginkan untuk menjadi bidadari syurgaku kelak.”
“Ampunkan aku kerana terlalu berharap kepada manusia, tetapi aku yakin dengan-Mu, Ya Allah. Kun Fayakun. Aamiin Ya Rabbal Alamin.”
Aqeel menyapu wajahnya sekali gus mengelap air matanya yang mengalir itu. Dia selalu berdoa dan meminta petunjuk. Hatinya yakin bahawa Zea adalah jodohnya. Buktinya mereka telah dipertemukan semula setelah sekian lama.
Fikiran Aqeel melayang pada detik pertama pertemuan mereka. Mungkin Zea tidak ingat, tetapi itu adalah hari yang paling meninggalkan kesan mendalam di dalam hidup Aqeel.
Kali ini, Aqeel tak akan lepaskan gadis itu pergi. Dia akan menunaikan janjinya pada saat awal pertemuan mereka.
“Kita telah dipertemukan kembali di titik terbaik menurut takdir, Zea Eryna.”
𝓑𝓪𝔀𝓪 𝓟𝓮𝓻𝓰𝓲 𝓒𝓲𝓷𝓽𝓪𝓴𝓾
BENGKEL dituju untuk membuat pemeriksaan dalaman motosikalnya. Aqeel melangkah turun dari atas motosikal. Leher diregangkan. Langit yang cerah ditatap dengan senyuman. Cuaca hari ini sangat indah!
“Ni motor encik ke?”
Aqeel menoleh ketika mendengar suara gadis yang sangat dikenalinya itu. Mata mereka bertembung sesaat sebelum Aqeel menundukkan pandangannya.
“Haji Bakhil? Wah, tak sangka kita akan jumpa lagi.”
Zea yang lengkap berpakaian seorang tukang bengkel tersenyum tipis. Kuat betul jodoh mereka.
“Awak kerja sini?” soal Aqeel spontan.
“Yes, why?”
“Siapa awak sebenarnya?”
“Maksud you?”
“Awak kerja apa?” Alis Aqeel bertaut, hairan. Di mana-mana saja Aqeel berada, Zea pasti ada.
“I? Semua kerja I boleh buat tau.” Zea bangga diri. Dari usia remaja dia sudah bekerja keras demi kelangsungan hidup.
“Oh.” Aqeel membongkokkan badan tanda hormat sebelum dia pergi menjauhi Zea. Ingin memberi ruang kepada gadis itu untuk memeriksa motosikalnya.
YOU ARE READING
Bawa Pergi Cintaku [BAKAL TERBIT]
Roman d'amourBAWA PERGI CINTAKU BY VIEPIXXA All Rights Reserved © viepixxa