SETELAH melintasi garisan penamat, Aqeel menghentikan motosikal lumbanya. Kedengaran sorakan dari para penonton apabila dia berjaya menduduki tempat pertama untuk pertandingan pusingan kedua pemilihan peserta MotoGP.
Aqeel telah memenangi dua pusingan setakat ini. Tinggal lapan pusingan saja lagi sebelum pemilihan Kejuaraan Grand Prix ini berakhir pada musim kali ini untuk menentukan peserta yang layak ke peringkat antarabangsa pada tahun depan.
Motosikal besar itu diletakkan di tempat khas letaknya motosikal pelumba. Aqeel turun dari atas motosikalnya. Helmet dibuka. Rambutnya yang sedikit serabai diraupkan ke belakang.
Apabila kamera tertumpu padanya, riak wajah seriusnya terus berubah menjadi manis. Wajahnya nampak lebih comel apabila senyuman menghiasi bibirnya. Tangan dilambaikan di depan kamera dan di kawasan penonton.
“Aqeel Razin! Aqeel Razin! Aqeel Razin!”
Sorakan para peminat yang nyaring memeriahkan lagi suasana di Litar Antarabangsa Sepang ketika itu.
Aqeel Razin merupakan seorang pelumba motosikal profesional yang terkenal di Malaysia. Dialah salah seorang peserta yang mungkin layak menjadi wakil pelumba MotoGP dari Malaysia kerana selalu menunjukkan prestasi yang terbaik sepanjang perlumbaan diadakan.
Selesai urusan perlumbaan, kawasan rehat ditujunya. Badan dibaringkan di atas sebuah kerusi. Mata dipejamkan sementara ada waktu terluang. Penat berlumba tanpa henti.
“Congrats, Qeel!”
Aqeel celikkan mata semula. Wajah kawannya yang duduk di sebelah ditatap. Hafif ialah rakan satu pasukan motornya.
“You too, Fif. Kalau kita tetap jadi top 3 sampai akhir pemilihan ni, kita berdua boleh jadi pelumba MotoGP dan harumkan nama negara kita.” Hanya itu impian terbesar Aqeel sejak dia menceburi bidang permotoran ini. Dia ingin naikkan prestasinya ke peringkat antarabangsa pula.
“Tapi hanya seorang yang layak jadi wakil dan aku tetap puas hati kalau orang tu kau, Qeel. Lagipun aku belum sedia nak berlumba dengan pelumba luar negara. Takut kalau aku dapat kedudukan terakhir. Malulah nanti.” Hafif gelengkan kepala. Dia juga ingin jadi pelumba MotoGP, tetapi bukan sekarang.
“Aku pun tak sedia tapi aku cuba. Aku cuma takut kalau nanti ada peserta lain yang kalahkan aku. Kalau aku tak terpilih untuk jadi wakil negara, rasa sedih juga sebab aku dah training dari siang sampai ke malam demi nak dapatkan tempat tu.”
Riak wajah Aqeel dipenuhi kegusaran. Dia tak yakin dia akan terpilih semudah itu. Saingan sangat ketat!
“Tak apa, jangan overthinking. Kau hanya perlu konsisten dapatkan nombor satu sampai final nanti. Lagipun kau pelumba yang paling berpengalaman berbanding dengan peserta lain.” Hafif tepuk lembut bahu Aqeel untuk memujuk kawannya itu.
“Insya-Allah, aku akan cuba.” Senyuman tipis menghiasi bibir tampan jejaka itu. Aqeel duduk dari perbaringannya. Badan diregangkan. Penat tapi dia suka.
“By the way… Lusa kau free kan, Qeel?”
Aqeel angguk tanpa curiga.
“Jom teman aku pergi blind date lusa!” ajak Hafif sambil mengedipkan matanya berkali-kali.
“Kau masih ikut cara tu?” soal Aqeel agak hairan. Tak sangka masih ada orang cari jodoh guna jalur itu.
“Bukan aku yang nak tapi mama aku yang paksa. Dia teringin nak tengok anak dia ni ada calon isteri. Kau tahu tak, mama aku tuduh aku tak suka perempuan sebab aku selalu berkepit dengan kau dan Emir aje memanjang,” terang Hafif agak geram juga apabila teringat bebelan mamanya itu.
YOU ARE READING
Bawa Pergi Cintaku [BAKAL TERBIT]
RomanceBAWA PERGI CINTAKU BY VIEPIXXA All Rights Reserved © viepixxa