MOTOSIKAL dihentikan di hadapan sebuah tasik. Sungai yang mengalir ditatap kosong. Aqeel teringat akan pertemuannya dengan gadis yang bernama Zea Eryna. Rambut diraup ke belakang. Dia cuba untuk menenangkan fikiran yang kacau.
Aqeel yakin Zea ialah gadis yang dicarinya selama ini walaupun tak lama dia menatap wajah gadis itu. Blind date itu bukan pertemuan pertama mereka. Tapi mungkin hanya Aqeel yang ingat saat itu.
“Qeel!” Aqeel toleh ke arah empunya suara.
“Kau buat apa dekat sini, Niq?”
“Aku kebetulan jalan-jalan dengan isteri aku. Tak sangka pula jumpa kau.” Aniq ukirkan senyuman lebar. Sementara menunggu Lea pergi ke tempat lain, dia menyapa Aqeel dulu.
“Oh patutlah. Maaf sebab aku tak dapat datang waktu kau nikah hari tu.” Sengihan diberikan kepada Aniq. Kad jemputan ada, tetapi Aqeel tiada masa.
“It's okay, Qeel.”
“Tapi aku dengar orang kata pengantin perempuan kau bukan tunang kau yang dulu. Betul ke?” Pertanyaan Aqeel itu membuatkan riak wajah Aniq berubah tegang.
“Ya aku kahwin dengan orang lain.” Aniq garu kepalanya yang tidak gatal. Ini semua salah Zea kerana telah buat kecoh di majlisnya. Teruk Aniq dan Lea dikecam oleh para tetamu.
“Kenapa kau tak kahwin dengan tunang kau yang dulu?”
“Hmm adalah sebabnya.” Aniq tersenyum palsu. Biarlah hanya mereka bertiga yang tahu rahsia itu.
Aqeel angguk tanda faham. Dia tak ingin menyibuk hal orang lain kerana dia tak terlalu rapat dengan Aniq. Mereka hanya kawan sekolah menengah dulu.
“Kau tu dah 26 tahun, bila kau nak kahwin?” tanya Aniq pula ingin mengubah topik.
“Masih mudalah.”
“Best apa kahwin awal.”
“Best tu pada awal aje. Kau ingat senang ke nak berumahtangga? Macam-macam ujian kau kena lalui. Kalau mental tak kuat, memang berpisahlah akhirnya. Aku tak nak lepas dah bina masjid, runtuh macam tu aje disebabkan diuji sedikit,” bebel Aqeel sekali gus menasihati lelaki yang baru bergelar suami itu.
“Kalau betul kau nak jadi suami yang baik, kau jaga isteri kau baik-baik. Bimbing dia ke jalan Allah. Yang penting jangan sakiti dia dan jangan curang sebab isteri adalah anugerah terindah dalam hidup seorang lelaki. Kita kena hargai mereka kerana perempuan yang selalunya banyak berkorban. Lagipun lelaki diciptakan untuk memimpin perempuannya, bukan untuk menyesatkannya.”
Diam tidak berkutik Aniq mendengar nasihat Aqeel. Jujur, dia menyayangi isterinya itu. Namun, pada masa yang sama dia rasa tak aman kerana Zea.
Setelah berpamitan, Aqeel pergi ke litar untuk melakukan latihan sebelum perlumbaan seterusnya. Mata memerhatikan setiap peserta yang membuat pemanasan badan.
Semua lawannya hebat belaka. Motosikal besar pelumba berwarna biru hitam yang tertera nombor 19 didekati. Helmet dipakai. Kaki menaiki motor lumbanya itu.
Setelah bersedia, motosikal dipecut di atas litar untuk berlatih. Matlamat Aqeel hanya satu iaitu berjaya melintasi garisan penamat tanpa cedera. Dia sudah berjanji akan menjaga diri sebaik mungkin sepanjang perlumbaan. Dia tidak akan biarkan litar ini meragut nyawanya meskipun perlu ada pertumpahan darah.
Selepas puas berlatih, Aqeel menghentikan motosikalnya. Motosikal diserahkan pada kru untuk memeriksa motosikalnya agar tiada kerosakan yang tidak diingini sewaktu hari bertanding nanti. Sebotol air mineral diteguk. Penat sungguh!
“Makin laju kau bawa motor, Qeel.”
Kepala ditoleh ke sisi tatkala ditegur oleh Mika, salah seorang pelumba terkenal juga. Dialah saingan utama Aqeel di atas litar ini. Aqeel ukir senyum tipis.
YOU ARE READING
Bawa Pergi Cintaku [BAKAL TERBIT]
RomanceBAWA PERGI CINTAKU BY VIEPIXXA All Rights Reserved © viepixxa