BAB 29

1.9K 156 15
                                        

"SIAPA perempuan itu?" Aku menyoal sebaik saja pintu kereta ditutup.

Skrin telefon Jebat yang baru terpadam itu sempat dijeling. Ada gambar seorang perempuan asing. Di telefonnya!

Hatiku sudah membara-bara melihat gambar itu. Sudahlah semalam seharian tak balik ke rumah. Tahu-tahu saja bila balik, terus ajak keluar. Bukan ajak, tapi arahan!

"Kenalan."

"Bila masa awak ada kenalan perempuan?"

Dia memandang aku. Dahi sempat berkerut sebelum bibirnya terbuka semula. "Melainkan kalau dalam dunia ini ada lelaki saja, rasanya soalan itu tak valid."

Huh!

Aku terus berpeluk tubuh sebelum pandangan dibuang ke arah luar. Mencari kelibat perempuan yang kami tunggu sedari tadi sampai aku sempat ke tandas sekejap. Lama sangat menunggu!

Sudahlah dia angkut kereta entah siapa bersama. Audi ini siapa punya? Dulu, saat dia kejar aku selepas pergaduhan, kereta inilah yang dipandunya.

Bila sekali lagi telefon Jebat menyala dan gambar tadi kembali muncul di skrin telefon, walau hanya dalam perbualan Whatsapp...

Aku terus membuka pintu dan keluar. Tak sempat dia nak menahan, pintu belakang sudah dibuka dan aku duduk di situ. Tubuh dipeluk dan aku terus menunduk pandang skrin telefon. Berpura-pura seolah sedang bermesej.

"Duduk depan, Adara." Jebat bersuara. Tegas mengarah dengan matanya memandang ke arah cermin pandang belakang.

"Tak nak." Titik!

"Apa masalah lagi ini? Minggu ini saja dah dua kali merajuk. Period?"

Eii, dasar lelaki beku yang tak ada perasaan! Lantaklah. Kalau perempuan yang ditunggu itu datang, aku akan halimunankan diri sendiri. Aku akan buat-buat tak kenal Jebat dan tak kenal sesiapa saja!

Sedang memberontak dalam hati, tiba-tiba telefonku dirampas.

"Awak!"

"Duduk depan, atau tak ada telefon," katanya.

Fine! Ingat aku tak boleh hidup tanpa telefon ke?

"Simpan ajelah!" Benci!

Ketika itu, seorang perempuan datang menjenguk ke dalam kereta. Bila Jebat menurunkan cermin bahagian sebelah pemandu, terus perempuan itu menayang wajah terkejut. Tak lama, senyumannya pula ditarik.

Cantiklah pula perempuan ini! Nak jadi pesaing aku ke? Kau cuba goda suami aku, siaplah! Aku santau kau nanti!

Astaghfirullah haladzim!

Bila wanita itu masuk ke dalam, kami sempat berpandangan. Aku hanya senyap sebelum mata menjeling Jebat yang masih memandang cermin pandang belakang, dan pandangan dibuang ke luar. Sepanjang perjalanan yang mungkin memakan masa 20 minit itu, kami hanya senyap.

Tak aku, tak Jebat dan tak juga perempuan itu memperkenalkan diri antara satu sama lain. Senyap sehinggalah kami tiba di sebuah kawasan perumahan bertingkat.

Aku sengaja berjalan lambat kerana tak mahu dekat-dekat dengan Jebat yang juga seakan sengaja memperlahankan langkahnya, membiarkan perempuan itu berjalan di hadapan untuk ke arah lif.

Dalam lif, aku berdiri di bahagian belakang. Di sudut lif. Bukan sebab aku nak, tapi kerana Jebat yang seakan sengaja memagari aku di sebalik tubuh besarnya supaya tidak boleh ke depan. Mengenali dirinya, aku rasa ini sebuah posisi pertahanan. Kiranya, dia menjadi benteng untuk aku sekiranya ada apa-apa yang berlaku di sini.

Eleh, tak terharu pun!

Setibanya di depan rumah, tak sempat pun perempuan itu mahu menekan loceng, tiba-tiba saja pintu terbuka dari dalam. Muncul seorang lelaki bermuka serius di sebalik pintu. Terus tepat merenung perempuan itu.

NOTORIOUS : JEBAT ARRAYANTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang