MATA Elvina celik saat matahari sudah pun terpacak di atas kepala. Sepanjang malam, dia menangis tanpa henti. Entah mengapa dia membazirkan air matanya tanpa sebab yang munasabah.
Apa yang pasti, dia rasa...
Kosong.
Elvina memejamkan matanya, tetapi dia berasa aneh kerana dia berasa sukar untuk melakukan perbuatan tersebut. Dia tak pernah merasakan seperti ini. Kedua-dua belah matanya ditenyeh.
Langkah diatur segera ke arah meja solek. Saat dia melihat dirinya dalam pantulan cermin, satu jeritan pecah.
Elvinakah di sebalik cermin itu? Atau orang lain. Dia meraba-raba keseluruhan wajah. Dia dapat merasai sentuhan tangannya sendiri.
Meskipun demikian, wajah yang selama ini diagung-agungkan kini bertukar menjadi seseorang yang dia tidak kenali. Wajah di hadapannya itu mempunyai mulut yang senget bersama otot mata yang jatuh ke bawah. Tetapi hanya di sebelah kanan wajah sahaja.
Dia cuba senyum, tetapi sukar. Dia berusaha untuk memejamkan mata, tetapi sakit. Telinganya juga berdesing.
Sekali lagi, jeritannya bergema di segenap ruang bilik.
Elvina terduduk ke atas lantai. Tiba-tiba, pintu biliknya terbuka. Muncul wajah Sharifah Andra dan Syed Fawwaz yang kerisauan dek terdengar jeritan Elvina yang sangat kuat.
"Daddy! Mami!" Elvina menjerit macam orang gila.
"Kenapa dengan muka Hani?"
"Ya Allah, bang! Anak kita!" Tanpa menunggu lama, Sharifah Andra segera menerpa ke arah Elvina yang semakin tidak keruan. Apabila dia melihat segenap wajah anaknya, dia turut sama terkejut. Apa yang sudah terjadi?
"Tak apa. Jom siap-siap, kita ke hospital segera." Syed Fawwaz mengeluarkan arahan. Risau melihat keadaan anak dan isterinya.
Selepas Elvina menjadi tenang sedikit, barulah mereka bergerak ke hospital.
DOKTOR telah mengesahkan Elvina dengan bell's palsy iaitu lumpuh pada otot muka. Kebiasaannya keadaan ini berlaku apabila terdapat jangkitan virus, namun berbeza pula dengan kes Elvina. Puncanya masih tidak dapat diketahui.
Untuk rawatan, Elvina telah diberikan beberapa jenis ubat. Doktor memberitahu bahawa bell's palsy boleh dirawat tetapi memerlukan sedikit masa untuk sembuh.
Elvina duduk termenung di tepi kolam renang yang terletak di halaman rumah orang tuanya. Dia merapatkan kedua-dua belah lutut ke dadanya lalu melabuhkan muka ke situ.
Apa salah dia? Apa dosa dia sehingga Allah mengujinya sebegini? Adakah sebab apa yang telah dia lakukan kepada Eusoff, Allah membayar cash kepadanya?
Sekelip mata mukanya berubah menjadi hodoh.
Ya, hodoh! Itulah perkataan yang sesuai menggambarkan keadaannya tika ini. Dia benci dengan muka dia.
Selama ini, orang memandangnya tinggi kerana dia mempunyai muka yang begitu sempurna terbentuk. Sekarang ini? Semuanya hilang daripada dia.
Tanpa sedar, air mata mengalir ke pipi perlahan-lahan. Dia malu hendak berjumpa dengan sesiapa. Dia malu hendak keluar rumah.
Elvina berasa sangat tertekan. Kepalanya dihentakkan ke kepala lutut berkali-kali. Tangisannya semakin kuat.
Mami dan daddynya juga tidak mampu buat apa-apa melainkan hanya menyuruhnya untuk bersabar. Memanglah dia boleh bersabar, tetapi sekarang ini mukanya sudah hodoh. Apa ertinya hidup lagi?
Hujan rintik-rintik mulai turun. Awan seakan-akan turut menangisi apa yang terpendam jauh di lubuk sanubari. Perlahan-lahan, Elvina berdiri dan dia menari di dalam hujan.
Langkahnya cukup kemas dan teratur. Dia membayangkan bunyi hujan itu umpama alunan muzik yang indah. Lalu dia mengatur langkah mengikut rentak.
Tuhan, bawalah tangisan ini pergi. Tuhan, buanglah segala rasa sakit ini.
Entah di mana silapnya, Elvina terjatuh ke dalam kolam. Walaupun dia tahu berenang, tetapi dia hanya membiarkan dirinya tenggelam. Air mula masuk melalui rongga hidung dan mulutnya.
Dia tidak menjerit mahupun meminta tolong. Jiwanya kosong.
Lama-kelamaan, Elvina merasakan dadanya semakin sesak dan dia semakin sukar untuk menghirup udara kerana air masuk dengan banyak.
Mata Elvina semakin tertutup.
"Abang! Anak kita lemas, Abang!" Suara Mami.
Elvina paksa senyum.
"Abang, cepat!"
Dan selepas itu, dunia Elvina gelap.
YOU ARE READING
HER EUSOFF (TERBIT: EBOOK)
RomanceBLURB Her Eusoff Akibat tekanan daripada Syarifah Andra, Elvina terdesak untuk mencari calon suami. Bukan sembarangan lelaki boleh dipilih. Syarifah Andra meletakkan syarat supaya lelaki itu mesti berketurunan Syed dan mempunyai ketinggian 175 cm ke...