TOK! TOK! TOK
Pintu bilik Elvina diketuk dari luar.
"Masuk," laung Elvina dari dalam bilik. Dia baru sahaja selesai mandi dan sedang mengeringkan rambut menggunakan mesin pengering.
Tak lama selepas itu, muncul wajah Syarifah Andra. Matanya bengkak. Dengan hidung yang merah dan hingus yang meleleh-leleh.
Terhenti segala perbuatan Elvina apabila melihat maminya dalam keadaan begitu. Dia terus berjalan mendekati Syarifah Andra lalu menariknya agar duduk di katil.
"Mami, kenapa ni? Teruknya mami nangis." Elvina mengambil kotak tisu di atas meja soleknya lalu dihulurkan kepada Syarifah Andra. Siapa yang berani membuatkan mami kesayangan Elvina ni menangis?
"Hani sayang..." Belum sempat Elvina menyahut, dia ditarik ke dalam pelukan Syarifah Andra. Erat pelukannya seakan tidak mahu lepas sehingga Elvina rasa lemas. Tak cukup oksigen!
"Ya, mami," sahutnya.
"Huwa..." Semakin kuat tangisan Syarifah Andra, semakin basah baju Elvina dengan air mata maminya.
Sudahnya, Elvina hanya membiarkan Syarifah Andra menangis sehingga wanita itu berasa puas. Sembari itu, dia menggosok perlahan bahu maminya untuk memujuk dan meredakan perasaan Syarifah Andra.
Sepuluh minit berlalu...
"Mami, kenapa ni?" soal Elvina dengan nada lembut.
"Esok anak mami akan berkahwin..." Akhirnya, terluah apa yang tersirat dalam isi hati Syarifah Andra.
"Mami tak gembira ke? Bukan ke mami yang suruh Hani kahwin cepat-cepat? Kenapa mami sedih pula ni?" Bagai memujuk anak yang kecil, Elvina bertanya.
"Memang la mami nak kamu kahwin, tapi mami tetap sedih." Syarifah Andra melepaskan pelukan.
"Anak mami ni... Yang mami jaga dari kecil dan tatang bagai minyak yang penuh. Akan jadi isteri orang esok. Dulu kamu kecil je, tahu-tahu sekarang dah nak berkahwin. Rasa macam tak puas tengok kamu membesar." Dalam sedu sedan, Syarifah Andra berkata.
"Anak mami yang solehah, yang cantik, yang baik hati, yang sentiasa jadi penyejuk mata mami dan daddy..." Air mata Syarifah Andra mengalir lagi. Beratnya perasaan seorang ibu untuk melepaskan satu-satunya anak perempuan ke dalam jagaan lelaki lain selain ayahnya sendiri.
"Lepas ni kamu dah pegang tanggungjawab sebagai seorang isteri dan juga ibu. Taat kepada perintah suami. Nak keluar minta izin dia. Jaga makan dan pakaian dia. Jangan melawan selagi apa yang dia cakap tidak bercanggah dengan hukum agama. Ya, sayang..." Tanpa dapat ditahan, air mata Elvina turut gugur. Syarifah Andra mengusap titisan air jernih yang jatuh ke pipi anaknya. Dia mengaku yang Elvina masih banyak kekurangan dan tidak sempurna. Tapi dia sangat mengharapkan yang Eusoff boleh menjaga anaknya itu dengan baik.
"Mami ni. Esok Hani nak kahwin. Nanti orang fikir apa pula kalau tengok mata kita berdua bengkak." Tisu dicapai oleh Elvina lalu dia menghembuskan hingus ke situ. Ingatkan selepas mengeringkan rambut, dia nak buat rutin penjagaan muka. Kemudian, dia mahu tidur awal. Tiba-tiba, Syarifah Andra ajak buat drama air pula.
"Tak tahu kenapa mami jadi terlebih sensitif pula malam ni. Rasa syahdu sangat. Rasa macam kamu nak tinggalkan mami selama-lamanya."
"Apa pula cakap macam tu, mami. Nanti lepas kahwin, Hani ada je dekat rumah Eusoff. Dekat je. Bila-bila masa Hani boleh balik ke sini. Walaupun dah jadi isteri Eusoff nanti, Hani tetap anak manja mami dan daddy."
"Janji dengan mami kena selalu balik sini, ya?" Syarifah Andra mengangkat jari kelingkingnya.
"Ya, janji." Elvina menyambut huluran tersebut.
"Dah, tak mau nangis-nangis. Hani tak nak Hani seorang je nampak cantik esok. Mami pun kena meletop kebaboom juga." Kali ini, giliran Elvina pula mengusap air mata maminya itu.
Ada kalanya dia dan mami akan bertengkar tentang perkara-perkara kecil. Tapi kadang kala mereka boleh menjadi seperti kawan baik. Pergi beli belah bersama, bergosip bersama dan sebagainya. Elvina sangat sayangkan maminya, dan dia tahu maminya itu turut merasakan perkara yang sama.
Walau sejahat-jahat mana pun seorang anak itu, pasti akan ada sekelumit rasa kasih dan sayang dalam diri seorang ibu terhadap anak yang dikandung dan dilahirkan itu.
Tanggungjawab anak pula adalah untuk taat kepada ibu bapa. Carilah reda ibu bapa, nescaya kita akan turut mendapat reda Allah. Antara perkara yang boleh dilakukan untuk mendapat reda ibu bapa adalah dengan mentaati dan melayani mereka dengan baik, memberikan hadiah, buat mereka gembira dan banyak lagi.
"Mami mesti suka, kan? Akhirnya, mami dapat bermenantukan Syed. Tinggi, kacak, kaya, bergaya. Pakej dapat anak segera lagi." Sengaja Elvina mengusik Syarifah Andra. Teringat bagaimana maminya meletakkan pelbagai jenis syarat untuk bakal suaminya. Dah la suruh cari dalam tempoh sebulan.
Mujurlah ada Tuan Syed Eusoff. Walaupun sudah melebihi tempoh yang ditetapkan, tapi Elvina berjaya memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Syarifah Andra. Mami gembira, Elvina pun turut sama gembira.
"Suka. Tapi sejak kejadian yang menimpa kamu dahulu, mami dah tak kisah. Asalkan lelaki itu baik agamanya dan boleh jaga kamu dengan baik, itu dah memadai."
"Ya lah tu, mami. Tapi mujurlah Eusoff tu bakal suami Hani. Dapatlah Hani kekalkan nasab keturunan kita." Elvina tergelak kecil di penghujung ayat.
Syarifah Elvina Hani Al-Yahya binti Syed Fawwaz Al-Yahya. Pernasabannya adalah turun temurun daripada keturunan nenek moyangnya yang turut mempunyai gelaran Al-Yahya di hujung nama mereka.
Mengikut sejarah, 'syed' dan 'syarifah' merupakan gelaran bagi keturunan Nabi Muhammad SAW dan mereka juga turut digelar Ahlul Bait. Mengikut pandangan Ahli Sunnah, Ahlul Bait adalah dalam kalangan isteri-isteri serta anak menantu Rasulullah, dan juga kaum kerabatnya yang berasal dari keturunan Bani Muttalib dan Bani Hashim.
Sebenarnya, boleh sahaja mereka yang berketurunan Syed atau Syarifah berkahwin dengan orang biasa yang tiada gelaran itu. Tetapi untuk situasi Elvina, sekiranya dia berkahwin dengan bukan Syed, anak-anaknya tidak boleh diletakkan Syed atau Syarifah di hadapan nama mereka. Jadi untuk mengekalkan gelaran tersebut, Elvina perlu berkahwin dengan seseorang yang berketurunan Syed.
Masyarakat Arab dahulu sangat mementingkan kesamaan taraf atau sekufu dalam perkahwinan. Salah satu sebabnya adalah demi menjaga aib keluarga dan untuk memelihara kemuliaan susur galur keturunan. Seperti yang mami Elvina fikir dahulu, begitulah gambarannya. Syarifah hanya boleh berkahwin dengan Syed sahaja.
Sedangkan realitinya, walaupun tidak sama taraf, perkahwinan itu tetap sah sekiranya menepati syarat sah dan rukun perkahwinan.
Dan kebahagiaan sesebuah perkahwinan itu bukan bergantung pada keturunannya, tapi pada bagaimana suami dan isteri itu bekerjasama untuk mengekalkan kebahagiaan dan keharmonian rumah tangga.
Akhirnya, malam itu diakhiri dengan gelak-tawa anak-beranak itu. Elvina dan Syarifah Andra tidur bersama-sama buat kali terakhir sebelum Elvina bergelar isteri pada keesokan harinya.
YOU ARE READING
HER EUSOFF (TERBIT: EBOOK)
RomanceBLURB Her Eusoff Akibat tekanan daripada Syarifah Andra, Elvina terdesak untuk mencari calon suami. Bukan sembarangan lelaki boleh dipilih. Syarifah Andra meletakkan syarat supaya lelaki itu mesti berketurunan Syed dan mempunyai ketinggian 175 cm ke...