KERETA Audi berwarna hitam matte milik masuk ke dalam perkarangan rumah. Elvina menanti di muka pintu. Dia kelihatan sangat anggun dalam dress berwarna merah yang direka khas mengikut potongan badannya untuk majlis malam itu. Fakhrul keluar dari perut keretanya. Hampir jatuh rahang Elvina melihat lelaki itu. Sangat kacak dengan pakaian sut hitam. Rambutnya disisir rapi.
Fakhrul membetul-betulkan tali lehernya sebelum dia berjalan mendekati Elvina yang menunggunya di muka pintu. Badannya tegap dan langkahnya sangat berkarisma. Senyuman manis diberikan lantas dicapai tangan Elvina sebelum dia memberikan kucupan hangat pada kekura tangan wanita cantik di hadapannya itu.
"Are you ready, sayang?" Keningnya diangkat lalu sebuah senyuman nakal diberikan. Pertemuannya dengan wanita itu untuk kali pertama sewaktu di restoran tempoh hari membuatkan dia jatuh cinta dalam sekelip mata. Lantas dia mengambil keputusan untuk berjumpa dengan ibu bapa Elvina dan menyatakan hasrat untuk memperisterikan wanita itu.
"Yes, I am. Jom saya bawa awak jumpa mummy dan daddy saya." Elvina mengenyit nakal matanya. Lalu dia membawa Fakhrul masuk ke dalam rumahnya dan mereka mendekati ruang makan. Mummy dan daddy Elvina sudah pun menanti calon suami yang dibawa oleh Elvina di meja makan. Elvina sudah pun memberitahu mummynya tentang pertemuannya dengan seorang lelaki yang memenuhi ciri-ciri yang mummynya mahukan. Dan wanita itu menyuruhnya untuk mengaturkan pertemuan mereka.
"Hi mummy. Hi daddy. I am Syed Fakhrulrazzie. You can call me Fakhrul." Begitulah Fakhrul menyapa kedua ibu bapa Elvina. Riak terkejut di wajah mereka Elvina perhatikan kerana dia juga terkejut kerana lelaki itu sangat berani walaupun itu merupakan pertemuan pertama mereka. Belum apa-apa lagi, sudah menggelar ibu bapanya dengan panggilan mesra.
"Have a sit." Daddy Elvina mempelawa mereka berdua duduk. Hidangan makanan yang disediakan oleh pembantu rumah mereka pada malam itu sangat menyelerakan namun sikit pun tidak dapat membuatkan hati Elvina berasa senang ataupun teruja. Melihat pandangan dan cara layanan mummynya, nampaknya misi dia kali ini akan menemui kegagalan.
Majlis makan malam pada malam itu bertukar menjadi sesi temu bual. Berbagai-bagai soalan diutarakan oleh mummy Elvina, sehinggakan Elvina sendiri berasa rimas.
"Mummy, boleh tak kita habiskan makan dulu? Selepas itu kalau mummy nak ajak Fakhrul berbual, silakan." Elvina terpaksa memotong percakapan mummynya kerana dia perasan akan riak tidak selesa yang terlakar di wajah Fakhrul yang berada di sebelahnya. Kesian lelaki itu.
"I am done eating. Enjoy your meal." Serentak itu, mummy Elvina bangkit lalu membawa dirinya ke tingkat atas. Hampir sahaja Elvina bersuara di hadapan mereka semua kerana sikap kurang sopan mummynya itu. Daddy Elvina juga menggeleng-geleng kepala. Kenal benar perangai isterinya.
Tak lama selepas itu, Fakhrul meminta izin untuk pulang. Elvina menghantarnya sampai ke kereta. Fakhrul memboloskan diri masuk ke dalam pintu kereta lalu menurunkan tingkat di tempat pemandu.
"Sayang, you tahu tak I tak pernah kena reject sebelum ini. My heart hurts," ujar Fakhrul sambil memegang dadanya. Inilah pertama kali dia ditolak mentah-mentah seperti ini.
"I am really sorry on behalf of my mom. Saya harap awak tak ambil hati dengan apa yang mummy saya cakap atau lakukan." Elvina dilanda perasaan serba salah. Jika dia berada di tempat lelaki itu, dia pun akan berasa malu dan mungkin juga marah.
"Jangan risau. Saya tak ambil hati pun. Nampak gayanya saya tak dapatlah beristerikan perempuan cantik macam awak, kan?" katanya lagi. Dia masih lagi boleh tersenyum setelah apa yang terjadi.
"Nak buat macam mana, mummy saya tu keras sikit hatinya. Dia nak saya berkahwin cepat, tapi dia memilih. Kadang-kadang saya pun keliru, saya atau dia yang akan berkahwin nanti." Tanpa sedar, Elvina meluahkan rasa tidak puas hatinya. Sudahlah bukan senang hendak mencari calon yang menepati ciri-ciri yang mummynya inginkan. Apabila sudah berjumpa, mummynya seperti tidak berkenan pula.
Fakhrul tertawa kecil mendengar kata-kata Elvina, "Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya. Jadi itulah yang mummy awak tengah buat sekarang."
Setiap kata yang keluar dari mulut Fakhrul sangat positif. Elvina kagum dengan ketenangan lelaki itu.
"Saya harap begitulah. Apa-apa pun, saya nak minta maaf sekali lagi atas apa yang berlaku hari ini. Saya doakan awak dapat cari calon isteri yang berpuluh ganda lebih cantik daripada saya," ujar Elvina cuba melawak.
"Awaklah perempuan paling cantik yang saya pernah jumpa sepanjang hidup saya. Jadi tolong doakan saya dapat perempuan secantik awaklah ya." Sempat lagi Fakhrul mengayat wanita cantik persis bidadari di hadapannya itu. Dia benar-benar memaknakan kata-katanya. Rupa paras dan bentuk badan wanita itu sangat sempurna, menjadi idaman setiap kaum adam untuk memilikinya.
Lantas tangan Elvina dicapai dan satu kucupan hangat Fakhrul hadiahkan di kekura tangan wanita itu. Elvina berasa senang diperlakukan begitu. Baginya Fakhrul merupakan seorang lelaki yang sangat romantik, budiman dan baik hati. Wajahnya juga sangat kacak dan menarik hati sesiapa sahaja yang memandang. Malang sekali, mummynya tidak mahu lelaki itu menjadi menantunya.
"Goodluck in finding your future husband!" Usai melepaskan genggaman tangan mereka, Fakhrul menitipkan pesan.
"Awak pun. Jangan patah hati lama-lama sangat." Sempat Elvina melawak untuk menceriakan keadaan.
"Jangan risaulah. Saya okey je. Saya gerak dulu." Fakhrul tersenyum sehingga menampakkan barisan giginya yang putih.
"Drive elok-elok tau. Dah malam ni." Elvina berpesan kepada lelaki itu.
"Okey. Selamat malam, sayang. Tidur nyenyak malam ini dan mimpikan saya." Matanya dikenyit kepada Elvina. Dia masih belum berputus asa untuk memikat hati Elvina.
Elvina sekadar ketawa sahaja. Lelaki itu memang nakal. Walaupun pertemuan mereka singkat, dia berasa selesa dengan Fakhrul. Tapi apakan daya, mungkin malam itu merupakan pertemuan terakhir mereka.
"Bye, sayang."
"Bye!" Elvina melambai-lambaikan tangannya dan matanya mengekori kereta itu keluar dari perkarangan rumahnya sehinggalah hilang dari pandangannya.
Nak Kak Fi update lagi tak? Kalau nak, cepat komen!
YOU ARE READING
HER EUSOFF (TERBIT: EBOOK)
RomansaBLURB Her Eusoff Akibat tekanan daripada Syarifah Andra, Elvina terdesak untuk mencari calon suami. Bukan sembarangan lelaki boleh dipilih. Syarifah Andra meletakkan syarat supaya lelaki itu mesti berketurunan Syed dan mempunyai ketinggian 175 cm ke...