Bab 10

14 1 0
                                    

MATA dibuka perlahan-lahan. Dia berusaha untuk bangun namun tidak berjaya. Tubuh dihempaskan kembali ke tilam. Betapa sakitnya seluruh badan ketika itu. Begitu juga dengan kepala yang berdenyut-denyut, tak mampu Zahra mengingat apa yang berlaku ke atas dirinya. Dia berasa sakit dari kepala hingga ke kaki.

Hanya mata yang mampu digerakkan ketika itu, lalu meliar ke kiri dan kanan, atas dan bawah. Ketika itu juga telinganya menangkap bunyi pintu dikuak. Terus kepalanya ditoleh ke arah datangnya bunyi itu.

"Si... siapa?" Zahra berusaha mengeluarkan suaranya namun ia tak kedengaran pun di telinga sendiri, apatah lagi di telinga pelawatnya. Seorang wanita beruniform biru menghampirinya dengan senyuman.

"Alhamdulillah... Cik Zahra dah sedar. Kejap lagi saya panggilkan doktor, ya?" Suara itu menyapanya mesra.

Zahra tiada daya hendak menjawab. Hanya mata yang mampu digerakkan.

Seperti yang dijanjikan, seorang doktor muncul tidak lama selepas itu. Beberapa pemeriksaan dijalankan ke atas dirinya. Bebola matanya meliar lagi, menyaksikan segala tingkah laku doktor ke atasnya. Dia menyabarkan hati yang panasaran, ingin tahu sudah berapa lama dia di situ.

"Doktor..." Namun suaranya hanya bergema di dalam hati.

"Doktor..." Zahra mencuba lagi.

Dia tidak mahu cepat berputus asa walaupun terlintas pelbagai telahan di dalam mindanya pada ketika itu. Akhirnya, perlahan-lahan dia mengangkat tangannya lalu dibawa ke arah leher. Dia mengharapkan doktor itu mengerti apa yang ingin disampaikan melalui gerakan isyarat itu.

"Ya, Zahra," sapa doktor itu.

Zahra kembali memegang lehernya. Kemudian, dia memberi isyarat tiada.

Barangkali doktor itu mengerti apa yang ingin disampaikannya, lalu mengarahkan Zahra membuka mulut untuk diperiksa.

"Boleh Cik Zahra dengar apa yang saya cakap?" soal doktor. Tanda namanya tertulis nama Zaidah.

"Boleh..." Perkataan itu diusahakannya, namun ia tidak kedengaran baik di telinganya, mahupun kepada Doktor Zaidah sendiri.

Gigih Zahra mencuba. Akhirnya, yang keluar hanyalah air mata hiba. Dia terlalu sedih kerana kehidupan sederhananya selama ini seperti telah direntap. Saat itu dia terfikir, apa khabar emak di kampung? Dengan keaadan dirinya seperti itu, siapa yang memberi duit belanja untuk persekolahan adik-adiknya?

"Tolong saya, doktor!" Zahra berusaha lagi, malah kali ini lebih agresif. Dia cuba bangun dari baringan walaupun teramat payah.

Doktor Zaidah yang perasan akan perlakuan agresifnya itu cuba menenangkan. Dia tahu pesakitnya sedang berdepan dengan trauma kerana keadaan diri yang berubah selepas kemalangan yang menimpa dirinya.

"Sabar, Zahra! Sabar! Kami akan bantu sedaya kami." Doktor Zaidah menitip kata paling lembut, memujuk Zahra agar bersabar.

"Macam mana saya nak sabar, doktor? Segala-galanya dah musnah! Macam mana saya nak kerja untuk sara keluarga saya?"

Suara itu masih tersekat di dalam. Tak mampu dilepaskan oleh Zahra. Yang terlepas hanya titisan air mata yang semakin lama, semakin laju.

Hati ini tidak kuat untuk menerima apa yang telah ditakdirkan berlaku ke atas hidupnya. Ya ALLAH, apakah ini jawapan untuk doa yang aku panjatkan kepada-MU? Hati aku tidak kuat, Ya ALLAH! Bantulah aku! Bantulah aku! Aku ingin kehidupan seperti dulu. Aku ingin tangan dan kaki yang boleh bekerja. Aku ingin suara yang boleh bercakap. Aku tak ingin kaku dan bisu seperti ini.

Air mata terus menitis laju, seperti sangat mengerti apa yang dirasai dirinya.

"Sabar, Zahra. Sesungguhnya ALLAH memilih dirimu kerana ujian ini layak dipikul oleh bahu kerdilmu. Kami akan berusaha membantu. Saya sendiri akan panggil pakar ENT untuk beri penjelasan dan membuat pengesahan, betul atau tidak Zahra kehilangan suara." Doktor Zaidah terus memujuk.

Hatinya turut lirih melihat perlakuan itu. Masakan tidak? Dia sudah bertemu dengan ibu Zahra seminggu yang lalu. Malah, dua pembedahan telah dijalankan secara berasingan ke atas gadis itu. Salah satunya pembedahan plastik untuk membaiki semula struktur muka yang rosak akibat kemalangan itu, manakala satu lagi pembedahan melibatkan pembaikan tulang bahu yang patah serta bahagian dalaman leher yang retak.

Sebagai seorang pengamal perubatan beragama Islam, dia sangat bersyukur dengan pemulihan yang ditunjukkan oleh Zahra, cuma berlaku komplikasi lain pula selepas dia terjaga. Spinal cord yang dijangkakan tidak terjejas akibat keretakan bahagian leher rupanya terjejas juga.

Unforgettable LoveWhere stories live. Discover now