Bab 12

13 1 0
                                    

"KAU pasti dengan apa yang kau nak buat? Kau nak sara hidup orang yang tak ada kaitan dengan kehidupan kau?" soal Zain sebaik dikhabarkan yang Hud sedia membantu meringankan beban yang ditanggung Zahra dan keluarganya.

Hud mendiamkan diri. Itu adalah keputusan muktamad yang tidak dipengaruhi sesiapa. Simpati dan kemanusiaan. Ya, dia fikir sifat itu sudah hilang daripada dirinya, rupa-rupanya ia tersembunyi di lubuk yang paling dalam.

"Hud?"

"Aku pasti dengan apa yang aku nak buat," ujar Hud lantas keluar membawa diri.

Dia malas hendak mendengar atau berunding lagi tentang hal Zahra. Walaupun misi hidupnya masih lagi memburu orang yang telah menghancurkan keluarganya, namun dia tidak boleh membutakan mata dan memekakkan telinga dengan apa yang telah berlaku.

Perlahan-lahan dia mengerti beban yang ditanggung oleh Zahra. Sebab itu Zahra teramat marah apabila satu-satunya kudrat yang dia ada direntap begitu sahaja. Hud faham kerana dia juga berada di dalam situasi yang sama, menjadi sandaran keluarga untuk meneruskan sisa hidup.

Bezanya, dia memiliki segala keupayaan yang diingini oleh Zahra untuk menyara keluarga. Hud menyambung menung di dalam kereta. Terbayang di mata adegan mengejar Nissan Skyline berwarna silver sebelum kereta yang dipandunya laju melanggar seorang wanita.

Sebutir Doxepin ditarik keluar dari botolnya dengan harapan ia dapat meredakan perasaan yang asyik mengenang peristiwa itu. Lebih teruk, segala soalan yang ditanya Zahra menghantui dirinya. Hud tidak dapat melelapkan mata malam tadi. Sebab itu, dia terpaksa menelan sebutir Doxepin untuk meredakan perasaan sendiri.

Kelopak mata mula memberat. Dalam keadaan separuh sedar, wajah seorang adik perempuan datang menyapa.

"Abang Hud..." panggil Zana.

"Ya, dik!"


"Adik!" panggil Hud, menjerit.

Dia rasa Zana sangat dekat dengannya, namun itu cuma mainan tidur. Hud meraup muka berkali-kali. Jam di dashboard menunjukkan angka 2.30 petang. Ada hutang yang belum diselesaikan dan perlu dilunaskan dengan segera.

Kereta terus dipecut meninggalkan pekarangan Empayar Bumi biarpun ada beberapa panggilan penting yang tak disedari sebelum ini. Bagi Hud, tiada yang lebih penting melainkan apa yang berada di dalam fikirannya ketika itu. Menyelesaikan isu hak dan kemanusiaan.

Hampir lima jam memandu, dia tiba di Kampung Gong Pak Jing, Kuala Terengganu. Matahari telah meninggalkan tempatnya beransur-ansur, memberi keindahan jingga kepada langit nun di atas sana.

Beberapa kali Hud berhenti di tepi jalan untuk bertanya rumah yang hendak dituju. Akhirnya pencarian Hud berakhir di sebuah rumah di hujung kampung. Ia sunyi dan jauh daripada pandangan mata orang.

Azan maghrib berkumandang ketika dia keluar dari perut kereta. Hud tidak memberi salam, sebaliknya menunggu sehingga azan selesai barulah dia mendekati rumah yang tampak daif itu.

"Assalamualaikum," ucap Hud agak perlahan.

Salamnya hanya disambut sang nyamuk yang asyik singgah untuk menghisap darah. Pap! Dia menampar dahi yang gatal agak kuat.

"Aduh!" rungut Hud.

Dia memberi salam kali kedua. Kali ini lebih kuat. Barulah kedengaran salamnya disambut sayup-sayup dari dalam bersama derap kaki si tuan rumah, barangkali.

"Sape?" tanya satu suara kecil.

Orangnya masih belum kelihatan sehingga daun pintu terbuka. Adik Zahra. Teka Hud dalam diam.

"Cari sape?" tanya suara itu lagi sebelum terdengar suara si ibu pula bertanya siapa.

"Kiter dok kena sape." Si Adik memberitahu. Muka Hud ditenung lagi.

"Saya Hud... maaf ganggu mak cik maghrib-maghrib ni. Mak cik ingat saya lagi?"

Wanita separuh abad itu mengangguk. Wajahnya tidak senyum, tidak juga marah. Dia tetap mempelawa Hud naik ke rumah. Hud sahaja yang menolak kerana dia mahu terus balik ke KL selepas urusan itu selesai.

"Terima kasih tapi saya sekejap aje, mak cik. Saya datang ada sebabnya."

"Bakpe?"

Hud tidak segera menjawab. Lama juga dia mencari kata-kata yang sesuai sebagai pembuka bicara.

"Pasal Zahra dan pasal mak cik sekeluarga."

"Bakpe dengang Zahra?"

"Zahra dah sedar, mak cik..."

"Alhamdulillah," ucap Wan Ida. Matanya terpejam rapat, cukup bersyukur dengan berita itu.

"Tapi..."

Mata yang dipejam celik kembali. Perkataan terakhir itu seakan ada berita buruknya. Benar, dia tidak mengikuti perkembangan kesihatan anak itu di Kuala Lumpur. Dia pergi ke Kuala Lumpur pun dengan susah payah, tiada tempat tinggal malah terpaksa bermalam di wad yang dihuni oleh anaknya.

Oleh kerana Zahra masih belum membuka mata, dia terpaksa bekerja semula untuk menguruskan keperluan dua orang anak yang masih di sekolah rendah. Akibatnya, perkembangan anak yang sulung itu tidak diketahuinya walaupun setiap hari dia teringatkan Zahra. Hanya pada ALLAH tempat dia memohon agar anak itu sentiasa dalam perlindungan-NYA.

"Zahra tak dapat bercakap, mak cik. Spinal cord terjejas sebab kemalangan tu." Hud tetap menyampaikan berita itu walaupun pahitnya seperti menelan hempedu.

Wajah tua itu berubah.

"ALLAHUAKBAR! Siangnye ke anok aku. Pah se-se! Bakpelah Hud gi langgor Zahra?" sungut Wan Ida, pedih mengenangkan nasib yang menimpa anak sulungnya itu.

Pada Wan Ida, Zahra tak patut ditimpa musibah seperti itu kerana dia anak yang sangat baik dan taat kepada ibunya. Apa sahaja yang dia ada, dia akan mendahulukan keluarga daripada keperluan dirinya. Sebab itu Wan Ida sangat bersedih apabila Zahra diuji seperti ini.

"Maaf, mak cik. Saya datang nak meringankan beban Zahra dan mak cik sekeluarga. Saya dah bincang dengan doktor. Kata doktor, Zahra masih boleh dirawat, cuma ambil masa yang panjang untuk pulih," jelas Hud pula.

Air mata yang merembes di pipi, diseka dengan laju.

"Kaki Zahra? Suara Zahra, buleh bekki smule ke?"

Unforgettable LoveWhere stories live. Discover now