Bab 13

14 0 0
                                    


HUD teringat kad pengenalan yang masih berada di dalam simpanannya. Lantas dia memberhentikan kenderaan di bahu lebuh raya. Ingatan itu datang secara tiba-tiba ketika matanya terkedip menahan silau dek pantulan lampu tinggi dari kenderaan di seberang jalan.

Dia rasa alamat keluarga Zahra dan alamat rumah lelaki yang menyerangnya sama. Benarkah? Adakah mereka adik-beradik? Hati tertanya-tanya dalam masa yang sama tangannya deras menyeluk poket belakang seluar. Terkial-kial dia mengeluarkan dompet.

"Adik-beradik?" soal Hud sendirian lantas membandingkan alamat yang berada di tangan kanannya dan kad pengenalan si penyerang di tangan kirinya.

Hendak berpatah semula ke Kampung Gong Pak Jing, tentulah mustahil memandangkan dia telah pun berada di daerah Bentong yang berbaki kurang satu jam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Kalau dia ingat lebih awal, tentu dia dah selidik hal itu dengan Mak Cik Ida. Namun, dia amat pasti dugaannya kali ini tidak jauh tersasar. Tentu ada ikatan kekeluargaan di antara Zahra dan Zaki memandangkan mereka berkongsi alamat yang sama.

Hud melepaskan nafas panjang. Hidup ini agak kompleks. Jika benar apa yang diduga, Hud sebenarnya telah ditakdirkan melanggar adik kepada seorang lelaki yang cuba menyerang dan membunuhnya. Mereka datang daripada rahim yang sama, tetapi tinggal di dua dunia berbeza.

Jika dikenangkan apa yang telah dilakukan oleh si abang, tak perlu lagi dia berbuat baik kepada si adik. Adil kepada kedua-dua pihak yang menjadi mangsa, namun Hud tidak sampai hati hendak membiarkan masa depan Zahra gelap gara-gara keadaan fizikalnya yang tidak seperti dahulu.

Zaki? Dia berjaya melarikan diri ketika dibawa ke sebuah kilang lama yang katanya tempat 'perjanjian' dijalankan. Walaupun masih menyesal kerana terpedaya dengan kata-kata Zaki, Hud masih yakin ada jalan lain yang akan membawa dirinya kepada pembunuh keluarganya.

Janji yang dibuat kepada diri sendiri tidak akan sama sekali dimungkiri biarpun jalan berduri terpaksa ditempuhi. Kad pengenalan Zaki disimpan kembali ke dalam dompet. Hud meneruskan perjalanan apabila dirasakan terlalu lama berhenti di bahu jalan.

Sampai sahaja di rumah, dia terus merebahkan diri ke atas katil. Tanpa menyalin pakaian, tanpa membersihkan badan, dia lena hingga ke pagi dan hanya tersedar ketika azan subuh berkumandang. Kelopak mata yang masih berat dikatup kembali, namun dia tidak dapat tidur hingga bunyi pintu diketuk dari luar.

Hajah Ramlah tidak pernah lewat datang bekerja walaupun usianya hampir menjangkau 60 tahun. Walaupun ibu bapanya telah lama meninggal dunia, dia masih setia berkhidmat walaupun berkali-kali Hud menawarkan pencen berbayar kepadanya.

"Hud!"

"Ya, Mak Hajah!"

"Dah bangun ke?"

"Sudah... saya nak berehat saja hari ni," jawab Hud dari biliknya.

"Mak Hajah buat sarapan dulu. Nanti Hud turunlah makan."

"Okey," jawabnya mudah.

Sehingga jam 9.00 pagi, dia masih memerap di dalam bilik. Belum berniat hendak turun dari katil sekalipun. Hajah Ramlah sudah dua kali datang mengetuk pintu biliknya.

"Okey, Mak Hajah! Saya turun 15 minit lagi," jawab Hud.

Kali ini dia terpaksa turun dari katil memandangkan sudah tiga kali Hajah Ramlah mengetuk pintu biliknya. Tak sampai hati pula dia hendak membuang masa di atas katil lagi. Bergegas dia masuk ke bilik air untuk mandi setelah seharian tidak membersihkan diri.

"Hud tak teringin nak cari pasangan hidup ke?" soal Hajah Ramlah ketika dia sedang menghabiskan bihun goreng.

Wajah tua itu dipandang dengan rasa hairan. Tidak pernah pula Hajah Ramlah bertanyakan hal peribadinya sebelum ini.

"Kenapa Mak Hajah tanya?"

"Teringin nak tanya. Mak Hajah dah lama kerja dengan keluarga Hud. Dari Hud kecil lagi, waktu semua masih ada. Kalau Mak Hajah sendiri terasa sunyinya rumah ni, takkan Hud tak rasa sunyi?"

Hud diam. Soalan itu mematikan terus seleranya. Kalaulah Hajah Ramlah dapat membaca isi hatinya, tentu dia tak tergamak hendak bertanya soalan itu.

"Saya bukan hidup untuk cinta semata-mata, Mak Hajah." Teringin sekali Hud meluahkan kata-kata itu namun dek rasa hormat, kata-kata itu dibiarkan bergema di dalam hati sahaja.

"Hud janganlah ambil hati dengan apa yang Mak Hajah tanyakan tadi. Kalaulah Hud dah bertemu pasangan hidup, Mak Hajahlah orang pertama yang berasa bahagia. Mak Hajah rasa... kalau mama dan papa Hud masih hidup, tentu dia orang pun hendakkan benda yang sama."

Hud masih diam. Kerusi yang menjadi alas duduknya mula terasa panas. Sesungguhnya dia tidak gemar berbincang hal peribadi dengan sesiapa saja melainkan dia sendiri yang mahu berbuat demikian. Cepat-cepat dia menghabiskan hirupan kopi terakhir sebelum meminta izin untuk keluar. Tak kisahlah ke mana, asal tidak dibebel seperti itu.

"Mak Hajah kalau nak cuti, beritahu saja pada saya. Kesian Mak Hajah, buat kerja kat rumah ni tanpa henti. Ambillah cuti, Mak Hajah. Rehat. Jangan risau pasal gaji atau makan pakai saya, semua beres," pesan Hud mengangkat punggung.

Rasanya, itulah topik yang paling sesuai untuk menggantikan topik tentang pasangan hidup. Hajah Ramlah mengerti ketidakselesaan anak muda itu bercakap tentang pasangan hidup.

"Mak Hajah nak cuti juga nanti. Tengoklah dulu Hud."

"Okey." Hud mengangguk sebelum meminta diri untuk keluar.

Asalnya dia tidak pasti destinasi yang hendak dituju, namun sedar tak sedar kereta telah pun diberhentikan di parkir hospital. Lama dia berfikir, sama ada perlu atau tidak dirinya muncul di depan Zahra lagi selepas pertemuan terakhir mereka minggu lalu.

Akal tidak sempat membuat keputusan kerana tangan dan kaki terlebih dahulu bergerak meninggalkan kereta di tapak parkir.

Unforgettable LoveWhere stories live. Discover now