Bab 17

17 0 0
                                    

"KAU?" soal Hud. Tak sangka soalannya tentang Zaki terjawab sesingkat ini.

Zaki yang terkejut melihat dirinya di situ cuba melarikan diri.

Hud melompat ke bawah dengan pantas cuba menyaingi Zaki yang cuba menghilangkan diri sekali lagi. Jeritan Puan Wan Ida yang terkejut melihat gelagat kedua-duanya tak dihiraukan kerana hal Zaki lebih penting pada masa ini.

Jalan tidak berturap itu menyukarkan Hud sedangkan Zaki nampak lebih arif dan lincah mengelak selut dan akar-akar pokok yang berselirat di laluan keluar dari rumah Puan Wan Ida. Percikan selut yang mengenai kaki seluar tidak sedikitpun melunturkan semangatnya. Apa yang dia tahu, Zaki mesti berada di dalam genggamannya dan memberitahu apa yang dimahukannya.

"Kau nak lari ke mana, hah?" jerit Hud berlari sekuat hati demi merapatkan jaraknya dengan Zaki.

"Kau takkan dapat jejak aku, bayang aku pun jangan harap!" balas Zaki sinis.

Api marak yang sedang membakar perabot lama di hadapannya menjadi sasaran utama Zaki. Dia membuka langkah lebih laju lantas mengambil sebatang kayu yang dimamah api.

Hud tidak sempat mengelak apabila kayu tersebut dibaling ke arahnya. Ia mengenai bahagian bahu, nyaris melantun ke mukanya. Ketika api itu mula menyambar pakaiannya, dia nekad menjatuhkan badan lalu berguling di atas tanah.

"Argh!" Hud mengerang kesakitan.

"Ha... ha... ha... lembap! Ada hati nak lawan aku," ejek Zaki.

Zaki berdiri tidak jauh dari kaki Hud. Tanpa simpati, kaki itu cuba dipijaknya tetapi tersasar.

"Apa kau ingat aku nak mati dah ke?" laung Hud terus membentes tulang kaki Zaki dengan sekuat tenaga yang ada.

Dek serangan tak dijangka itu, Zaki hilang imbangan. Hud pula seperti singa, membaham mangsa tanpa belas. Bertubi-tubi tumbukan padu hinggap di perut Zaki melepaskan perasaan marah yang diperam lama.

"Kau cakap dengan aku, siapa bos kau?"

"Zain!" Spontan dan yakin.

Nama itu disebut tanpa ragu-ragu. Hilang sabar Hud dibuatnya. Zain yang baik dengan dirinya juga dipetik sesuka hati oleh Zaki.

"Takkan Zain bodoh sangat tak beritahu kau yang aku ada kat sini?" marah Hud.

Zaki ketawa lepas. Cengkaman tangan Hud yang mulai longgar di lehernya ditolak kasar. Rasa senak di perut masih menebal.

"Apa kau cakap? Banyak mana Zain kenal kau? Kenal aku?"

Seketika kemudian terlintas hal yang hanya dia tahu, tetapi tidak dikhabarkan kepada Zain. Hubungan darah di antara Zaki dan Zahra. Hud bangun lalu berjalan longlai, berhajat hendak kembali ke rumah Puan Wan Ida.

Pada saat ini, dadanya tepu dengan rasa kecewa. Benarkah Zain yang dipercayai selama ini adalah gunting di dalam lipatan? Zainkah dalang yang dicari selama ini?

"Kenapa kau percaya sangat Zain tu?"

Soalan itu hanya dibiarkan berlalu ditiup bayu petang seperti semangatnya yang hilang ditiup angin.

"Bakpe Hud? Astaghfirullah! Bakpe bahu tu? Kelahi dengan Zaki ke?"

"Gugha, Ma!" Zaki menjawab di belakang.

Hud hanya membatukan diri. Mindanya langsung tidak berada di situ. Apa yang dia tahu, dia hanya ingin keluar dari kampung itu.

"Gugha bewok!" sembur Puan Wan Ida sakit hati.

Dari kecil sampai besar, anak yang seorang itu tak habis-habis menyusahkan dirinya. Dia keluar dari rumah sesuka hati. Batang tubuhnya hanya kelihatan apabila duit di tangan sudah habis. Kalau lama tak kelihatan, itu bermakna dia sihat dan banyak duit.

"Nok pitih, Ma!"

Seperti yang telah dijangka! Zaki tanpa rasa malu meminta duit daripadanya. Puan Wan Ida sakit hati.

"Cakak ke Ma, gape hok deme duk baloh tu? Zaid cakak mung loto kayu hok ado api ke Hud?"

Zaki memandang tajam Zaid yang berdiri tidak jauh daripada ibu mereka. Mujur kecik lagi, kalu dok aku enjjal mung sapa ke langit denung. Hati sempat membebel bengang.

"Ma dok soh capo la ha Zaki. Mari pitih, derah skekkk!"

"Ma tak dok pitih. Guane nak bagi pitih ke mung?"

Pertelagahan di antara keduanya hanya membuatkan bahu yang melecur bertambah sakit. Tanpa meminta izin, dia terus masuk ke dalam kereta. Enjin kereta dihidupkan lalu dipandu keluar dari pekarangan rumah Puan Wan Ida.

Sebaik keluar dari Kampung Gong Pak Jing, dia memberhentikan kereta di bahu jalan. Rasa panas, pedih, nyilu seperti sedang menyiat-nyiat dagingnya. Dia tidak mampu membawa kereta dalam keadaan seperti itu. Sakit yang keterlaluan.

Hud tak sedar entah bila dia tertidur. Dia hanya terjaga apabila terasa cecair meleleh sehingga ke pergelangan tangan. Darah merah pekat bercampur dengan cecair kekuningan.

"Bad!" komennya melihat tangan sendiri.

Tuk! Tuk! Tuk!

Hud berpaling. Seorang lelaki berkopiah berdiri di sisi keretanya.

"Pok cik napok signal kete ni... Astaghfirullahalazim! Paghok bena luka mung ning! Gi klinik dok agi?"

Hud menggeleng.

"Tak boleh bawak! Sakit!"

"Dakpe, gining... Aki balik mmeta wak maghi cucu. Mitok tulong yer ata mung gi klinik, deh?" Kalut Aki Sening buat keputusan setelah melihat separuh tangan Hud melecur.

Hati yang sangsi sejak melihat kereta ini beberapa jam yang lalu membawa isyarat rupanya. Tak sampai lima minit memecut motor tuanya, dia sudah tiba di rumah. Aki Sening terus menongkat motor betul-betul di hadapan pintu masuk dapur.

"Bakpe tu, Aki?" Najwa yang sedang membasuh pinggan terkejut melihat Aki Sening tercungap-cungap seperti baru berselisih dengan hantu.

"Maghi tolong Aki mmeta."

Aki Sening menarik tangan Najwa.

"Bakpe ning? Aki jupe atu ke?"

"Dok sabik ke atu," geleng Aki Sening.

Najwa ketawa. Begitulah Aki Sening, gelagatnya sering menceriakan hari-hari Najwa. Tapi sayang, dia tidak dapat menjaga Aki Sening pada usia tuanya. Dia hanya mampu pulang menjenguk Aki Sening di kampung sesekali.

"Dah tu... tercungak-cungak tu. Napok kurang oksigen bena tu."

"Ei, dok soh cakak banyoklah budok. Maghi tolong Aki ni. Ada orang sakik tepi jalan denung. Tangan yer melecur habih, tolong ata yer gi klinik," beritahu Aki Sening, menarik tangan cucunya yang langsung tak bersedia dengan hal itu.

Unforgettable LoveWhere stories live. Discover now