Bab 16

13 0 0
                                    

RUMAH yang didiami tiga beranak itu dikunjunginya buat kali kedua. Kali ini, bukan hal Zahra sahaja yang membawanya ke situ, hal Zaki juga. Hud yakin, mereka lahir daripada rahim yang sama. Darah yang mengalir di tubuh keduanya juga datang daripada keturunan yang sama. Hanya sikap yang membezakan kedua-duanya.

Dia hanya duduk di beranda, sesekali membalas pandangan dua orang budak lelaki sementara menunggu Mak Cik Ida menyiapkan minuman di dapur.

"Mok cik mitok maaflah deh kalau kopi O ni tawor hebbeh. Gula habih dekpong sakning."

Hud angkat muka. Terkebil-kebil mendengar walaupun ini bukan kali pertama dia bercakap dengan Puan Wan Ida. Tak sempat hendak bertanya akan maksudnya, Hud tersedak dek pahitnya kopi yang sedang diminumnya.

"Tawor hebbeh ke paik lepang?" sakat Puan Wan Ida lantas ketawa.

Air muka tetamunya dapat dibaca dengan jelas. Tiada niat di hati hendak menganiaya tetamu yang datang. Dia tidak ingat akan gula yang hampir habis. Kebetulan banyak barang dapur yang sudah habis, terpaksalah dia menghidang apa yang ada kepada tetamu yang datang tiba-tiba.

Jauh di sudut hati, dia tahu tujuan kedatangan itu tidak lain tidak bukan kerana Zahra.

"Guane gamoklah Zahra?"

Hud tidak segera menjawab. Seperti mana susahnya hendak minum air kopi pekat itu, begitu juga susah untuk dia menjawab soalan itu. Susahnya bukan sebab apa, dia tidak memahami apa itu guane gamok?

"Guane gamok?" Hud mengulang kembali soalan itu.

"Ma tanya khabar Kak Zahra," sampuk Zaid, cuba menjelaskan maksud Puan Wan Ida.

Dia tahu lelaki itu dari Kuala Lumpur kerana pernah bertemu dengannya di sana. Malah, lelaki itu juga pernah datang ke rumah mereka sebelum ini. Daripada cerita Puan Wan Ida, inilah lelaki yang melanggar Kak Zahra.

Kalau diikutkan hati, mahu saja dia menyepak lelaki yang telah menyebabkan kakak kesayangannya cedera teruk itu. Tetapi Ma telah berpesan kepada dirinya dan Zaidi agar tidak mencampuri urusan orang dewasa.

"Oh, saya datang pun sebab Zahra juga. Dan ada satu sebab lagi."

"Mende pulok ning?"

"Bagi tahulah kat Ma, apa sebab abang datang." Zaid yang memahami pandangan Hud terus memberi penjelasan.

"Pertama, saya nak bawa Zahra berubat di Maryland."

Puan Wan Ida berkerut kening.

"Amerika." Hud menyambung.

"Negara Teram denung?"

"Negara Teram tu apa?" soal Hud semakin tidak memahami.

"Amerikalah. Negara Donald Trump." Zaidi yang baru berusia sepuluh tahun menyampuk.

Hud menggeleng. Tak terfikir pulak dia 'Teram' tu Donald Trump. Tahu pulak Mak Cik Ida ni nama penuh Donald Trump? Up to date jugak rupanya.

"Ya, mak cik. Kat sanalah... ada satu hospital khusus untuk masalah suara. Saya datang sebab nak beritahu mak cik pasal ni. Saya dah tanya Zahra, dia setuju. Sekarang, saya nak tanya mak cik pulak, mak cik izinkan tak saya bawak Zahra berubat kat sana?" tanya Hud.

"Bakpe dok berubak sining nye?"

"Kat sini kan ada hospital, kenapa tak berubat kat sini aje?" beritahu Zaidi yang berjaya menekup mulut abangnya, Zaid.

Sewaktu Puan Wan Ida sedang bercakap, dia sudah mencuit abangnya memberi isyarat supaya diberi giliran untuk menerangkan apa yang disebut oleh Ma mereka, namun Zaid tidak mahu. Sebab itu, dia terpaksa menekup mulut Zaid dari awal lagi.

"Saya tak yakin dia orang dapat pulihkan Zahra balik. Lagipun di sana memang hospital khusus untuk orang yang ada masalah suara. Ada pakar. Saya yakin, Zahra akan pulih macam dulu."

Puan Wan Ida mengangguk. Ibu mana yang tidak mahu anaknya sembuh? Tambahan pula, anak yang baik budi dan taat seperti Zahra. Doa tidak pernah lekang daripada bibir tiap kali wajah anak itu melintasi mindanya.

Dia tidak punya apa selain itu. Kalau dia banyak harta dan mampu berbuat apa saja, tentu ikhtiar untuk menyembuhkan Zahra dulu yang akan diusahakannya. Namun, jika bayaran hospital ada yang bantu menyelesaikannya, tentulah dia mengizinkan Zahra dibawa berubat.

"Bil hospital lagu manoe kire? Piyer hok nanggung?"

"Saya..."

"Napok nebeng tu, mok cik builah Hud bawok Zahra gi berubak,"

Hud mengalih wajahnya, bertanya akan maksud kata-kata Wan Ida kepada anak-anaknya.

"Abang nampak bersungguh, jadi Ma bagi abang bawak Kak Zahra berubat."

Kali ini Zaid yang menjawab setelah berjaya dalam perlawanan menekup mulut dengan adiknya sebentar tadi. Sedar tak sedar, pandangan tajam Puan Wan Ida sudah beralih ke arah mereka berdua.

"Bakpe ning, Zaid, Zaidi? Main gape? Dok napok ke Ma tengoh cakak dengang tetamu ning?" tanya Puan Wan Ida.

Sejak tadi dia menahan sabar dengan kerenah dua beradik itu. Terpaksa juga dia menegur walaupun di depan tetamu mereka.

"Abang ning..."

"Adik ning, yer tekop muluk abang dulu."

"Abang pung!" Zaidi membela diri.

Panas pula hati Puan Wan Ida dengan gelagat dua beradik itu. Menjawab pula mereka di depan tetamu. Cakap banyak, nanti apa pula kata tetamu. Dengan ekor matanya, dia menyuruh kedua-dua anak lelakinya masuk ke dalam rumah.

"Mak cik tak nak pergi sekali ke Amerika?" Hud cuba mengalih tumpuan Puan Wan Ida semula.

"Jauh sayut. Mok cik nak gi guane? Pitih pun tak dok."

"Kita pergi sekali, mak cik. Saya tanggung kosnya," pelawa Hud memahami keguasaran itu.

"Dakpelah. Mok cik bui izin ke Hud bawok Zahra berubak deh. Mok cik dokdang etek, anok sekoloh. Ning, si Zaid ning ambik UPSR. Nati cikgu yer maroh ponteng skoloh," terang Puan Wan Ida.

"Cuma, mok cik nok pesang ke Hud... tolong jage Zahra deh."

Hud mengangguk. Dia teringin hendak bertanya sesuatu.

"Mak cik percaya kat saya?"

"Hud anok baik. Dua kali Hud mari sining, semua cakak pasa Zahra. Bukang mok cik tok cakne pasa Zahra... dok. Mok cik susoh serba-serbi. Keadaan tok mengizingkang. Hud nok bawok Zahra berubak, bui molek serupe sebelum ni, mok cik syukur sangat." Panjang penjelasan Puan Wan Ida.

Dia harap anak muda itu faham apa yang ingin disampaikannya. Dia ingin berada di sisi Zahra. Tapi hidup sebagai ibu 'tunggal' dengan dua orang anak yang masih bersekolah, dia terpaksa melepaskan Zahra walaupun dia tahu yang Zahra amat memerlukan dirinya saat ini.

"Ma... oh, ma!"

Tanpa salam, nama Puan Wan Ida dipanggil.

Unforgettable LoveWhere stories live. Discover now