Bab 14

14 0 0
                                    



Hati sempat berdesis ketika pintu lif terbuka. Prinsip itulah yang dipegangnya untuk menjawab segala persoalan yang diutarakan oleh diri sendiri tentang mengapa dia begitu mengambil berat akan keadaan Zahra.

Boleh saja jika dia mahu lepas tangan. Tidak perlu menunjukkan rupa di depan Zahra, tidak perlu juga mengaku sebagai pesalah tetapi ihsan dan simpati masih bersisa di dalam diri. Begitu berat bahunya memikul kesakitan dek kehilangan sebuah keluarga. Hud yakin begitu jugalah berat yang ditanggung oleh Zahra setelah tragedi terburuk di dalam hidupnya menimpa diri.

Dia dapat merasakan kesakitan itu, malah lebih daripada itu. Lihat sahaja reaksinya saat dia berdiri menghadap Zahra. Muka tanpa senyuman dipersembahkan kepada Hud. Terselit jelingan tajam.

"Aku dah bincang dengan Doktor Zaidah. Aku nak bawak kau keluar dari sini."

Wajahnya masih di seberang sana, langsung tak dipaling ke arah Hud. Ya, aku si pesalah yang sedang berdepan hukuman dibenci. Terimalah ini dengan hati terbuka.

"Tapi, aku nak bawak kau ke Maryland."

Pandangan Zahra beralih juga ke arahnya.

"Untuk apa?"

Barangkali itu yang ditanya Zahra, walaupun hakikatnya Zahra tidak berkata apa-apa.

"John Hopkins Voice Center, USA. Aku cuba apa yang termampu untuk pulihkan kau macam dulu." Hud terus bersuara.

"Kau setuju?"

Zahra tak menjawab. Tentulah dia mahu pulih dan mahu kembali sihat seperti dulu. Dia mahu pulang ke pangkuan ma dan adik-adik. Biarlah tidak kaya asalkan berada di sisi mereka.

"Kalau kau setuju, aku aturkan dengan Doktor Zaidah dan buat appointment dengan John Hopkins Voice Center." Hud mengutarakan cadangan.

Untuk sampai ke peringkat itu, ia bukan satu keputusan yang dibuat secara tiba-tiba. Sebulan Hud berulang-alik ke hospital dengan jawapan akhir yang mengecewakannya. Harapan Zahra untuk pulih seperti dulu tidak dapat dijanjikan. Sebab itu, dia berikhtiar cara lain pula.

Namun, semuanya bergantung kepada Zahra sama ada dia mahu cuba berubat di luar negara atau tidak. Hud masih menanti. Zahra pula masih belum memberi kata putus. Dia diam di dalam diam. Argh! Stres Hud menunggu jawapannya.

"Zahra, aku tanya kau ni! Kau setuju tak?" Naik marah Hud dibuatnya. Sedar yang suaranya tinggi, sepatah kata yang sudah lama tak diucap kedengaran.

"Sorry."

Zahra akhirnya mengambil sebatang pen dan menulis di atas kertas kosong yang tersedia di sisinya dengan susah payah. Lama Hud menunggu Zahra menulis.

Ma aku macam mana? Siapa bayar bil hospital aku? Aku tak ada duit.

Hud terus membaca apabila kertas itu dipusing ke arahnya.

"Nanti aku ke Kampung Gong Pak Jing untuk beritahu mak kau. Pasal bil hospital tu, kau tak payah fikirlah. Pandailah aku cari," jawab Hud.

Dia nampak Zahra menulis lagi.

Tapi aku tak ada duit nak ganti duit kau nanti.

"Aku tak suruh kau ganti. Anggaplah aku bayar balik segala hutang dan dosa aku pada kau."

Aku setuju.

Jawapan itu melegakan Hud. Tanpa meminta izin, dia keluar dengan niat untuk menyelesaikan semua.

Apa cara sekalipun, Zahra mesti pulih. Barulah hutang aku dengannya langsai. Barulah aku boleh menyelesaikan urusan terpenting dalam hidup aku. Barulah hidup aku tenang. Aku yakin, masa itu akan sampai. Gumam Hud dalam diam.

Langkah terus disusun menuju ke bilik Doktor Zaidah. Wanita separuh abad itu tenang dan keibuan, mengingatkan Hud kepada arwah mama.

"Saya masuk boleh, doktor?"

"Ya, sudah tentu! Jemput duduk, Encik Hud."

Hud mengangguk. Kerusi di hadapan Doktor Zaidah ditarik dengan pantas.

"Saya nak discharge Zahra."

"Kenapa?" soal Doktor Zaidah terkejut.

"Saya nak bawa dia ke Maryland John Hopkins Voice Center. Doktor tahu?"

Doktor Zaidah mengangguk.

"Tapi Encik Hud, kondisi Zahra masih tak okey untuk terbang jauh. Dia banyak luka dalaman. Terlalu banyak. Leher dia pun belum pulih sepenuhnya. Saya risau dia tak mampu harungi perjalanan sejauh tu," balas Doktor Zaidah, kurang bersetuju dengan cadangan anak muda itu.

"Macam mana cara sekalipun, saya nak ikhtiarkan suara dia pulih macam dulu. Dia boleh berjalan dan bekerja macam dulu. Saya tak mahu berhutang satu sen pun dengan dia."

Masih terngiang-ngiang suara seorang lelaki yang menolak Zahra sebagai calon isterinya setelah kemalangan itu berlaku.

Dia masih ingat juga pergelutan dengan lelaki yang sama di kawasan meletak kenderaan hospital. Mujurlah dia masih sihat walafiat selepas kejadian itu berlaku. Kalau tak, entah bagaimana dia nak menunaikan janji yang dibuat dengan Zahra tak lama dulu. Dia nampak Doktor Zaidah menggeleng.

"Encik Hud, yang memberi sihat dan sakit itu bukan kita. Tapi ALLAH Taala."

"Saya tahu, sebab tu saya nak usahakan jugak." Hud membalas dengan yakin. Baginya berserah tanpa usaha bukan jalan yang betul.

"Risiko tinggi, Encik Hud. Fikirkan betul-betul hal ni. Lagipun bukan semua airlines sanggup terima pesakit berisiko dalam penerbangan mereka," nasihat Doktor Zaidah.

Hud tidak menjawab lagi kerana dia sedang mempertimbangkan beberapa perkara lain selain daripada nasihat Doktor Zaidah. Tentu ada cara! Mustahil tidak ada penyelesaian untuk mengatasi masalah itu.

"Kalau saya nak jugak bawak Zahra berubat di John Hopkins tu, macam mana cara nak kurangkan risiko yang ada masa naik airlines?"

Doktor Zaidah tidak segera menyahut. Susah juga hendak melenturkan kemahuan anak muda itu. Katalah apa saja risikonya, walaupun bukan dia yang menanggung beban kecederaan itu tetap dia mahu meneruskannya. Bayang wajah Zahra melintasi di fikirannya.

"Keselesaan dia yang paling utama. Sedangkan kita yang sihat pun terasa sakit bila terpaksa menempuhi perjalanan jauh, inikan pula Zahra yang phisically and mentally hurt."

"So?"

Doktor Zaidah hanya memandang anak muda tanpa perasaan itu. Kalau itu anaknya, tentu sudah dipiat telinga agar mendengar kata.

"Encik Hud kena check dengan airlines dulu tentang polisi mereka membawa pesakit berisiko dalam penerbangan. Pihak kami hanya boleh beri nasihat dari segi medical sahaja."

Unforgettable LoveWhere stories live. Discover now