Bab 23

3.2K 400 118
                                    

Baju songket hitam bersulam benang emas tersarung di tubuhku. Hari ini dia menjadi pengapit aku. Dua bulan. Aku tak tahu tali apa yang Hawk tarik tetapi kami dapat disatukan lebih awal daripada tarikh jangkaan. Kaki kiri aku yang patah juga sudah sembuh cuma simennya boleh dibuka seminggu lagi.

Ulyana menolak aku masuk ke dewan serbaguna di dalam kem untuk majlis akad nikah. Segalanya terhias indah dengan tema rustic. Ulyana yang banyak membantu kami kerana kalau dibiarkan aku dengan Hawk yang menguruskan, silap hari bulan majlis kahwin bertukar jadi open table kedai mamak.

Selawat mengiringi perjalanan kami. Fajar Aliuddin menanti berhampiran pelamin bersama tongkat aku. Dia memakai baju melayu hitam dengan samping songket hitam bersulam benang emas sepadan denganku.

Tongkat itu diserahkan kepadaku. Kawalan tongkat aku sekarang cemerlang. Jarang sekali aku terjatuh seperti waktu awal dulu.

"Jangan salah sebut nama aku." Sempat aku memberi peringatan. Dia ni bukan boleh percaya. Karang dia sebut aku terima nikahnya Siti Nur Raveniah. Ah, sudah.

"Siti Nur Raveniah binti Abdullah." Dia berbisik lalu ketawa kecil.

Aku hentak kakinya dengan tongkat. Tak dapat hentak dengan boot, tongkatpun jadilah.

"Ehem, lama lagi ke nak sidai orang dekat sini?" Ulyana memerli.

Aku terus berjalan dengan tongkat untuk duduk di pelamin ringkas yang terletak di belakang tempat Hawk duduk di hadapan tok kadi. Tuan Ishak dan warga kem yang berkepalangan turut hadir dalam majlis ini. Tidak dilupakan saudara mara Hawk.

Selesai khutbah nikah dibaca, Tok Kadi menghulur tangannya. Tangan itu dijabat kemas oleh Hawk.

"Aku nikahkan engkau dengan Senja Zilvania binti Abdullah dengan mas kahwinnya RM300 tunai." Ijab dilafazkan.

"Aku terima nikah Senja Zilvania binti Abdullah dengan mas kahwinnya RM300 tunai."

"Sah?"

"Sah."

"Alhamdulillah."

Doa dibaca. Aku menadah tangan bersama mereka. Aku sudah sah bergelar isteri kepada Fajar Aliuddin. Sesuatu yang tak pernah berada dalam bayangan aku.

Hawk bangun kemudian meniup dua visel. Eva dan Bruno terbang ke bahu Hawk yang sedang berjalan ke arah aku.

Aku bersiul lalu Eva terus terbang ke bahu aku. Hawk dan Bruno mengambil tempat mereka di sebelah aku. Di kaki Bruno terdapat bekas cincin baldu merah.

Bekas itu Hawk ambil kemudian dibuka. Cincin emas tanda aku sudah bergelar Puan Senja Zilvania isteri kepada Fajar Aliuddin disarung ke jariku. Bekas yang berada pada kaki Eva pula aku buka. Cincin belah rotan perak aku sarungkan di jarinya.

Tangan itu aku salam. Pelengkap separuh agamaku, kunci syurgaku, tak banyak yang aku harapkan. Cukuplah dia sudi di sisi aku sepanjang perjalanan mencari reda Ilahi.

Hawk mencengkam tangan aku kuat. Eh dia ni, aku cengkam tangannya lebih kuat. Atas pelamin pun nak cari gaduh ke? Dia geletek pula tangan aku dengan jarinya.

Pap!

Aku tepuk tangan kanannya dengan tangan kiriku. Cis, baru jadi isteri dua saat dia dah nak buat aku nampak macam isteri derhaka. Hawk ketawa dengan reaksi aku. Dia melepaskan tangan lalu memegang ubun-ubun aku sambil membacakan doa.

"Semoga menjadi isteri yang solehah." Pipi kanan aku disentuh lembut.

Kelembutan itu turut menyentuh hatiku. Tetapi Ahmad Hawkiah tetap Ahmad Hawkiah. Dicubitnya pipi aku.

Tak ada nak acah ayu. Aku cubit pipi kirinya kembali. Dia cubit terus pipi kanan aku. Jangan sampai aku tarik rambut kau dekat sini!

"Hei dah, dah. Malu dekat orang. Runtuh pula pelamin ni nanti." Cik Rozy yang sudah naik pangkat menjadi ibu mendekati kami dalam keadaan kelam kabut untuk meleraikan kami. Pecah ketawa semua yang berada di situ.

Kerusi roda aku didekatkan ke pelamin untuk ke meja makan pengantin. Baru sahaja aku ingin mengambil tongkat, Hawk menghulur tangannya sebagai sokongan.

"Maaf sebab lambat sangat hulur tangan bila kau perlukan." Hawk merenung mataku.

Kekok rasanya hendak menyambut tangan itu kerana selama ini aku lebih senang bersendiri.

"Dengan orang lain bolehlah kau degil, dengan aku jangan harap. Kau degil, aku tujuh kali degil. Kau sayang, aku tujuh kali sayang. Ada faham?" Hawk terus memegang tangan aku.

"Ish," Cari gaduh dia ni.

"Kalau kau tak guna aku sebagai support, aku dukung kau terus." Bisik Hawk.

Terbuntang mata aku mendengarnya. Didukung Hawk di khalayak ramai itu sesuatu yang memalukan! Jangan dicabar seorang Ahmad Hawkiah, kalau dia cakap dia nak buat, dia akan buat.

Aku terus menggunakan tangannya sebagai sokongan. Tangan yang tegap dan kuat hasil latihan bertahun ini akan terus membantuku.

Hawk menolak aku ke meja makan kemudian dia membantu aku untuk duduk di kerusi.

Hawk menyendukkan lauk ke pinggan aku.

"Kau memang akan terus manjakan aku macam ni ke? Habislah aku jadi lembik lepas ni."

"Jangan harap. Hari ni special sikit. Kan aku dah kata, lepas ni aku buat latihan sparta sampai kau boleh lari balik sebelah aku," balas Hawk.

Majlis berjalan dengan lancar. Ramai juga yang hadir meraikan dan mendoakan kami. Semoga perkahwinan ini berkekalan, sebolehnya, selamanya.

***

Bruno bertenggek di bahu Hawk manakala Eva berada di bahu aku. Pintu lif ditekan untuk naik ke rumah kami. Masuk sahaja waktu Zohor, aku dan Hawk meminta diri.

Hawk menolak aku.

"Weh, kau palang lagi rumah aku?" Pecah ketawa aku melihat rumah aku dipalang. Sama macam waktu Hawk menculik aku dulu.

"Kena palang supaya kau tak boleh lari dari aku."

"Macam mana nak lari, kaki dah tak ada." Aku ketawa sendiri.

"Dark sangat joke kau ni." Hawk membuka pintu rumahnya. Ini kali pertama aku masuk ke rumah ini.

"Welcome home. Tapi sementara sahajalah. Aku nak cari rumah lain untuk kita. Rumah landed ada a few yang okay tapi nak kau tengok sama." Hawk menolak aku masuk.

Pintu dikunci.

"Bismillah, assalamualaikum!" Hawk terus mendukung aku ke bilik tidurnya.

"Wei!" Terkejut aku dibuatnya tetapi aku tetap berpaut kuat. Kalau jatuh, aku yang sakit extra.

Aku diletakkan di atas katil.

"Tanggal tudung tu. Nanti aku tolong kau ambil wuduk." Hawk keluar semula untuk mengambil kerusi roda aku.

Kan senang kalau sorong sahaja aku dengan kerusi roda. Nak juga menyusahkan diri.

Dengan bantuan Hawk, aku mengambil wuduk kemudian dia pula.

"Kita solat sama-sama tau. Berjemaah." Hawk terus mengajar aku niat solat zohor berjemaah.

Dia berdiri di hadapan aku manakala aku pula dibelakangnya duduk di atas kerusi roda. Formasi yang sama ketika menjalankan operasi. Solat empat rakaat ditunaikan. Selepas salam diberi, Hawk mengangkat tangan untuk berdoa. Selesai berdoa dia berpusing menghadap aku.

Dia duduk di hadapan aku kemudian memegang tangan aku.

"Raven, rumah aku ni banyak novel. Tapi kau jangan baca novel banyak sangat tau sebab aku tak mampu nak jadi lelaki-lelaki sempurna macam dalam novel tu. Aku tak mampu selalu ada untuk kau bila kau perlu tapi bila aku ada sebelah kau, aku akan cuba sedaya aku untuk bantu kau. Kau tahu kan, aku sayang kau?" Tangan aku digenggam lalu dikucup.

Aku menyentuh dagunya supaya dia mendongak memandang aku.

"Akupun sayang kau juga. Tak payahlah geletek tapak tangan aku, gila." Hawk ni, kalau nak dia betul-betul serius memang kena campak dia waktu operasi atau waktu menjadi jurulatih sahaja!

UndercoverWhere stories live. Discover now