Bab 1

116 2 0
                                    

Mei 2020...

Apa aku dah buat ni?

Laikha melopong memandang ke arah rumahnya. Api marak menjulang ke langit. Asap berkepul-kepul kemudian hilang ke dada langit hitam. Terdengar sayup suara jeritan ketakutan para jiran yang melihat kebakaran tersebut.

Oh, damn!

Dia gigit kuku jarinya. Tangannya menggigil. Lutut terasa lemah, terus badan bersandar pada batang pokok.

Ya Tuhan, Laikha. Apa kau dah buat ni? Kedua belah tangan melekap di kepala. Nafas terasa tersekat di dada. Tangan semakin kuat menggigil. Fikirannya kelam, hitam, sama seperti gelapnya dada langit pada malam itu.

Mata terus merenung rumah yang semakin rakus dijilat api. Air mata bergenang. Kakinya lemah tidak berdaya untuk melangkah mencari kedua orang tuanya. Dia terus bersandar di pokok besar di belakang rumahnya. Ketika api marak menyala dia sempat berlari ke belakang rumah kerana ruang hadapan sudah dipenuhi dengan asap tebal. Dia yakin kedua orang tuanya selamat. Ketika dia sudah berada di luar, dia terdengar suara ayah menjerit memanggil ibunya agar segera keluar dari rumah.

Laikha bersandar kelelahan menanti dirinya diselamatkan. Mata ditutup tidak sanggup untuk melihat rumah kesayangan mereka dijilat api. Tanpa sedar dia terlelap seketika. Saat mata dibuka api yang marak sudah beransur mengecil. Dari jauh kelihatan anggota bomba sedang memadamkan api kecil. Dia bingkas bangun, ingin mendapatkan orang tuanya. Kaki diatur melangkah ke halaman rumah jiran untuk menuju ke halaman depan rumahnya. Tiba di hadapan halaman rumah jiran, dia terpandang sisi belakang kedua orang tuanya sedang berpelukan sambil memerhati ke arah rumah mereka. Laikha terus melangkah longlai menghampiri mereka.

Namun saat kakinya menghampiri mereka, dia terdengar mama meraung kuat. Sejurus itu matanya terpandang dua orang anggota bomba sedang mengusung plastik beg berwarna hitam keluar daripada rangka pintu rumahnya. Laikha tergamam. Sekejap matanya memandang anggota bomba itu, sekejap dia memandang kedua orang tuanya.

Siapa yang mati? Setahu dia hanya mereka bertiga sahaja yang tinggal dalam rumah itu. Babah dan mama sedang berdiri di hadapannya. Siapa orang keempat itu? Tangan menekup mulut. Takkan dia? Aku bunuh dia? Serentak itu seluruh anggota badan terasa lemah.

"You, Laikha! Laikha dah tak ada!" Jerit Azreen.

Zen di sebelah menggosok-gosok bahu isterinya. "Biarlah. Itu yang terbaik untuk dia."

Terdengar suara babahnya berbisik perlahan. Laikha tergamam. Kenapa babah cakap macam tu? Kenapa babah tak menangis macam mama? Laikha terkaku di tempatnya. Hajat untuk menghampiri orang tuanya terbantut.

Kata-kata babah terus terngiang dalam kepalanya. Perlahan-lahan kakinya beredar dari kawasan rumah. Dia perlukan masa untuk tenangkan diri. Kata-kata babah itu melukakan hatinya. Babah tak sayang aku? Kenyataan yang sangat payah untuk ditelan kerana selama ini lelaki itulah lelaki yang sangat dikaguminya. Antara mama dan babah, dia lebih rapat dan manja dengan babah. Babah selalu manjakan dia, tidak seperti mama yang agak tegas. Tapi kenapa babah tak sedih?

Laikha melangkah setapak ke belakang. Kemudian dia berpaling dan terus berjalan ke arah bertentangan. Dia sendiri tak pasti ke mana arah yang ingin dituju. Ketika dia ingin melintas jalan tiba-tiba saja terdengar bunyi decitan tayar kereta yang panjang. Dia menoleh kemudian lekas-lekas menutup mata kerana cahaya putih mula menyilaukan matanya.

"Oit! Nak mati ke?" Terdengar suara lelaki menjerit kasar.

Dia cuba memproses. Dalam kekusutan kepalanya, dia tak pasti apa yang sedang berlaku pada ketika ini. Dia terus tercegat di situ cuba mengutip ingatannya.

"Laikha?" Tiba-tiba terasa ada dua tangan menyentuh kedua bahunya.

Lantas dia membuka kedua belah matanya. Cahaya yang menyilaukan tadi diadang oleh tubuh manusia di hadapannya.

"Kau memang Laikha. Kau masih hidup?"

Laikha kebingungan. Kemudian baru dia tersedar. Ya... dia masih hidup. Dia cuba amati wajah di hadapannya. Perlahan-lahan wajah lelaki itu semakin jelas di pandangannya.

Dia?

"Jom, aku hantar kau balik. Macam mana kau boleh ada di sini?" Lelaki itu menarik lengannya.

Namun segera direntap oleh Laikha. "Aku tak mahu balik!"

Lelaki itu menoleh. "Apa?"

"Kau dengarkan apa yang aku cakap tadi."

"Kau dah kenapa? Kau nak pergi mana? Semua orang risaukan kau. Semua orang ingat kau dah mati!"

"Biarkan." Air mata Laikha berlinangan.

Lelaki itu melopong. Tetapi perlahan-lahan wajahnya berubah riak. "Tapi, mayat siapa yang rentung tu?"

Laikha tidak membalas. Dia terus mengatur langkah. Namun langkahnya terhenti apabila lengannya dipegang kemas.

"Kau nak pergi mana?" Kali ini nada suara lelaki itu mengendur, sedikit lembut.

"Ke mana saja." Laikha cuba merentap lengannya namun tidak berjaya.

"Naik!" Arah lelaki itu dengan suara tegas. Kepala dianggukkan ke arah Range Rovernya.

Laikha menggeleng.

"Kalau tak, aku beritahu semua orang yang kau masih hidup."

Laikha terdiam. Berkelip-kelip matanya merenung lelaki itu yang sedang memegang telefon, mungkin sedang bersiap sedia hendak menyebarkan berita. Matanya mencari sama ada ugutan itu serius atau sekadar untuk menakutkan dia. Setelah meneliti raut wajah lelaki itu yang masih kelihatan serius, nak tak nak akhirnya Laikha melangkah juga ke arah kereta lelaki tersebut.



Next bab ....

Novel Butterfly - By Anna LeeWhere stories live. Discover now