Bab 5

39 0 0
                                    


ANDI menghidupkan enjin keretanya kemudian terus keluar dari perkarangan kolej. Dia nekad ingin ponteng kelas. Dia rimas menjadi perbualan dan perhatian pelajar lain. Kolej mereka bukanlah besar sangat, sekejap saja berita mengenai dirinya yang menjadi pengikut Instagram Laikha tersebar satu kolej. Entah kenapa benda itu pula yang menjadi persoalan mereka sedangkan nasib Laikha dan keluarganya langsung tak diambil peduli. Semakin lama manusia semakin hilang sifat waras. Sudah tak mampu membezakan perkara yang penting dan remeh. Andi sebal.

Kereta dipandu ke arah hospital, ingin mencuba nasib mencari keluarga Laikha. Ingin melihat keadaan mereka. Sebaik saja kereta diparkir di tempat parkir hospital, dia segera mengeluarkan telefon bimbit. Ingin mencari maklumat terkini tentang kebakaran tersebut. Tentu Laikha juga tertanya-tanya. Sekurang-kurangnya, nanti ada juga maklumat yang boleh disampaikan kepada Laikha.

Di muka depan portal komuniti The Green terpampang gambar rumah Laikha yang sudah musnah. Terdapat gambar kecil yang memaparkan wajah Laikha dan kedua orang tuanya. Tajuk berita tersebut adalah 'Mangsa Rentung.' Kapsyen di bawah tajuk tersebut tertulis 'Adakah milik Zulaikha Elina Zen Zulkifli?' Andi menarik nafas dalam kemudian dihembus laju.

"Sah-sahlah itu bukan Laikha. Laikha terselamat tau tak?" Andi terus membelek muka surat lain untuk melihat jika ada maklumat lain.

Namun hanya itu saja berita yang ada mengenai kebakaran tersebut. Kedua orang tua Laikha, Encik Zen dan isterinya Azreen tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditempatkan di rumah perlindungan sementara di servis apartmen The Green. Rumah yang disediakan oleh pihak pentadbir The Green untuk semua warga penduduk yang mengalami musibah. Pihak insurans sedang menunggu laporan penuh mengenai punca kebakaran sebelum membuat apa-apa bayaran kepada pihak keluarga Laikha.

Andi mengetuk stereng kereta. Kalau mak ayah Laikha tak ada di hospital, sekarang dia nak ke mana? Jam di pergelangan tangan dipandang. Nak ke rumah sementara yang menempatkan orang tua Laikha, dia pula berasa segan. Kalau ditanya dia siapa, dia nak jawab apa nanti? Dia dan Laikha bukannya rapat pun. Jari-jemari semakin rancak mengetuk. Tercari-cari idea untuk mengisi masa yang terluang. Ah, tengok wayang jelah!

Enjin kereta terus dihidupkan dan Andi terus menghala ke arah satu-satunya pusat membeli-belah The Green. Ketika kaki melangkah ke arah panggung wayang, dia masih buntu memikirkan cerita apa yang ingin dilihat dan cerita apa yang ditayangkan pada waktu itu.

Namun saat matanya terpandang butik pakaian, kakinya serta-merta berhenti melangkah. Baru dia teringat sesuatu. Laikha akan bermalam satu malam lagi di garajnya tetapi gadis itu hanya sehelai sepinggang. Patutkah dia belikan barangan keperluan Laikha?

Baju mungkin tak ada masalah. Baju dia walaupun besar boleh saja dipakai oleh Laikha. Tapi... Andi memasukkan kedua tangan ke dalam poket seluarnya. Takkan dia nak pakai berhari-hari pakaian kecil tu? Wajah dia berkerut. Kepala menggeleng. Tak, tak boleh! Geli dowh!

Dia hembus nafas dalam. Tangan dikeluarkan daripada poket seluar. Kaki terus melangkah masuk ke dalam butik tersebut. Mujur pada waktu ini tidak ramai pelanggan yang ada. Dia berjalan dari satu rak ke satu rak sehingga sampai ke ruangan wanita. Sekali lagi dia menghembus nafas dalam.

Saiz? Tangan menggaru kepala. Mata memerhati sekeliling. Mujur pekerja semua sibuk dengan urusan masing-masing. Perlahan-lahan tangan membelek saiz yang ada.

Laikha kau pakai saiz apa?

"Encik?"

Andi terperanjat. Segera tangan dilarikan daripada membelek pakaian tersebut.

"Haih... awak ni." Marah Andi. Wajah terasa panas.

"Maaf encik. Buat encik terkejut." Si gadis tersenyum kecil. "Boleh saya bantu?"

"Emmm... ya... ya... please." Mata dilarikan daripada memandang timbunan seluar dalam dan pakaian wanita.

"Girlfriend encik pakai saiz apa?"

"Hah?" Dia melopong, kemudian segera berdeham perlahan. "Emm... saya tak tahu. Tak pernah beli untuk dia pun. Tapi saya nak buat surprise kali ni." Tangan naik menggaru kepala yang tidak gatal.

Gadis tadi tersenyum kecil. "Badan dia lebih kurang macam tu?" Si gadis menghala pandangan ke arah salah seorang pelanggan mereka yang tinggi lampai, bentuk badan seperti model pakaian wanita.

Andi menggeleng.

"Macam tu?"

Andi menoleh. Terlihat wanita yang masih berbadan seperti model. Sekali lagi Andi menggeleng.

"Emmm..." Mata pekerja itu melilau mencari pelanggan yang lain.

"Lebih kurang macam..." Andi ketap bibir sambil tangan menggaru keningnya.

Pekerja itu kembali memandang Andi.

"Macam... awak." Berkelip-kelip matanya memandang gadis itu.

Kedua belah kening gadis itu terangkat. "Macam saya?" Matanya terarah ke wajah Andi. Mungkin dia tak percaya lelaki seperti Andi mempunyai teman wanita yang sama bentuk badan seperti dia. Perlahan-lahan bibirnya terukir senyum.

"Tapi... mungkin... besar sikit aje daripada awak." Andi serba salah. "Maaf." Dia angkat tangan. "It's compliment, by the way. I mean... it's cute right? I tak suka perempuan kurus keding. You know. Macam... blurrh. It's like... rangka bergerak. I mean girls like you, cute... and she's cute too... and..."

Gadis itu terpinga.

"I mean... you know..." Dahi dah rasa berpeluh. Apa aku membebel ni? Andi telan liur. Termati kata saat melihat wajah gadis di depannya merah menyala.

Gadis itu tersenyum. "It's okay." Dia berdeham perlahan. Wajahnya terasa berbahang namun demi pelanggan, tangannya kembali membelek pakaian tersebut.

"Encik nak satu set?" Gadis itu tetap memegang seluar tersebut. Segan nak serahkan kepada Andi.

"Yes. Please. Two set." Andi naikkan dua jarinya. Kepalanya memandang ke arah lain. Dia pun segan. "By the way, I tunggu dekat kaunter boleh?"

"Boleh. Emm... tapi... encik nak warna apa?"

"Apa-apa jelah." Andi tersenyum kemudian terus beredar.

Ya Allah! Tangan menyapu wajah. Berpeluh! Dia pun kesian pada pekerja itu yang sudah kelihatan malu. Jadi eloklah dia beredar dari situ. Haih, kalau Natasha nampak apa yang dia buat ni, mesti teruk dia kena bebel. Selama ini setiap kali Natasha singgah untuk membeli pakaian wanita mesti dia akan tunggu di luar kedai walaupun berkali-kali gadis itu merengek meminta dia temankan. Alasannya nak tanya pendapat, warna apa yang sesuai. Hish, aku peduli apa semua warna tu. Bukan aku boleh tengok pun! Andi mengeluh kasar.

"Encik... dah." Si gadis tadi menghampiri Andi.

Selepas membuat pembayaran dia segera keluar dari kedai itu. Jam di pergelangan tangan dipandang sekali lagi. Masih awal. Kaki melangkah masuk ke dalam Jaya Grocer kemudian menuju ke kedai buku. Seterusnya, dia memasuki kedai alatan muzik pula. Sekali lagi saat dia melihat jam, rupanya waktu sudah memasuki pukul tiga petang. Tanpa berlengah, dia menuruni anak tangga eskalator untuk pulang. Tetapi langkahnya terhenti apabila terdengar namanya dipanggil. Dia menoleh ke belakang, terlihat Natasha melangkah menuruni anak tangga eskalator menghampirinya.

Oh shit! Dia menelan liur.

Novel Butterfly - By Anna LeeWhere stories live. Discover now