Bab 8

38 0 0
                                    


2 bulan sebelum kejadian...

LAIKHA mengintai daripada tingkap dapurnya. Bas kolej masih belum tiba. Dia kembali semula ke kitchen island, menyapu jem pada roti yang sudah dibakar. Pagi ini seperti biasa dia menguruskan semua keperluannya. Mama dan babah awal-awal pagi sudah keluar ke pejabat masing-masing. Rumah banglo dua tingkat itu sentiasa sunyi. Jiran di sebelah juga jarang ada di rumah.

Kawasan perumahan itu memang kawasan yang tenang dan damai. Mungkin sebab itu mama dan babah beria-ria hendak pindah ke kawasan The Green. Penempatan baru yang dibangunkan di atas kawasan tanah tinggi yang terletak di pinggir Kuala Lumpur dan Selangor. Kawasan yang menjadi idaman warga kota untuk menenangkan fikiran selepas kepenatan menempuh jalan yang sentiasa sesak di Kuala Lumpur.

Pertama kali memasuki pintu gerbang The Green setahun yang lalu membuatkan dia terus jatuh cinta. Dengan suhu yang nyaman dan persekitaran yang dibangunkan mengikut acuan barat, The Green seperti jelmaan penempatan Wisteria Lane dalam siri Desperate Housewives, rancangan kegemaran mama.

Di The Green, terdapat tiga kawasan penempatan yang dipecahkan mengikut standard tertentu. Rumah keluarga Laikha berada di The Green A, iaitu kawasan penempatan rumah-rumah banglo yang mempunyai halaman yang kecil. Rumah-rumah di sini dipisahkan dengan deretan pokok perhiasan renek yang digunting kemas seakan berpagar. Halaman rumput yang tumbuh menghijau. Setiap penduduk disyaratkan menjaga halaman masing-masing agar sentiasa kemas. Jika tidak mereka akan didenda.

The Green B pula adalah Bandar Green yang mempunyai segala kemudahan komuniti, sekolah dan pusat pentadbiran The Green. Di situ juga terdapat kolej tempat dia belajar. Salah satu cawangan kolej terkenal dari luar negara. Selain itu, di situ juga terdapat penempatan kondominium dan service apartment. Terdapat deretan kedai pakaian dan barangan berjenama. Deretan kedai makanan francais dan kafe-kafe hipster yang menjadi kegilaan orang muda sepertinya.

Manakala The Green E (Elit) adalah kawasan penempatan rumah agam yang mempunyai pagar asing dan tidak semua penduduk di The Green bebas keluar masuk di situ jika tidak mempunyai stiker khas. Dia pernah sekali saja menjejakkan kaki ke situ. Itu pun pada saat akhir ketika Natasha menjemput dia menghadiri majlis hari jadinya beberapa bulan lepas. Hari yang sama telah meremukkan hatinya apabila Natasha dengan bangganya membuat pengumuman bahawa dia dan Andi adalah pasangan bercinta. Patutlah dia jemput semua pelajar perempuan dari kolej.

Sedang dia mengelamun, tiba-tiba terdengar bunyi hon yang sangat dikenali. Tanpa membuang masa dia terus mencapai beg dan bergegas keluar. Pintu dikunci sebelum berlari ke arah bas. Situasi inilah yang paling dia tak suka! Menjadi orang terakhir yang menaiki bas dan menyebabkan dia menjadi perhatian dan usikan pelajar lain.

"Cik adik, bawa sekeping roti aje ke? Cukup ke tu?" Terdengar suara budak lelaki nakal dari tempat duduk belakang.

Laikha buat tak endah. Dia terus melabuhkan punggung di kerusi kosong di bahagian depan. Melalui cermin pandang belakang bas tersebut dia dapat melihat wajah-wajah yang sedang memerhatikan dia sambil tersengih-sengih. Laikha mendengus kasar. Sudah puas dia merayu kepada babah supaya belikan skuter untuk dia berulang alik ke kampus. Tetapi babah asyik salahkan keputusan peperiksaan SPM dia yang agak teruk. Bukan babah tak tahu yang dia tak suka bersesak dengan orang ramai. Alasan yang diberikan oleh mamanya pula ialah dia perlu membiasakan diri dengan keadaan itu. Berani berhadapan dengan dunia luar. Itu semua untuk kebaikan dia juga.

Kalau nak diikutkan, dulu dia tak macam ni. Seingat dia sewaktu di tadika dialah pelajar yang ringan tulang menolong cikgu dan selalu sahaja memberi respons yang pantas apabila disoal oleh cikgu. Dia juga ramai kawan. Setiap kali balik sekolah ada saja cerita yang hendak diceritakan kepada mama dan babah.

Tetapi entah kenapa, semenjak berumur 8 tahun semakin lama dia semakin mengasingkan diri dengan orang ramai. Dada dia kerap berdegup laju dan kerap berpeluh apabila berada dalam khalayak ramai. Keadaan semakin teruk apabila dia memasuki umur 12 tahun. Fikirannya mula bercelaru. Dia kerap ternampak benda yang bukan-bukan. Dia juga kerap menjerit di dalam kelas apabila ternampak manusia yang bermuka hodoh. Rakan-rakannya mula menjauhkan diri. Dia mula bersendirian.

Akhirnya mama memutuskan agar dia belajar di rumah. Ketika berusia 12 sehingga 16 tahun dia banyak menghabiskan masa berulang alik dari rumah ke klinik kawan baik papa. Ubat-ubatan menjadi teman baiknya. Semenjak itu, dia selesa berada di rumah dan di dalam biliknya sahaja. Dia sengaja menjawab soalan SPM secara endah tak endah, semuanya kerana dia tidak mahu melanjutkan pelajaran. Dia tidak mahu berada jauh dari rumahnya.

Tetapi sebaliknya berlaku, mama menghukum dia dengan cara dia perlu melawan anxietynya. Mama berjanji akan membelikan skuter idamannya jika dia berjaya melepasi syarat yang mama tetapkan tetapi sehingga sekarang dia tak pasti entah dia berjaya atau tidak memiliki skuter tersebut.

"Orang macam dia tu makan sebuku roti pun tak kenyang kut." Tiba-tiba terdengar satu suara membalas pertanyaan tadi. Serentak itu terdengar tawa meledak.

Hanya kerana badan dia sedikit berisi daripada kawan-kawan yang lain dia menjadi bahan gurauan. Entah sampai bilalah mentaliti manusia seperti mereka ni hendak berubah. Tahun depan sudah tahun 2020, mentaliti masih tahap sampah segunung. Dia tak tahulah apa nasib generasi masa depan yang bakal memiliki pemerintah daripada generasi tahap sampah seperti mereka ni. Ah, nasib dia juga yang malang nanti! Laikha menghela nafas dalam.

Dia tarik rambut menutup sebahagian wajahnya. Mengeluarkan buku nota. Buku yang dijadikan tempat untuk dia menulis apa saja yang bermain dalam fikirannya. Kata kaunselornya, menulis jurnal adalah salah satu cara untuk mengurangkan keresahan. Tetapi Laikha tidak pandai menulis, sebaiknya dia lebih suka melukis dan sekali-sekala dia mencurahkan isi hatinya dalam bentuk puisi atau hanya beberapa baris ayat.

Tetapi ketika dalam bas, apalah sangat yang mampu dia lukis. Sudahnya dia melemparkan pandangan ke luar tingkap. Sakit hati dipendam sedalam mungkin. Sebaik saja bas berhenti di hadapan lampu isyarat, dia terpandang Natasha yang sedang membelek cermin di dalam kereta Andi. Sejak mereka sah menjadi pasangan kekasih, boleh dikatakan setiap pagi dia melihat Natasha datang ke kolej bersama Andi.

Beruntung badan. Serentak itu dia memandang badannya sendiri. Kalau nak ikutkan dia bukanlah gemuk sangat. Setakat terlebih beberapa kilogram daripada berat yang sepatutnya. Muka dia pun bukanlah hodoh sangat. Mama kata dia comel macam Aria dalam siri Pretty Little Liars. Rambut hitam pekat. Mata bundar, bulat. Babah pula tak setuju, katanya dia comel seperti mama masa zaman remaja dulu. Sekarang lihatlah mama macam mana. Antara wanita tercantik di The Green. Jadi, kebarangkalian untuk dia kelihatan cantik seperti mama beberapa tahun lagi pasti ada. Mana tak tumpahnya kuah kalau tak ke nasi, kan?

Kupu-kupu pun pernah menjadi hodoh. Laikha tersenyum sendiri.

Novel Butterfly - By Anna LeeWhere stories live. Discover now