ANDI AGUNG.
Nama yang tak mungkin Laikha lupakan. Lelaki berbadan sederhana tegap. Pemain ragbi kolej. Berkulit sawo matang. Rambut ikal yang selalu dibiarkan berserabai. Crush pertamanya sejak setahun yang lalu. Ketika itu Andi pada tahun kedua dan dia pada tahun pertama. Senior yang tua setahun daripadanya yang menjadi sebutan dalam kalangan semua pelajar perempuan di kolej itu termasuklah dirinya. Cuma beza antara dia dan pelajar lain, dia menyimpan rasa itu kemas di dalam hatinya. Tak ada sesiapa pun yang tahu.
Ditambah pula dia sememangnya tidak ada teman baik jadi lebih mudah untuk dia menyimpan rahsia itu sendirian. Lebih selamat. Dia malu jika ada sesiapa yang tahu rahsia itu. Dia tidak seperti pelajar lain yang terang-terang menunjukkan rasa hati mereka terhadap Andi. Tergedik-gedik. Tersengih-sengih saat berselisihan dengan Andi. Sampai sekarang dia masih tak faham kenapa mereka itu bangga sangat dengan apa yang mereka buat. Sedangkan bagi dia menzahirkan isi hati yang belum tentu diterima oleh seorang lelaki itu, sesuatu yang sangat memalukan.
Ke mana hilangnya rasa malu mereka? Laikha mengeluh perlahan. Ditambah dengan keadaan dirinya, dia yakin, dia hanya mampu menjadi pemuja daripada kejauhan.
Tapi itu dulu. Beberapa bulan lepas perasaannya terhadap Andi berubah 360 darjah. Tiada lagi rasa teruja atau memuja lelaki itu. Andi dan lelaki lain sama sahaja. Menggunakan rupa parasnya untuk mendampingi gadis cantik. Biarlah beauty without brain sekalipun, asalkan cantik dan berasa bangga apabila diusung ke hulu ke hilir! Laikha mengeluh perlahan.
Kisah cinta antara Andi dan Natasha memang tidak lagi menjadi rahsia. Kedua-duanya sering berkepit walau ke mana saja mereka berada. Natasha menjadi seperti seekor merak yang kembang ekornya. Dalam ramai-ramai gadis di kolej, dia menjadi pilihan si jejaka. Siapa tak bangga? Sejak itu, Laikha mula sedar diri. Lama-kelamaan rasa itu semakin hilang. Mana mungkin Andi sukakan dia. Dia bukan pelajar popular. Dia sering menyendiri. Tenggelam dalam timbunan para pelajar yang berasak mahu mencari populariti.
Setengah jam berlalu. Dia masih berada di dalam kereta Andi yang sedari tadi hanya berpusing di kawasan taman perumahan mereka dan kejiranan sebelah. Kedua-duanya diam membisu. Namun kesunyian itu dipecahkan dengan bunyi lagu yang berkumandang di corong radio yang ditekan oleh Andi sebentar tadi.
"Kau lapar?" Suara Andi memecah sunyi.
Laikha menggeleng. Kepala terus menoleh ke arah tingkap. Termenung.
Andi terus memandu. Sebaik saja ternampak lambang huruf M, dia segera memperlahankan kereta dan memasuki susur drive-thru. Pesanan dibuat melalui speaker. Sesekali dia menoleh ke arah Laikha yang hanyut dalam dunianya. Selepas mendapatkan pesanan, kereta dipandu ke arah yang dituju.
Beberapa minit kemudian, kereta diparkir di kawasan bukit tidak jauh dari kawasan perumahan mereka. Dari situ kelihatan cahaya lampu yang terpasang dari rumah dan bangunan kedai di kawasan tersebut.
"Nah." Bungkusan Double Cheese Burger diletakkan di sebelah Laikha.
Laikha terus berdiam diri merenung kepekatan malam.
"Makanlah." Andi membuka bungkusannya, mengeluarkan burger dan kentang goreng. Tanpa buang masa kentang goreng dimasukkan ke dalam mulutnya. Dia mula mengunyah sambil memandang ke sebelah.
"Kalau tak nak makan aku hantar kau balik sekarang." Andi terpaksa guna taktik ugutan. Dia tahu Laikha mesti lapar. Sekarang dah pukul dua pagi. Siapa yang berjaga malam pasti akan lapar. Tadi masa lepak dekat kedai mamak dia tak terasa lapar pula.
Laikha menoleh. Mencerlung pada Andi. Andi naikkan kedua bahunya, tayang muka acuh tak acuh. Langsung tak hairan dengan renungan tajam Laikha.
"Nak aku suap?" soal Andi lagi bila Laikha masih termenung memandang bungkusan itu.
YOU ARE READING
Novel Butterfly - By Anna Lee
Mystery / ThrillerMengapa sebuah rahsia itu disembunyikan, adakah kerana kebenarannya menakutkan? Hidup Laikha sangat bahagia. Punya ibu bapa yang sangat penyayang membuatkan dia tak pernah kurang kasih sayang. Namun semua itu hilang sekelip mata hanya kerana sebuah...