Bab 2

57 2 0
                                    

KETIGA beranak itu berdiri sebaris sambil merenung vila yang tersergam muram. Halaman yang luas dipenuhi dengan pepohon merendang. Dedaun kering memenuhi halaman rumah. Bunga-bunga lalang meliuk lentok ditiup angin.

Sebahagian dinding dan tiang dipenuhi dengan pokok menjalar. Terdapat beberapa bahagian vila yang sudah reput dan uzur. Jingga senja melatari pemandangan itu menambahkan kelam dan suramnya vila itu.

"Awesome." Jebat melopong teruja.

Mawar menjeling sekilas. Naik menyampah pula dengan Jebat. Semua benda awesome. Vila hampir roboh itu pun dikatakan awesome. Mawar mendengus kasar.

"Jebat, kau salah letak alamat ke?" Mawar mencebik ke arah vila itu.

"Betullah." Jebat memandang telefon di tangannya. Melihat aplikasi Waze yang dipasang sepanjang perjalanan mereka tadi.

"Betul. Inilah tempatnya." Soraya bersuara perlahan. Masih merenung ke arah vila itu. Kenangan lalu mula mengusik jiwanya.

Serentak Mawar dan Jebat menoleh ke arah mama mereka. Mawar dengan wajah mencebik manakala Jebat dengan wajah teruja.

"Tak ada rumah lain ke mama nak sewa?"

"Siapa kata mama sewa?" Soraya mengerling pada Mawar. "Cepat ambil barang masing-masing. Dah nak maghrib ni." Kakinya melangkah ke arah bonet kereta.

Bulat mata Mawar memandang ke arah mama dan adiknya yang sedang mengeluarkan beg dari bonet kereta.

"Mama beli rumah buruk ni?"

"Siapa kata mama beli?" balas Soraya bersahaja. "Jebat angkat yang kecil. Yang berat tu biar kakak yang bawa."

"Habis tu? Sewa tak, beli tak. Takkan main terjah singgah aje?" Mama dah gila agaknya? Kata-kata itu hanya bermain di hatinya saja. Kalau luahkan nanti jadi anak derhaka pula.

"Tercegat kat situ buat apa? Cepatlah angkat beg ni."

"Mama seriuslah? Entah-entah rumah ni sarang penagih? Mama tak kisah ke bawa anak dara mama yang cantik bergetah ni tidur dalam rumah macam ni? Kita cari chalet jelah mama." Rayu Mawar mula cuak. Adegan filem seram mula bermain di fikirannya.

"Jangan risau. Ini rumah mama." Soraya mengeluarkan sebatang kunci dari poket seluar jeannya.

"Rumah mama? Ini rumah arwah atuk?" Jebat mencelah.

Soraya mengangguk. Kunci dimasukkan ke lubang mangga. Namun ternyata kunci itu bukan kunci mangga tersebut.

"Salah kunci ke?" Jebat menjengah.

"Emmm." Soraya termenung seketika. Kunci itu direnung. Kalau bukan kunci rumah, jadi kenapa kunci itu dikirimkan kepadanya?

"Habis macam mana ni? Takkan kita tidur dekat luar?" Mata Mawar melilau memandang sekeliling.

"Pecahkan tingkap." Cadang Jebat.

"Sekejap." Lantas Soraya berlari ke arah bonet kereta. Satu kotak kecil dibuka, segugus kunci dikeluarkan. Mujurlah dia masih menyimpan kunci lama miliknya. Harap-harap nenda tak tukar kunci.

Soraya memasukkan kunci pada mangga tadi. Sekali pusing saja mangga sebesar separuh tapak tangan itu terbuka. Dia tersenyum kecil. Rupanya nenda tak pernah tukar kunci.

"Jom!" Jebat tersenyum meleret.

Mawar menghentak kaki. Dalam keterpaksaan dia mengambil beg di bonet kereta.


MATANYA memerhati sekeliling. Terlihat perabot ditutupi dengan kain putih. Terdapat sesawang labah di setiap sudut. Debu di sana sini. Terlihat karpet-karpet digulung. Kaki melangkah ke arah suis utama. Sebaik saja suis dipetik, hanya beberapa lampu bercahaya kuning sahaja bernyala. Rumah yang gelap mula diterangi cahaya suram.

Novel I'm Yours - By Anna LeeWhere stories live. Discover now