"PAK CIK, roti canai ada?" Jebat bertanya namun dalam masa yang sama dia memandang pelik ke arah pengunjung kedai yang sedang merenung ke arahnya.
"Ada. Kamu nak berapa?"
"Saya ada duit banyak ni. Berapa saya boleh dapat?" Jebat tayang duit sepuluh ringgit.
"Banyak!" Pak Mail ketawa. "Berapa orang nak makan ni?"
"Tiga aje. Tapi saya nak makan dua keping!" Jebat tersengih.
"Oh, baiklah. Pak cik bagi lima keping, cukup?"
"Mama diet. Kakak diet. Okey, Cukup!" Laju Jebat mengangguk.
"Kamu anak siapa ni?" Tok Salim mencelah. Merenung Jebat atas dan bawah.
"Oh, saya Jebat. Anak Soraya." Ramah Jebat memperkenalkan diri. Tersengih.
"Hang Jebatlah ni? Hang Tuah mana?" Samad bergurau.
"Hang Tuah dekat istana. Jadi boneka sultan." Jebat ketawa kecil. Sudah terbiasa dengan soalan itu. Jawapan itu pun dia hanya meniru jawapan yang pernah dia dengar sebelum ini.
Riuh rendah warung itu seraya mendengar jawapan berani si cilik itu.
"Anak Soraya? Soraya mana?" Dahi Pak Mail berkerut. Cuba mencari nama penduduk kampung yang bernama Soraya.
"Soraya binti Agus." Jawab Jebat.
"Soraya Agus?" Pak Mail masih belum tangkap.
Mereka yang lain juga kelihatan terpinga-pinga.
"Agus?" Tok Salim bersuara perlahan. Termenung seketika.
Rina yang hendak beredar pulang tidak jadi melangkah apabila terdengar nama itu. Tak mungkin?
"Adakah Agus yang..." Pak Mail memandang Tok Salim.
Keduanya saling berpandangan kemudian memandang ke arah Rina.
"Kami baru saja berpindah di sini. Petang semalam sampai. Kami tinggal dekat vila tepi pantai hujung sana." Terang Jebat ramah.
"Jadi, rumah tu terang benderang sebab kamulah?" Pak Mail bertanya.
"Tak adalah terang benderang pun, atuk. Semalam lampu tu sekejap on, sekejap off. Mama kata nanti nak cari tukang tolong tengokkan wiring. Mama kata rumah lama. Mesti wiring banyak yang rosak. Tapi saya pun tak tahu mama nak cari dekat mana. Apa pun hari ni juga kena baiki wiring tu. Kalau tak nanti kakak saya kata ada hantu dekat rumah tu. Stres saya nak melayan kakak saya yang penakut tu." Panjang lebar Jebat bercerita.
Mendengar bebelan Jebat itu mengundang tawa kecil para pengunjung warung itu. Namun tawa Pak Mail lebih kuat daripada mereka yang lain.
"Jadi kamu tak rasa rumah tu ada hantu?" Sengaja Pak Mail menguji.
"Mana ada. Hantu ni wujud dengan orang yang penakut aje." Jebat mengulangi kata-kata mamanya.
"Hah, dengar tu Rina. Hantu ni wujud kat orang yang penakut aje." Pak Mail ketawa terkekeh.
Rina mencebik. Mereka yang lain ada yang ketawa, ada yang tersenyum kecil.
"Hah, Remi...kamu sibuk tak hari ni? Bolehlah tolong si Jebat ni." Tok Salim bersuara.
Remi yang sedang menikmati roti canai, mengangkat kepala. Dia termenung seketika. Baru saja dia berhajat ingin berehat sehari dua selepas penat menyiapkan kerjanya.
"Pak cik pandai wiring?" Jebat merenung Remi dengan wajah bercahaya.
Remi menelan air liur. Baru saja dia hendak menolak pelawaan Tok Salim tadi, tetapi bila melihat mata bulat budak itu yang merenung penuh berharap, tanpa sedar dia mengangguk.
YOU ARE READING
Novel I'm Yours - By Anna Lee
RomanceKerana takdir akan menemukan jalannya. Soraya membuat keputusan untuk pulang ke kampung halaman bersama dua orang anaknya. Ada misi yang ingin dilaksanakan demi memulakan hidup barunya, namun tanpa dia sedar kepulangan itu bakal mengubah sejarah hid...