MAWAR membawa beg pakaian ke biliknya. Bilik yang terletak di tengah antara bilik mama dan Jebat. Bilik yang seganda besar dari bilik di rumah lama. Semua bilik tidak jauh beza susun atur dan perabotnya. Setiap bilik dilengkapi dengan satu tandas. Lepas ini tak perlulah dia bergaduh dengan Jebat lagi. Di tengah ruang terdapat katil bersaiz Queen. Katil kayu yang punyai empat tiang dan kerangka bingkai di bahagian atas. Kata mama bingkai itu untuk diletakkan kelambu. Waktu siang tiang itu dijadikan tempat untuk mengikat kelambu.
Di hujung bilik terdapat almari di sepanjang dinding. Dibina melekat dari atas ke bawah. Termenung dia seketika. Tidak dapat dibayangkan sebanyak mana pakaian diperlukan untuk memenuhi almari itu. Melihat beg dan kotaknya, mungkin hanya satu pintu almari saja akan digunakan. Selebihnya mungkin boleh buat tempat menyorok daripada Jebat. Mawar tersenyum kecil.
Mata memandang ke arah langsir yang setinggi siling yang menutupi sebahagian besar tingkap yang ada dalam bilik itu. Langsir itu diselak. Sekali lagi dia tersenyum. Biliknya yang dulu hanya ada satu keping tingkap, tetapi bilik ini terdapat tiga keping cermin gelangsar dan empat tingkap. Selepas ini dia tak akan rasa hidup seperti di dalam gua lagi.
Namun sebaik saja melihat pemandangan di luar, dia terus menelan air liur. Hutan belantara! Cepat-cepat langsir ditutup. Dalam kepala sudah terbayang lembaga putih yang mungkin akan muncul berterbangan di udara.
Ah, otak aku ni! Suka sangat fikir yang bukan-bukan! Dia menggeleng. Segera melangkah keluar dari bilik itu.
"Wah!" Mawar melopong di hadapan pintu bilik Jebat.
Jebat tayang senyuman bangga. Mawar mati kata. Matanya meliar memerhati sekeliling. Ruang bilik itu sangat luas berbanding bilik Jebat yang lama. Terdapat katil kayu di hujung bilik. Di atas katil itu dibina sebuah loteng seakan pondok di atas pokok. Di dinding terdapat pokok palsu yang dibina menggunakan kayu. Terdapat tangga di tepi katil menuju ke tingkat atas itu.
"Welcome to my tree house!" Jebat menaiki tangga menuju ke tingkat atas.
Mawar tertawa kecil. Patutlah Jebat teruja lain macam saja tadi.
"Tengok tu...ada wall climbing!" Jebat menyeringai.
Mawar memandang dinding sebelah kiri. Sebahagian dinding itu terdapat wall climbing yang dilengkapi dengan tali yang terjuntai dari atas siling.
"Mama kata ini rumah moyang. Bilik ni bilik siapa? Takkan moyang ada anak kecil?" Mawar berbisik perlahan.
"Bilik mama kut?"
"Takkan mama tinggal dengan nenek?"
"Tak pelik pun. Kawan Jebat ramai aje yang tinggal dengan nenek."
"Tapi bilik ni macam bilik budak lelaki."
"Emmm...ya tak ya juga." Jebat termenung seketika.
"Turun. Dinner!" Tiba-tiba terdengar suara mamanya yang datang entah dari mana.
Mawar dan Jebat tersentak. Kedua-duanya memandang serentak ke arah pintu. Namun tidak kelihatan kelibat mama mereka.
"Jangan takut. Ini bukan hantu." Terdengar Soraya ketawa kecil. "Mama pakai speaker ni. Tengok dekat hujung katil. Cepat turun!"
Serentak kedua-dua adik beradik itu memandang ke hujung katil. Terlihat pembesar suara melekat pada dinding.
"Wah... cool!" Jebat melopong untuk sekian kalinya.
YOU ARE READING
Novel I'm Yours - By Anna Lee
RomanceKerana takdir akan menemukan jalannya. Soraya membuat keputusan untuk pulang ke kampung halaman bersama dua orang anaknya. Ada misi yang ingin dilaksanakan demi memulakan hidup barunya, namun tanpa dia sedar kepulangan itu bakal mengubah sejarah hid...