Bab 10

42 3 0
                                    

"UMAR!" Remi menjerit nama itu berkali-kali.

Jam sudah menunjukkan pukul sembilan pagi. Pintu rumah itu masih tertutup kemas. Dari semalam dia sudah berpesan agar bersiap awal. Tetapi anak muda itu masih tidak muncul di halaman rumahnya. Jadi nak tak nak terpaksalah dia terjah rumah Umar.

"Ya ... ya ...." Terlihat Umar muncul dari belakang rumahnya bersama dengan tangga.

"Lambat." Remi mencerlung.

"Siapkan ibu. Ayah tak balik balik semalam," balas Umar acuh tak acuh.

Sebaik saja mendengar alasan Umar, terus perasaan marah Remi berubah simpati.

"Kamu dah makan?"

"Dah." Umar meletakkan tangga ke belakang van milik Remi.

Sudah setahun dia menjadi pembantu Remi. Itu pun pada hujung minggu saja. Pada hari biasa, dia hanya membantu apabila habis waktu sekolah saja. Remi hanya membenarkan dia bekerja selama dua jam saja pada hari biasa. Selebihnya dia dipaksa mengulang kaji pelajaran. Walaupun sebenarnya dia tak kisah pun gagal peperiksaan. Dia dah rancang, habis SPM nanti dia akan bekerja sepenuh masa dengan Remi.

"Jom. Tok Salim dah awal pagi ada kat sana."


"KALAU tak jual kami nak makan apa? Saya nak kerja apa di sini? Jadi nelayan?" Soraya mendengus kasar.

"Ada sebab kenapa nenda kamu serahkan vila ini kepada kamu." Suara Tok Salim seakan memujuk.

"Sebab rasa bersalah?" Soraya tersenyum sinis.

"Orang dah tak ada. Tak baik cakap macam tu. Dia tak boleh nak bela diri." Tok Salim mengerling.

Soraya menggigit bibir. Merenung tajam ke hadapan.

"Kamu bertenang dulu. Akal tak dapat bekerja saat hati sedang beremosi." Tok Salim mengerling.

Soraya terus merenung kosong di hadapan.

"Bertenang itu hanya untuk orang yang berada. Boleh bercuti ke mana-mana untuk bertenang. Orang macam saya tak ada masa untuk bertenang. Selepas satu, satu. Kalau saya bertenang, entah apa jadi pada kami anak beranak nanti," keluh Soraya perlahan.

"Tenang itu mahal. Orang berada pun tak mampu beli. Sebab tenang itu datangnya dari hati yang berserah." Jari telunjuk Tok Salim ditegakkan ke langit.

Soraya terdiam.

"Serah segalanya kepada DIA. Sebab semua yang berlaku ini bukan salah sesiapa. Bukan salah kamu. Bukan salah suami kamu. Semua ini sudah ditentukan. Sudah disusun saat roh kamu belum ditiup pun lagi. Jika sudah disusun, pasti sudah disediakan juga jalannya. Cuma kamu perlu berserah, berusaha dan kemudian bertenang. Jalan tu mesti akan ada."

"Tapi ... vila ni terlalu besar untuk kami bertiga," keluh Soraya lagi.

"Kalau macam tu ... berempat, berlima, bersepuluhlah." Tok Salim tersenyum kecil.

"Maksud tok, nak suruh saya kahwin baru?" Soraya tersenyum sinis.

"Hanya dengan kahwin saja ke, vila ni boleh meriah dengan manusia?" Tok Salim mengerling, tersenyum sinis.

Soraya terdiam. Merenung wajah lelaki tua itu. Seakan ada maksud lain yang ingin disampaikan. Tapi apa?

"Tu ...." Tok Salim memuncungkan bibirnya ke arah dua susuk tubuh yang menghampiri mereka. "Tok dah suruh Remi periksa apa yang patut. Lantai pun kena periksa. Mungkin ada lantai yang perlu diganti. Nanti kang ada yang tercedera."

"Semua tu perlukan duit ...."

"Dekat kampung ni tak ada benda yang tak boleh dibincangkan." Tok Salim bingkas bangun. Menyambut kedatangan Remi dan pembantunya.

Soraya berkerut dahi. Pelik dengan lelaki itu. Kenapa beria-ia hendak menolong dia?


KE sana ke sini Mawar mencari isyarat telefonnya. Sekejap panjat kerusi. Sekejap panjat meja. Bila isyarat masih lagi lemah, dia berlari pula ke beranda biliknya. Terjenguk-jenguk di birai beranda sambil tangan mengangkat telefon tinggi ke udara, mencari isyarat.

"Hoi!"

Terdengar suara menjerit. Serentak itu terasa tubuhnya ditarik kasar sehingga dia terhenyak di lantai. Telefon juga terhentak di lantai.

"Adoi, sakitlah!" Mawar mendengus kasar. Cepat-cepat memeriksa telefon yang terhentak di lantai. Mujur tak ada rosak apa.

"Kalau nak bunuh diri, kau pergi hujung tebing sana. Dekat situ tinggi. Kau terjun aje dekat situ. Confirm terus masuk ke laut dalam. Orang pun tak tahu kau dah mati. Mayat kau pun tak timbul-timbul. Orang kampung pun tak payah susah-susah nak kapan dan kambus kau." Umar terus membebel. Cuak campur geram. Kalau dia tak ada tadi, sah-sah gadis itu akan terjatuh ke bawah.

"Bunuh diri?" Mawar mendongak.

Terlihat budak lelaki hampir tercegat di sebelahnya. Merenung tajam. Mawar menelan air liur. Siapa dia ni?

Umar merenung telefon di tangan gadis itu. Babak tadi bermain di fikirannya. Saat melihat gadis itu beria-ia memeriksa telefon bimbitnya, barulah Umar menyedari sesuatu.

"Pergi dekat bus stop dekat simpang sana. Situ line penuh." Umar berdeham perlahan. Kemudian terus melangkah masuk ke dalam bilik. Menghampiri barang kerjanya.

"Mawar, kenapa?" Tiba-tiba muncul Soraya di muka pintu bilik. Kemudian diikuti dengan Remi dan Tok Salim.

Umar diam. Buat-buat sibuk mencari barang dalam kotak perkakasannya. Sebentar tadi Remi mengarahkan dia masuk ke bilik itu memeriksa kabel elektrik di dalam bilik itu. Sebaik saja dia melangkah masuk terlihat gadis itu seperti hendak terjun dari beranda. Kalau dia tahu gadis itu sedang mencari isyarat telefon, memang dia tak peduli pun.

"Tuuu ... ada ke patut dia suruh Mawar pergi bunuh diri dekat tebing sana." Mawar menjeling pada Umar yang sedang membelek kotak perkakasannya.

"Umar?" Remi mencerlung pada Umar.

Umar mendengus kasar. Sepana di tangan dicampak kembali ke dalam kotak perkakasannya. Dia menjeling seketika pada Mawar. Mulut minah ni memang tak boleh diharap! Menyusahkan aku!

"Terjenguk-jenguk dekat hujung beranda tu. Kalau aku tak tarik kau tadi, rasanya dah pecah kepala kau kat bawah sana." Umar menjegilkan mata pada Mawar. Bukannya nak ucap terima kasih.

Mawar menjulingkan mata ke atas. "Kau tarik sampai aku jatuh kat lantai tu, tak bahayalah?" Tangan menyentuh pinggangnya.

"Sekurangnya boleh lagi kau buat fitnah. Kalau pecah kepala tu, buat apa pun dah tak boleh!"

Mawar menjegilkan mata pada Umar. Umar tayang muka mengejek.

"Dah-dah!" Soraya terpaksa menyampuk.

Dari apa yang didengarinya itu dia dah boleh tahu apa yang berlaku sebentar tadi. Sebelum ini pun dia pernah ternampak Mawar terjenguk-jenguk di hujung beranda.

"Pak cik minta maaf, ya. Mawar okey ke? Kalau tak okey kita boleh ke klinik." Risau pula Remi melihat dari tadi Mawar menggosok-gosok pinggangnya.

"Tak ada apa. Sakit sikit aje." Wajahnya terus masam mencuka.

"Drama aje lebih." Umar berbisik, namun masih boleh didengari oleh mereka yang lain di situ.

"Umar." Remi mencerlung.

Umar mendengus kasar. Kembali buat-buat sibuk mencari barang dalam kotak perkakasannya.

"Jom, turun. Tolong mama kemas bilik tetamu."

Mawar mendengus kasar sambil menghentak kaki, keluar dari bilik itu. Umar mencebik.


TAMAT Preview Novel I'm Yours - Terima kasih!

Jika kalian berminat untuk meneruskan bacaan, boleh miliki novel ini dengan cara klik link whatsapp atau link shopee yang disediakan diprofile kami ya.

Novel I'm Yours - By Anna LeeWhere stories live. Discover now